Sehari bersama Miss Charm Malaysia

Penulis berkesempatan untuk menemubual seorang bakat yang bertumbuh mekar di arena permodelan dan pengacaraan, Shannen Jade Totten sewaktu sesi penggambaran video travelog yang terbitkan oleh CENDANA Malaysia, Jalan-Jalan Cari Seni. Penggambaran video travelog itu yang salah satu sirinya dihoskan oleh Shannen berlaku di sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk mempromosi Kuala Lumpur sebagai salah satu hub seni dan budaya demi menarik pelancong dari dalam dan luar negara supaya mereka dapat info yang tepat dan menarik mengenai Kuala Lumpur.

Oleh AZUWAN AHMAD

Sekilas menatap wajah Shannen pasti ramai yang terpesona dengan wajah cantik model berdarah kacukan Cina-British ini. Pada pagi penggambaran, gadis berumur 26 tahun ini datang lebih awal daripada “call time” menunjukkan dedikasi dan displin terhadap kerjanya. Dia tidak membuang masa ketika sampai sahaja di set, dia terus bersiap untuk disolek bagi aktiviti penggambaran. Wajah yang semulajadi menawan tidak menampakkan reaksi terpaksa untuk bangun pagi bekerja. Di waktu selang-seli penggambaran , penulis berbual dan bertanya-tanya tentang pola fikir Shannen mengenai seni dan wanita. 

Bila mula bercakap tentang seni dan budaya, kelihatan jelas kesungguhan pada nada dan riak wajah Shannen. Tidak hairan lah mengapa Shannen terpilih untuk membawa nama Malaysia sebagai “Miss Charm“ di pentas Miss Charm International tahun lalu dan baru-baru ini. Antara kriteria yang melayakkan untuk memegang gelar tersebut adalah  pengetahuan seni yang mendalam serta boleh menjadi duta seni dan budaya untuk Malaysia.  Ramai yang tidak tahu Shanen merupakan graduan Fine Arts daripada Sunway University dan pernah menjadi guru seni di sebuah sekolah antarabangsa. Bila bercerita tentang dimana lahirnya percikan keghairahan ini Shannen berkata, “Saya memang lahir di dalam keluarga yang mencintai seni. Ayah dan ibu saya memang suka melukis dan seni mewarna. Semenjak saya kanak-kanak, saya didedahkan dengan pelbagai jenis seni dan ibu saya sering membawa saya menyertai pertandingan seperti peragaan baju di kompleks membeli belah.”

Shanen menemui cinta dan tujuan di dalam seni. Kenyataan ini jelas sekali, dia memilih seni sebagai subjek pengajian selepas lulus SPM. Dia memberitahu bahawa dia paling bersemangat sekali berbanding rakan-rakannya yang selalu tidur di dalam kelas ketika subjek Sejarah Seni diajar. “Saya melanjutkan pengajian di dalam bidang seni kerana saya merasakan hal itu mempunyai tujuan dan saya tak pernah merasa lelah dengannya. Bila saya mula mengajar seni di sekolah, ia adalah sebuah pekerjaan yang paling memuaskan saya. Kanak-kanak terutama di peringkat sekolah rendah apabila melakukan aktiviti seni, mereka sangat merasa yakin diri menurut apa yang mereka fikirkan dan itu memberi inspirasi kepada saya bahawa kita jangan sekali tidak percaya diri. Tujuan utama saya adalah untuk berkongsi dengan lebih ramai orang tentang kecantikan seni bukan hanya secara visual tetapi juga secara falsafah”. 

Di tengah cuaca panas sewaktu penggambaraan Jalan-Jalan Cari Seni, Shannen komited dengan kerjayanya.

Penulis juga menggali pandangan tentang seni di Malaysia secara amnnya kepada Shannen dan jawapan yang diberikan oleh gadis peminat warna ungu muda ini sangat wajar untuk difikirkan bersama. “Dalam 5 tahun kebelakangan ini, ada banyak perubahan dalam iklim seni di Malaysia. Waktu saya masih di universiti, tak banyak acara seni yang saya boleh nikmati kecuali pertandingan-pertandingan seni di kampus. Waktu itu kurang. Tapi sekarang sudah lebih banyak acara seni yang juga disokong oleh orang ramai. Banyak juga pendedahan untuk artis muda sebagai contoh apabila CENDANA dan MyCreative Venture membawa RIUH ke Ipoh. Ada banyak penambah baikkan terutama acara seni yang bersifat interaktif. Ramai orang sudah mula mengunjungi galeri dan acara seni antaranya seperti REXKL yang menempatkan acara SENSORII (pada ketika itu). 

Penulis bertanya juga mengapa sebabnya perubahan yang disebutkan oleh Shanen. Dia menjawab, “Dulu orang melihat seni macam kraf tradisional sahaja tapi sekarang ia dilihat orang ramai sebagai sesuatu yang boleh mereka nikmati. Oleh kerana itu penting lebih banyak acara dan galeri seni dibuka untuk orang ramai datang.” Shanen sangat meminati karya yang bersifat abstrak. Kebanyakan karya seni lukisannya menggunakan konsep abstrak dan warna yang bersifat semulajadi seperti biru atau hijau. Dia berkongsi juga minat seni  barunya kepada penulis di era digital ini. “Sekarang saya sangat berminat dengan Seni Visual Digital. Lebih banyak artis yang cenderung kepada digital sekarang. Ada banyak pereka grafik dan illustrator yang memberi inspirasi. Mereka memilih topik-topik yang lebih mencabar seperti politik. Tahun-tahun kebelakangan ini saya melihat ada perubahan suara dalam seni di Malaysia. Kita sudah ada suara kita yang tersendiri. Sebagai contoh saya meminati Red Hong Yi, artis kelahiran Sabah. Ketika saya mengunjungi Good Vibes, dia membuat installation menggunakan iron metal frame dan disambung dengan tali yang akhirnya membentuk struktur visual yang berwarna. Bagi saya dia mencabar sebuah kebiasaan.”

Shannen memang seorang yang suka bercakap dan mengutarakan pandangannya tanpa segan silu. Itu membuatkan Penulis tertarik untuk bertanya soalan mengenai apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam industri seni dan budaya di Malaysia supaya menjadi lebih baik. “Apa yang penting bagi seorang artis di Malaysia adalah untuk kita terus menyokong. Antaranya ialah mengadakan pameran dan acara seni bagi mereka mempamerkan hasil kerja dan bakat adalah penting sebagai platform. Kebanyakkan artis di Malaysia sangat mandiri.  Paling tidak yang boleh kita lakukan ialah membeli hasil kerja mereka walaupun dalam skala kecil ataupun membayar fi masuk untuk hadir di pameran-pameran mereka,” katanya. Dia menambah, kita sebagai orang awam harus memberi peluang kepada artis walaupun berbeza aliran cara fikir.

Dia memberikan saranan, “kita harus memberi peluang kepada artis yang sering mencabar pendapat awam macam Red Hong Yi dan Fahmi Reza. Mereka telah membuat sesuatu yang orang ramai perlu tahu dan membangkitkan kesederan kepada awam dalam bentuk seni. Ini membuatkan orang menjadi lebih faham dan mengerti . Ia juga akan memberi inspirasi kepada artis muda serta membuat kenyataan yang kuat bahawa seni memang bertujuan untuk mencabar.”

Shannen juga tidak beralah dalam menyentuh tentang sikap senior atau orang yang lebih lama dalam industri seni di Malaysia. “Di Malaysia kita mempunyai banyak seni tradisional seperti wayang kulit. Ia sangat mencabar untuk kita menyatakan pandangan atau idea baru kepada orang yang lebih senior dalam sesuatu seni kerana mereka sudah lama dan mempunyai pemikiran yang telah terbentuk hasil kerja yang bertahun-tahun. Saya sempat menonton sebuah pementasan wayang kulit yang mempunyai 3 screen kerana ada 3 generasi yang berbeza memainkannya. Kita harus berani untuk bercakap kepada orang yang lebih lama ini bahawa ada cara baru dalam memepersembahakan sesuatu kerja seni tradisional. Itu akan menarik orang muda untuk dapat serta boleh menikmati sesebuah karya seni tradisional. 

Mereka harus memberi ruang kepada orang muda untuk menghargai. Sebagai contoh lagi, batik. Selalunya kita tahu batik dibuat kebaya atau sarung tapi sekarang boleh dibuat dengan sentuhan fesyen moden seperti gaun dan blaus.” Shannen diketahui telah melawat lebih kurang 15 buah negara. Hampir kesemua negara Asia Tenggara telah dilawatinya dan banyak juga negara Eropah yang telah dikunjungi. Penulis sempat menyelitkan soalan tentang perbezaan seni antara  negara-negara yang telah dia kunjungi dan negara kita, Malaysia. “Di Malaysia, kebanyakkan kita tidak menerapkan seni sebagai sebahagaian daripada hidup.

Tak kira mana negara yang saya pergi sama ada Asia atau Eropah, malahan Timur Tengah sekalipun menerapkan seni dalam hidup mereka. Sebagai contoh dalam seni bina bangunan mereka. Di Timur Tengah, banyak motif Islamik dalam seni bina mereka. Di Malaysia, kita kurang memberi peluang untuk seni menempatkan diri dalam kehidupan seharian. Secara jujurnya, di sini subjek seni kurang mendapat sokongan dalam sistem pendidikan kita. Kita patut ajar tentang seni yang lebih besar di sekolah seperti mencanting batik dan ajarkan anak-anak tentang sejarahnya. Ia berbeza dengan waktu saya mengajar di sekolah antarabangsa. Mereka diajar seni yang lebih rumit seperti  seni ukir”. 

Ikuti siri Jalan-Jalan Cari seni yang

Berbicara tentang travel log Jalan-Jalan Cari Seni, Shannen sangat teruja bila dipilih oleh CENDANA untuk menjadi hos bagi siri tersebut. “Sebelum ini pun saya pernah menjadi hos untuk Jalan Jalan Cari Seni. Ia memberi peluang untuk saya menjadi pelancong dalam bandar saya sendiri dan saya boleh melihat benda yang saya tak pernah nampak sebelum ini. Sebagai contoh apabila saya berjalan di Petaling Street, saya dapat pergi ke restoran yang saya tak pernah tahu wujud dan mencuba makanan yang tak pernah saya rasa. Ia membuatkan saya gembira dan nyaman apabila dapat bekerjasama dengan CENDANA dalam memberi kesedaran tentang seni dan budaya.” 

Sepanjang penggambaran, Shannen kelihatan benar-benar meresapi pengalaman baru dan ia adalah perasaan yang sangat tulen. “Saya merantasi Bukit Bintang Pedestarian  Crossing Walk untuk kali pertama kerana saya sudah lama tidak ke tengah bandar disebabkan wabak Covid-19. Selain itu di Jalan Kwai Chai Hong, saya melihat banyak sekali mural yang mempunyai QR Code yang boleh anda imbas. Ia akan memberitahu anda tentang cerita dan sejarah mural tersebut. Jadi, ia membantu orang ramai untuk mengetahui info tentang sesuatu kerja seni. Sebelum ini pun pengalaman saya sebagai hos Jalan-Jalan Cari Seni, saya dapat meneroka galeri seni, muzik dan R!UH In The City. Masa itu saya dapat merasakan industri seni di Malaysia sudah bangkit.” Sudah tentu menarik juga untuk penulis bertanya tentang perbezaan siri yang lalu dengan yang terkini. Shanen menjawab, “perbezaan paling ketara adalah penceritaan dan sinematografi dua siri ini. Untuk kali ini, ia lebih kepada kita mengikut pengembaraan hos. Anda boleh dapat rasakan bahawa anda benar-benar bersama dengan saya dalam perjalanan pengembaraan itu. Kalau siri yang terdahulu lebih kepada gaya hidup dan bual bicara dimana saya mempunyai rakan hos.”

Shannen mempunyai keghairahan yang tinggi dalam kerjaya seni

Bila bercerita tentang cabaran bekerja di era pandemik, pemenang tempat kedua Miss World Malaysia 2018 ini berkata, “cabaran yang paling ketara adalah bila saya harus menyesuaikan diri kepada norma baru ketika berada di set atau di tempat kerja seperti harus sentiasa beringat menjaga SOP dan menjalani ujian pengesan bagi wabak Covid -19. Satu lagi yang paling jelas adalah untuk menyesuaikan tenaga saya apabila bekerja. Iya lah, sudah lama berkurung di rumah jadi untuk mengembalikan tenaga bekerja agak sedikit janggal apatah lagi kena bangun pagi semula. Tapi semua itu agak biasa bagi saya. Saya sangat faham semua itu perlu dilalui untuk menjaga keselamatn diri dan juga orang lain yang bersama dengan kita. Saya gembira tahun 2022 , keadaan mula menjadi semakin normal semula. 

Wanita di dalam Industri Seni

Sudah tentu penulis wajib untuk bertanya tentang penglibatan wanita di dalam industri seni kepada peminat tegar Daphne Iking ini. Shannen percaya bahawa wanita mampu untuk memberi impak di dalam industri. Jelasnya, “pemerkasaan wanita adalah pemangkin yang hebat untuk mereka memberi impak di dalam industri. Namun, memberikan mereka peluang yang saksama juga penting. Oleh kerana itu penting untuk mempunya platform yang jelas memberikan peluang tersebut. Bagi model yang mula mencipta nama ini, tema Hari Wanita pada tahun ini iaitu “Saksama Bersama” memberikan intepretasi dengan penjelasan peluang yang seadilnya untuk semua jantina, bangsa dan agama  demi mencapai impian mereka dan membina masa depan yang lebih baik.

“Saya berharap untuk melihat lebih ramai artis perempuan tempatan membuat pertunjukan kerja mereka di Malaysia,” katanya. Penulis bertanya kepada Shannen mengenai bagaimana merancakkan lagi penglibatan wanita dalam industri, dia menjawab, “Semenjak dua menjak ini, ramai wanita Malaysia yang mula menjuarai isu-isu dan norma budaya. Oleh kerana itu, penting untuk mempunyai wakil wanita dalam negara ini. Itu bukan sahaja akan mengukir laluan untuk generasi akan datang tetapi juga menyediakan platform dan menjadi suara untuk wanita Malaysia”.

Di akhir perbualan, Shannen sempat menitipkan pesan untuk anak-anak seni yang masih berjuang dalam industri. Pesannya, “Carilah keghairahan dalam hidup anda. Mencari hal tersebut bukan sahaja akan membuatkan anda terus bergerak tetapi ia juga menjadi motivasi untuk anda terus mengejar cita-cita terutama dalam beberapa tahun ini,  ianya menjadi lebih penting untuk mengharagai apa yang membuat kita gembira dan menghargai keindahan dalam kehidupan”.

kredit foto: Akaun Instagram Shannen Totten

Maklumat terkini yang BASKL terima, Shannen telah berjaya menempatkan diri ke 20 kelompok terbaik di ajang Miss Charm 2023 yang berlangsung di Vietnam 16 Feb lepas. BASKL turut berbangga dengan kejayaan tersebut dan mengucapkan tahniah atas pencapaian Shannen. Bagi anda yang mengikuti perjalanan kerjaya Shannen dan mahu mengenali wanita cantik ini dengan lebih lanjut boleh mengikuti laman instagramnya @shannentotten.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites