Semangat eksperimentasi menonjol dalam ber{SEMANGAT}

45 seniman mempamerkan hasil daripada Program Pembiayaan Produksi Seni CENDANA.

Oleh DANIAL FUAD

Tidak kira di mana, rata-rata masyarakat terkesan dengan wabak COVID-19, golongan industri kreatif juga tidak terkecuali, malah sangat terkesan akibat tidak dapat melakukan persembahan, pameran dan aktiviti lain. Untuk meringankan beban yang dihadapi rakyat, kerajaan telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi – PEMULIH pada 2021 dan telah memperuntukkan RM100 juta untuk industri kreatif. Cultural Economic Development Agency (CENDANA) selaku sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menerima RM8 juta untuk ditadbir urus aktiviti bagi meringankan beban anak-anak seni.

Sehubungan dengan itu, CENDANA telah melancarkan sembilan inisiatif untuk membantu kebangkitan semula industri seni kreatif di bawah program PEMULIH Seni Budaya CENDANA. Salah satu daripada inisiatif itu merupakan Program Pembiayaan Produksi Seni Visual yang telah menawarkan RM8,000 untuk para seniman menghasilkan karya baharu atau pun kesinambungan karya lampau, memupuk kemahiran insaniah dan juga menyediakan ruang pameran bagi seniman mempromosi karya mereka.

Seramai 53 orang seniman telah terpilih di bawah program ini merangkumi seniman dari pelbagai lapisan pengalaman, dari muda hingga yang lebih mapan. Kini, setelah selesai segala persiapan yang diperlukan berkenaan karya-karya mereka, sebuah pameran bakal berlangsung pada 15 hingga 30 Oktober ini. 29 seniman bakal mempamerkan karya mereka manakala 16 lagi memaparkan dokumentasi penghasilan karya mereka.

Fergana Art telah dipilih oleh CENDANA sebagai galeri yang bertanggungjawab dalam pengurusan pameran yang diberi nama ber{SEMANGAT} yang sedang berlangsung di sebuah galeri yang baru sahaja dibuka, Galeri Puteh, KL Eco City Mall. Pelbagai karya daripada catan konvensional oleh seniman seperti Haslin Ismail, Ajim Juxta, Gan Chin Lee dan juga Hushinaidi dengan menghasilkan karya-karya yang mengorakkan minda.

Selain daripada itu, semangat eksperimental juga dapat dilihat dalam pameran ini seperti dalam karya Lim Kook Yoong yang mengandungi dua buah skrin yang disambung dengan sejenis mesin. Satu skrin memaparkan hasil gabungan rawak portret yang berada di skrin paparan di sebelahnya. Manakala bagi Kimberly Boudvile pula, dia tertarik dengan lingkaran dan terus menghasilkan sebuah karya pemasangan skala besar menggunakan fabrik untuk menghasilkan sebuah lingkaran seakan labirin. Para pelawat dijemput untuk memasuki lingkaran tersebut sehingga ke tengah dan keluar melalui jalan yang sama. Apabila melaluinya, pengunjung seakan berada dalam lautan dan merasa kelemasan membuatkan ia karya interaktif yang sangat menarik.

Tambahan lagi, terdapat juga karya catan bukan konvensional seperti karya Syed Zamzur Akasah yang meneroka tanah liat kertas dan menghasilkan catan 3D. Hana Zamri juga menghasilkan karya yang menarik di mana beliau meneroka identiti Melayunya dengan menghasilkan pigmen daripada buah pinang, sebiji buah yang rapat dengan rutin memakan sireh bersama pinang yang sangat rapat dengan komuniti Melayu.

Pemilihan kurator untuk menyerakkan Siri Hantu dari Lim Chun Woei sekitar galeri juga merupakan langkah yang bijak di mana para pelawat dilengkapi dengan cermin mata 3D akan terserempak dengan hantu-hantu Chun Woei seakan-akan dalam kehidupan sebenar. Tidak dilupakan karya Sabri Idrus dengan arca berbentuk bulat yang boleh berdiri secara bebas, bukti kemantapan dan kefahaman Sabri dalam bahantara pilihannya.

Terdapat pelbagai lagi jenis karya yang jika diulas kesemuanya, mungkin membuatkan penulisan ini panjang daripada kebiasaan jadi orang ramai harus melawat pameran ber{SEMANGAT} untuk mendapatkan pengalaman sepenuhnya. Selain daripada karya, terdapat juga paparan dokumentasi karya seniman sepanjang mereka menyiapkan karya bagi Program Pembiayaan Produksi Seni itu.

Pameran ini telah dilancarkan oleh Pengerusi MyCretive Ventures, Encik Noor Azmi Mat Said di Galeri Puteh, L3-01, KL Eco City Mall. Lawatan boleh dibuat setiap hari daripada jam 10pg hingga 7ptg dan akan berakhir pada 30 Okt ini. Maklumat lanjut berkenaan pameran boleh didapati di laman Facebook Fergana Art.

Anda juga boleh mengikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites