YB Fahmi Fadzil beraya bersama pempengaruh media sosial

YB Fahmi Fadzil turun padang untuk bertemu dengan para pempengaruh di dalam komuniti media sosial tanah air dalam sebuah majlis sambutan hari raya yang dianjurkan oleh Suhuranjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Pernahkah kita terfikir, apakah tujuan di sebalik sebuah majlis sambutan hari raya? Adakah hanya untuk menjamu selera atau sekadar ingin menunjuk bahawa kita mempunyai kenalan yang begitu ramai? Namun Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil baru-baru ini telah menghadiri sebuah majlis sambutan hari raya anjuran Suhuranjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama para pempengaruh media sosial dan kata beliau, tujuan sesebuah majlis aidilfitri ini dianjurkan adalah bukan sahaja untuk merapatkan silaturrahim malah dapat mengeratkan hubungan yang telah terjalin sekian lama. 

“Niat kita di Kementerian Komunikasi dan Digital adalah untuk mengukuhkan lagi hak untuk bersuara. Selain itu saya juga berharap, apabila kita berjumpa begini dapatlah kita bertukar pandangan dan bertukar nombor telefon. Jadi lebih mudahlah untuk kita saling berhubungan” kongsi Fahmi sewaktu memberi sepatah dua kata kepada para pempengaruh yang hadir. 

Fahmi turut mengutarakan bahawa antara isu yang paling panas pada hari ini adalah isu scam dan kajian telah mendapati bahawa kebanyakkan isu-isu ini sering berlaku di Facebook. “Scam seperti menggunakan ayat-ayat yang sama tetapi menukarkan muka orang itu adalah satu kaedah yang selalu berlaku,” tambahnya. Maka beliau sendiri telahpun menghubungi Pengarah Serantau Polisi Awam META untuk berbincang dengan lebih lanjut untuk merangka cara-cara dan ikhtiar yang boleh dilakukan bersama.

Antara para pempengaruh yang hadir pada majlis ini termasuklah Muhammad Luthfi Rohime atau lebih dikenali sebagai Matluthfi90 dan juga pengasas ML Studios di Youtube, Aizad Fahmy atau pemegang akaun @chairman_GLC di twitter dan juga Ng Yee Sheng atau lebih dikenali di Facebook dengan nama Boss James

Aizad merupakan seorang pempengaruh yang cukup sering bersuara berkenaan isu-isu politik dan komuniti di pentas Twitter telah berkongsi beberapa pandangan peribadi beliau dan amat mengharapkan sebuah tindakan susulan dapat diadakan selepas majlis hari raya yang diadakan tempoh hari. “Sebab utama kami semua mengutarakan semua pandangan atau kritikan konstruktif seperti ini adalah kerana kami sebenarnya sayang akan negara ini dan kami sayang kerajaan yang ada.”

Selain itu, Ng pula telah mengingatkan bahawa kita sebagai rakyat tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja untuk menangani isu-isu seperti scam internet tetapi semua orang perlu memainkan peranan lebih-lebih lagi para pempengaruh. “Kepada para pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu atau jutaan pengikut di media sosial, semoga kita semua terus menghasilkan kandungan yang baik -baik untuk menaikkan diri dan dalam masa yang sama menaikkan orang di sekeliling kita sebab saya rasa perkara ini akan menjadi pahala kita, jadi bekalan kita pada masa hadapan.”

Sebelum mengakhiri ucapan, Fahmi turut meluahkan harapannya agar selepas ini, perjumpaan bersama para pempengaruh komuniti seperti ini akan diadakan dengan lebih kerap lagi. “Dari masa ke semasa saya ingin jemput untuk berinteraksi dengan lebih konstruktif, kita akan jemput duduk semeja, dapatkan pandangan anda kerana kita semua ada peranan untuk dimainkan untuk mengawal kemanan dan memastikan keharmonian negara kita terkawal.”

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites