Sekumpulan Orang Gila kini Sekumpulan Juara

16 Mei 2005, sebuah tarikh keramat yang menjadi pencetus kewujudan sebuah band tempatan yang kini bergelar juara sebuah anugerah muzik yang paling berprestij di Malaysia, Anugerah Juara Lagu yang Ke-36.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Sebuah band independent, tiada label, tiada kewangan kukuh dan mungkin tidak begitu dikenali ramai sebelum ini. Namun berbekalkan semangat terhadap muzik dan keazaman yang tinggi, sekumpulan juara ini telah memecahkan bongkah persepsi masyarakat untuk menggenggam sebuah piala yang diidamkan oleh semua penggiat muzik tanah air. Sekumpulan Orang Gila atau lebih dikenali dengan SOG mungkin juara di hati peminat mereka, namun kini mereka juga telah menyandang juara di persada muzik tanah air.

Ikuti perbualan eksklusif BASKL bersama sepasang adik beradik kembar SOG, iaitu Raja Nazrin Shah (Abang) dan Raja Nazmin Shah (Adek) selepas kemenangan mereka baru-baru ini. Selain dua adik beradik ini, SOG turut dianggotai oleh Riko Agus (vokalis), Abdul Qayyum (bass), Amsyar Saiful (gitar) dan M.K. Ridzuan (flut dan gendang).

Pertama sekali, BASKL dan CENDANA ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada SOG kerana telah menjuarai Anugerah Juara Lagu yang Ke-36. Ramai di luar sana yang menjadikan SOG sebagai inspirasi untuk terus memperjuangkan minat dan semangat terhadap muzik. Cuba ceritakan bagaimana permulaan SOG serta apakah inspirasi muzik SOG.

Pada awalnya, acronym nama SOG bermula pada 16 Mei 2005. Sebelum Sekumpulan Orang Gila (SOG) diberi nama, kami dikenali sebagai Sound Of Genocide. Kami tubuhkan band ini secara suka-suka untuk membuat persembahan Sambutan Hari Guru di sekolah kami iaitu SMK Taman Selayang. Kami dua beradik dengan beberapa kawan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) kami. Itulah asalnya SOG dari sekolah hingga kesemuanya sudah memasuki umur 33 tahun ini. 

Dari awal, kami memang banyak main lagu daripada sebuah band Amerika Syarikat iaitu System Of A Down. Itulah inspirasi dan idola muzik kami. Apabila kami semua dah seronok buat persembahan, kami terus buat sesi jamming setiap hari Khamis selepas sekolah. Pada zaman itu, memang kami buat persembahan dekat sekolah sahaja untuk Sambutan Hari Guru, Majlis Makan Malam dan beberapa acara sekolah yang lain. 

Enam ahli SOG. Gambar: Facebook SOG

Selepas tamat SPM dan semua telah mendapat keputusan yang agak baik, masing-masing melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Ada yang di Perlis, ada yang di Penang dan kami berdua di Fakulti Muzik UiTM Shah Alam. Keadaan jadi agak pincang pada waktu itu dan kami menggunakan waktu cuti, untuk cuba pulun jamming bersama. 

Masuk sekitar tahun 2008, Itu merupakan kali pertama kami membuat persembahan di depan orang ramai, kami join gig. Kami juga fikir bagus kalau kami tukar nama namun tetap kekalkan acronym SOG itu. Pada waktu itu, kumpulan inspirasi kami, System Of A Down perjuangkan peperangan, timbul persoalan dalam diri kami, “kenapa nak ikut mereka?” kami rasa macam fake, jadi kami sepakat untuk tukar nama. Adek pada waktu itu memberi cadangan, Sekumpulan Orang Gila. Maka itulah nama yang melekat sehingga ke hari ini.

Bagi anda yang ingin menonton video awal penubuhan dan sesi jamming SOG sejak zaman sekolah, anda bolehlah layari laman YouTube SOG di SINI

AJL Ke-36, anda kini bergelar juara. Cuba kongsikan perjalanan SOG sehingga ke pentas AJL.

Sebenarnya AJL ini tidak ada langsung dalam perancangan perjalanan kami! Lagu ini, kami tak letak atau masukkan dalam mana mana anugerah untuk beberapa sebab. Pertama, lagu ini adalah lagu yang direkodkan pada tahun 2018 di France. Tahun 2019 pula, lagu ini dikeluarkan bagi OST filem KL Vampires dan kami fikir itu sahajalah perjalanan lagu Pelukan Angkasa. Hanya sebagai kesinambungan kepada lagu-lagu lain untuk album kami.

Lagu-lagu dalam album kami berkonsepkan sebuah cerita. Lagu Pelukan Angkasa ini pula adalah kesinambungan daripada lagu ‘Terbanglah’. Begitu jugalah bagi lagu-lagu kami yang lain. Kesemua lagu itu membawa sebuah cerita yang bersambung-sambung.

Sepanjang perjalanan kami sebagai sebuah band kami telah pupuk mentaliti yang mana kami cakap kepada diri sendiri, “kau bayangkan AJL ini, dalam 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang, anak-anak kau akan tengok dan anak-anak kau akan bangga atau tidak? masyarakat akan tengok, masyarakat akan bangga atau tidak dengan persembahan kita?

SOG pada peringkat Muzik Muzik. Gambar: Facebook SOG

Jadi, bagaimanakah lagu Pelukan Angkasa boleh tersenarai dalam AJL?

Pada tahun lepas (2021), pasukan produksi AJL telah menelefon kami untuk membuat persembahan sebagai artis jemputan. Kami pun berasa mengapa tidak, dan bersetuju untuk mengambil peluang ini kerana kami ingin kongsikan bahawa inilah kami Sekumpulan Orang Gila (SOG), inilah muzik hard rock.

Beberapa minggu kemudian kami diberitahu lagu kami dah masuk dalam carta. Kami semua terkejut tetapi kami sekumpulan berpendapat bahawa ini adalah rezeki dan apa kata kita teruskan sahaja. Jadi daripada artis jemputan, mentaliti kami berubah ke arah promosi untuk mengajak orang ramai supaya mengundi kami. Memang AJL ini sebuah miracle bagi kami semua.

Ramai yang memberi komen, SOG dan Shila Amzah memang betul-betul menjiwai lagu sewaktu pentas akhir AJL tempoh hari. Apa rahsianya?

Sebagai anak seni, kita kena yakin dengan karya sendiri. Sama juga seperti seorang ahli perniagaan, mereka perlu yakin dengan produk yang dihasilkan, baru boleh jual. Jadi kami buat yang terbaik dan kami serahkan kepada Allah. Pada kami, ada satu sahaja peserta yang perlu kami kalahkan sewaktu final, iaitu SOG semi-final. Kami kena kalahkan diri kami yang sebelum ini dan perlu jadi lebih baik daripada itu.  

Bagi kami, SOG perlu buat sebuah persembahan yang memberi impak. Apabila kita memberikan persembahan yang memberi impak, sudah tentu kita akan dapat mencuri hati semua orang yang menonton. Kalau kami sebagai band puas hati dengan persembahan kami, orang lain sudah tentu akan lebih puas hati. 

Bercerita mengenai lagu ini, kami lihat dalam muzik video ini SOG segak berpakaian baju melayu. Apakah maskud disebalik karya tersebut?

Secara jujurnya kalau kita lihat dari sudut muzik video, agak sukar sebenarnya kerana pada waktu itu SOG tidak ada duit. Dekat mana yang kami boleh jimatkan kos, kami cuba jimatkan kos selagi boleh. Jadi muzik video ini adalah antara item yang dapat kami kurangkan kos. 

Idea Baju Melayu tu pula datangnya apabila kami buat tour di luar negara. Kami tak ada duit jadi kami pakai lah Baju Melayu asalnya sebab nak jimatkan kos tetapi tiba-tiba orang luar suka tengok Baju Melayu. Kami pun kekalkanlah pakai pakaian tradisi ini apabila membuat persembahan.

Tapi bila cerita tentang lagu, macam yang disebutkan tadi lagu-lagu SOG semuanya memberikan satu perjalanan cerita yang berkait rapat antara satu sama lain, daripada lagu pertama kami sehinggalah sekarang. Ia merupakan sebuah cerita, seperti movie, macam satu buku cerita dan ada banyak watak. 

Bila orang ramai baca dan ikuti cerita itu, mereka akan tahu watak-watak ini. SOG ibarat pengarah sebuah cerita. Namun cerita-cerita ini banyak berkait dengan pengalaman kami sebagai sebuah band dan juga pengalaman peribadi kami juga. Itulah signature SOG.

Mengapa memilih untuk berkolaborasi dengan Shila Amzah dalam lagu ini?

SOG sewaktu membuat rakaman album di Paris, France selama satu bulan. Gambar: Facebook SOG

Kami memang berkawan baik dengan adik-beradik Shila. Asalnya kami main bola sepak dengan adik-adik dan juga ayah Shila dan pada tahun 2017, kami dijemput untuk main bola sekali dengan ND Lala FC di Perth, Australia. Pada waktu itulah kali pertama kami jumpa Shila kerana sebelum itu Shila selalunya berada di China tetapi untuk lawatan ke Perth ini, satu keluarga mereka ikut sama. 

Perjalanan daripada tempat tinggal kami ke tapak padang bola sepak tu agak jauh, lebih lapan jam perjalanan menaiki bas. Dalam perjalanan yang jauh itu kami pun penat dan untuk menghiburkan hati yang lara kami pun mulalah bermain gitar dan menyanyi bersama, Shila juga turut serta. Dia seronok sangat sampai Shila cakap, “eh, satu hari kita collab jom!”. Shila yang cakap, bukan kami yang cakap walaupun dalam hati kami macam, “betul ke? Dia Shila kot!” (Seolah tidak percaya akan pelawaan itu).

Jadi selepas lawatan kami ke Perth, perbualan itu pun berlalu pergi sehinggalah kami dapat tawaran untuk membuat OST KL Vampires pada tahun 2018. Pada ketika itu, kami fikir apa kata kita ajak Shila untuk kolaborasi bersama, sebab dia ada sebut dulu. Alhamdulillah Shila setuju dan dapat menghayati jiwa dan emosi yang kami ingin bawakan dalam lagu ini. Kami buat rakaman semasa dia sedang hamil! Shila seorang artis yang sangat hebat, kuasa vokalnya sangat hebat. Sewaktu penggambaran muzik video Pelukan Angkasa pula, Shila dalam keadaan hamil dan tak sampai satu bulan untuk bersalin, tetapi dia tetap memberikan komitmen penuh. Memang gila!

Orang luar sering melihat kita sewaktu senang, dan jarang untuk mereka lihat kesusahan dan cabaran yang perlu dilalui untuk sampai di sini. Jadi selain daripada keluarga, kawan-kawan siapakah pihak luar yang SOG ingin berterima kasih atau memberi penghargaan sepanjang perjalanan SOG selama ini sehingga menjadi juara AJL?

Banyak, sangat banyak. Namun sebenarnya kita tidak perlu tunjukkan kesusahan. Bagi kami SOG adalah bahtera, dan perjalanan menuju kejayaan ibarat bahtera yang sedang belayar, manakala kesusahan itu ibarat sebahagian daripada liku-liku perjalanan dalam mencapai apa yang dihajati. Jadi biasakan benda yang susah supaya bila dapat benda yang bagus, kita akan lebih menghargainya. 

SOG bersama Shila Amzah. Gambar: Facebook SOG

Bagi SOG, kami rasa yang paling dekat dan banyak sokong kami buat masa ini adalah CENDANA. CENDANA juga telah memberi geran bagi album Second Voyage kami, album yang mana terselit lagu Pelukan Angkasa. Pada masa itu geran kami sudah diluluskan, tetapi oleh kerana perubahan Kerajaan pada waktu itu maka terdapat sedikit masalah teknikal. Kami percaya Tuhan itu ada dan rezeki bukan duit semata-mata, jadi kami telah pergi ke France menggunakan pembiayaan sendiri. Kami kongsikan travelog perjalanan kami sewaktu berada di France di SINI.

Alhamdulillah, selepas pulang, CENDANA telah menanggung kesemua kos kami sewaktu di sana. Duit itu memang banyak mengurangkan beban kewangan kami dan kami amat berterima kasih kepada CENDANA.

Soalan yang terakhir, what’s next? Apa yang orang ramai boleh nantikan daripada SOG dalam masa yang terdekat ini? Adakah SOG akan hasilkan karya di luar negara?

Tekaan yang hampir tepat! SOG sebenarnya adalah sebuah touring band jadi mungkin lima tahun akan datang, barisan SOG semua ada di luar negara. Seorang di Jepun, seorang di UK, seorang di France tapi apabila ada show, semua berkumpul. Namun dari sudut muzik tempatan, dalam masa terdekat ini kami akan banyak membuat kolaborasi dengan pemuzik tanah air.  

Selain itu, sekali lagi kami nak ucapkan terima kasih kepada CENDANA. Terima kasih kerana percaya kepada SOG. Kalau nak diikutkan perancangan kami, tahun 2020 kami ada tour seluruh Asia. Pembiayaan untuk tour kami semua sudah diluluskan tetapi oleh kerana COVID, semuanya terpaksa dibatalkan. Kami percaya bukan rezeki pada waktu itu dan satu fakta menarik, salah satu destinasi kami pada waktu itu adalah Wuhan!

Selama lebih satu jam, perbualan penulis bersama pasangan kembar Raja Nazrin Shah dan Raja Nazmin Shah mewakili juara AJL Ke-36, Sekumpulan Orang Gila banyak memberi motivasi. Sebuah perkongsian yang amat jujur dan ikhlas daripada kumpulan ini serta semangat jiwa seni amat terserlah dalam diri mereka. Mereka adalah bukti yang sesiapa sahaja mampu melakukannya jika berusaha dan tidak pernah putus asa. Jika anda belum menjadi seorang peminat Sekumpulan Orang Gila, anda boleh layari laman sosial mereka di INSTAGRAMFACEBOOK dan juga YOUTUBE untuk mengetahui perkembangan mereka. Selain itu, M.K. Ridzwan, pemain flut dan gendang SOG juga pernah membuat Bengkel ACE bersama CENDANA, pautannya di SINI.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites