Turun Tanah: Sebuah pesta seni rupa Malaysia

GALERI PUTEH mempersembahkan seramai 70 orang seniman untuk pameran ulung mereka.

Oleh DANIAL FUAD

Latar seni di Malaysia dapat dilihat semakin pulih selepas dilanda pandemik. Aktiviti seni semakin meriah dianjurkan di sana sini, seakan membalas dendam semula selepas menyepi untuk sekian lama. Terdapat juga beberapa galeri baru yang muncul kebelakangan ini dan GALERI PUTEH yang terletak di KL Eco City Mall merupakan salah sebuah daripadanya. “Kami percaya sebuah lagi galeri seni sederhana seperti ini boleh menambah kemeriahan kepada gelanggang seni rupa Malaysia yang sudah berwarna-warni,” memetik penulisan daripada pihak pengurusan GALERI PUTEH.

Meriah itu sudah tentu benar sekali kerana untuk pameran ulung mereka yang diberi judul Turun Tanah melibatkan seramai 70 orang seniman yang mempamerkan sehingga 187 karya. Barisan seniman yang terlibat merangkumi segenap lapisan daripada yang muda sehinggalah yang lebih mapan. “Kami mahu bersama-sama mereka membuka jalan dan meneroka jagat seni yang tidak terbatas,” ujar pihak pengurusan GALERI PUTEH. Untuk tidak membosankan para pengunjung dengan karya yang terlampau sarat, galeri tersebut telah memutuskan untuk membahagikan pameran ini kepada dua bahagian.

Pemilihan tajuk pameran ini sangatlah bersesuaian dengan situasi GALERI PUTEH di mana menurut Azlina Musa, Yusmilayati Yunos dan Muhamad Nazri Ahmad dalam jurnal mereka Adat Turun Tanah di Pasir Mas Kelantan, “adat turun tanah merupakan satu bentuk upacara yang diadakan untuk meraikan kanak-kanak yang berusia empat puluh hari atau empat puluh empat hari, buat pertama kalinya mencecah kaki ke tanah. ”Amalan ini berakar umbinya daripada agama Hindu untuk memperkenalkan ahli keluarga baru kepada semangat nenek moyang dan juga semangat alam sebagai tanda hormat. Namun begitu, kini upacara ini lebih kepada menyambut ahli baru bersama ahli keluarga tanpa ada unsur lain.

Berlangsung selama dua bulan di mana bahagian pertama pameran berlaku daripada 11 Nov sehingga 2 Dis manakala bahagian kedua berlangsung daripada 6 Dis sehingga 24 Dis. Sangat menarik dengan apa yang berlaku di mana seniman muda mempamerkan karya mereka sebelah menyebelah dengan seniman mapan. Jamal Afiq Jamaludin telah mengulas, “seseorang berpeluang melihat karya-karya seniman mujarad mapan seperti karya baru Dato’ Fatimah Syed Zubir, karya lama oleh Dato’ Tajuddin Ismail, karya tidak berapa baru oleh Awang Damit dan Bayu Utomo Radjikin, karya terbaharu Rafie Ghani dan Fauzul Yusri digandingkan dengan Faris Ridzwan yang baru sahaja memenangi UOB Painting of the Year 2022 di dalam kategori Emerging Artist”.  

Karya-karya juga beraneka ragam daripada catan konvensional sehinggalah arca yang membuktikan kepelbagaian yang ada dalam latar seni Malaysia. Menurut Jamal lagi, “Antara sorotan untuk pameran ini adalah intaian karya-karya Fatimah Chik, seniman tekstil yang juga isteri kepada seniman, pengkritik dan sejarawan seni, arwah Redza Piyadasa.” Menurut GALERI PUTEH, ini hanyalah permulaan sahaja di mana terdapat banyak lagi karya beliau yang belum didedahkan dan dipamerkan dalam pameran tunggal.

Mengakhiri penulisan ini dengan petikan Jamal, “Pada asasnya, GALERI PUTEH telah berupaya untuk menghimpun pelbagai seniman yang dicari-cari, membuka pintunya untuk sebuah bufet santapan visual, menyambung bab baru mereka dalam pasaran seni Malaysia”. Melihat kepada skala pameran ulung mereka ini, dapat dilihat GALERI PUTEH bakal menghasilkan pameran-pameran yang berkualiti tinggi untuk mengisi ruang 5,000 kaki per segi galeri tersebut. Orang ramai boleh mengikuti laman Instagram dan juga Facebook mereka untuk sebarang kemaskini.

Ikutan pautan di bawah untuk artikel menarik di BASKL

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites