‘Unikorn’ fesyen Gurdip Kaur akan ke acara New York Couture Fashion Week 2024

Oleh NABILA AZLAN

Setelah membatalkan niat untuk menjadi seorang pakar tingkah laku haiwan (animal behaviourist) disebabkan kekangan kewangan, pereka fesyen yang bernama Gurdip Kaur Jaspal Singh, 30, mengatur corak kerjayanya jauh dari cita-cita zaman kanak-kanaknya. “Asalnya, saya memasuki dunia fesyen pada usia 20-an sekadar hobi. Fesyen adalah sebahagian daripada masa lapang saya sejak waktu persekolahan lagi,” cerita Gurdip.

Tampil dengan gaya cosplay yang tersendiri pada awal penglibatannya, koleksi permulaan anak kelahiran Pulau Pinang ini berkisarkan barisan watak asli (original characters) yang awalnya memerlukan tenaga jahitan luar untuk merealisasikan visi kreatifnya. “Tukang jahit keluarga yang pernah membantu saya dalam mencipta rekaan saya mencadangkan untuk saya cuba nasib di dalam dunia fesyen,” katanya. “Walaupun perjalanan ini menakutkan, saya sanggup mencuba, kerana pada saya, lebih baik mendalami bidang yang saya suka berbanding menceburi sesuatu yang betul-betul asing bagi diri saya.”

Ikhtiar identiti

“Saya tahu gaya apa yang saya suka, tetapi ada masanya saya tak dapat memenuhi perjalanan ini mengikut cara saya. Percambahan proses dan idea yang boleh dilihat pada hari ini bermula daripada elemen-elemen yang saya pegang dan pilih untuk berikan sepenuh fokus; inilah stail sebenar saya.”

Graduan Equator College, Pulau Pinang dalam jurusan Rekaan Fesyen dan Teknologi (Fashion Design and Technology) ini mengakui bahawa jalan yang ditempuhinya amat sukar. “Gaya fesyen yang saya pertaruhkan selalu dikritik. Sekian lamanya, saya dimomokkan dengan pendapat bahawa pelajar jurusan fesyen sekadar mahu meneroka kebolehan menjual pakaian,” terang Gurdip. “Betul, semua orang pun nak cari duit, tapi saya pilih untuk kekal dengan visi saya untuk keluar dengan rekaan pakaian yang lebih berani, lebih eksentrik. Saya rasa momokan itu berjaya untuk ‘memerlahankan’ suara saya sebagai seorang pereka.”

Gurdip bersyukur atas dorongan kedua ibu bapanya yang tidak mensia-siakan minatnya dalam bidang ini. Menurutnya lagi, “Bapa saya sedar akan kepentingan minat yang seiring dengan pemilihan kerjaya. Sebab itulah semasa saya memberitahu dia yang saya berminat untuk menceburi bidang fesyen, dia ternyata bangga – dalam usaha saya ini, terselit impiannya untuk meneroka dunia yang penuh dengan kreativiti dan ekspresi diri.”

Ilham

Tidak asing dari aliran kreatif, bapa Gurdip merupakan seorang guru gitar. “Sejak kecil lagi, kumpulan muzik dan barisan artis secara tidak langsung menjadi inspirasi saya. Sebab selalu bersama bapa saya ke latihan muzik kumpulannya sendiri, jadi sedikit sebanyak ia memberikan saya pendedahan kepada pelbagai bentuk alat muzik; saya juga dapat menonton banyak dokumentari muzik.”

Minatnya terhadap genre muzik rock dan punk bercambah daripada waktu yang dia habiskan bersama bapanya. “Saya berpeluang untuk mendengar lagu-lagu ikon muzik antarabangsa seperti Michael Jackson, Kiss, Alice Cooper, Bon Jovi dan Lady Gaga sementara menemani bapa saya sewaktu latihan ataupun semasa dia melakukan kajian.” Katanya, “Stail peribadi mereka amat saya kagumi. Dari dulu hingga sekarang, Michael Jackson adalah ilham besar buat diri saya.”

Elemen teras seperti sentuhan militari dan bling kukuh dalam gaya yang dia tampilkan. “Saya mengambil inspirasi daripada cara pemuzik seperti mereka dalam menggunakan pakaian dan aksesori berlainan sebagai bahan ekspresi diri,” jelas Gurdip lagi. “Saya ambil cebisan ilham ini sejurus memasuki dunia fesyen dan mula mencari stail saya yang tersendiri. Campuran elemen berani dan edgy ini mencerminkan minat saya terhadap gabungan fesyen dan muzik.”

Kelahiran GypsyKorn sebagai sebuah label fesyen secara rasminya pada tahun lepas dibangunkan sebagai cerminan personalitinya. ‘Gypsy’ merujuk kepada semangat bebas untuk meneroka dunia dalam mencari identiti; ‘Korn’ pula dipinjam dari sang unikorn yang juga nama timangan Gurdip sejak dahulu lagi. “Unikorn adalah haiwan mitologi yang dikaitkan dengan kekuatan dan ketabahan diri. Suka untuk saya jadikan makhluk ajaib ini sebahagian daripada identiti kreatif saya.” Katanya dengan bersahaja, “Sama macam unikorn yang membawa warna-warna pelangi, saya juga tak pernah setia dengan satu warna rambut!”

Ilustrasi kerja

Rekaan Gurdip banyak menggunakan bahan kulit (leather) dan denim dalam cabaran menjadikan bahan-bahan sepertinya lebih versatil. Tambahnya lagi, dia turut menerapkan elemen guna semula (upcycling) dalam rekaannya. “Saya berpeluang untuk mereka pakaian menggunakan bahan terpakai yang didermakan kepada syarikat Life Line Clothing mengikut proses rekaan saya sendiri.”

Corak kerjanya? “Semuanya bertitik tolak daripada sebuah konsep, yang saya kembangkan melalui pembacaan dan sejarah. Contohnya, cerita kehadiran fesyen punk – dari sini, saya akan menyuntik elemen yang lebih abstrak, diikuti pula dengan emosi saya sewaktu proses rekaan,” terangnya.

Olahannya juga merupakan surihan pereka fesyen tersohor seperti Alexander McQueen, Thierry Mugler dan Vivienne Westwood yang mengguna pakai energi ‘berani’ yang serupa. “Saya pastikan tiada elemen yang ‘membosankan’ – manipulasi tekstil yang saya tekankan akan mengetengahkan personaliti sang pemakai,” ulasnya.

Dari kiri: Reenisha Kaur, Sherry, Kash Bhullar, Kristina Barskaya

Buat pengetahuan pembaca, koleksi Gurdip yang membolehkan dirinya berentap di pentas New York Couture Fashion Week (NYCFW) dinamakan Punkature – An Ode to Queen “V” dan ia mengangkat zaman Victoria, elemen Steampunk sewaktu revolusi industri serta berfungsi sebagai satu bentuk penghormatan kepada Vivienne Westwood and Alexander McQueen. “Pameran saya sempena NYCFW di New York pada Februari 2024 mewajibkan saya untuk membawa enam koleksi rekaan. Memandangkan saya hanya menyediakan empat rekaan pada awal pertandingan, dua pakaian baharu akan saya cipta untuk dipamerkan di acara tersebut; saya akan menggunakan kulit terbuang serta perhiasan logam untuk tujuan ini bagi menaikkan rupa yang sedia edgy,” katanya yang juga wakil komuniti Punjabi dan anak Malaysia pertama yang dipilih untuk peringkat ini.

Gurdip terus kekal sebagai pencinta haiwan yang bangga dengan cetusan kreativiti dan pilihannya untuk berkarya menerusi rekaannya. Sebagai seorang pereka fesyen independen, dia sedang berusaha keras untuk mengumpul dana dan mempersiapkan dirinya buat pameran yang bakal berlangsung. “Dengan pertolongan ibu bapa dan teman lelaki saya, sayalah pereka fesyen, eksekutif pemasaran dan perhubungan, dan lain-lain!”

Pereka fesyen ini juga sedang sibuk merangka keluaran baru untuk kolaborasinya bersama kumpulan muzik rock Sekumpulan Orang Gila! Ikuti perjalanan seni Gurdip Kaur dan labelnya, GypsyKorn Atelier.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites