Kisah pandemik melakar khazanah seni di Transit 1 x 1

Oleh MIMI SALLEH

Evolusi warna budaya dan warisan masyarakat memberi perspektif, konteks dan sentuhan terhadap sesuatu seni itu. Justeru, inisiatif Malaysian Art Archive & Research Support (MARS) menyediakan ruang bagi tujuan kajian, pengumpulan data dan koleksi seni dilihat sebagai salah satu usaha industri seni. Pada masa yang sama, ia menjadi ruang pengumpulan khazanah seni untuk penggiat seni generasi akan datang.

Terkini, MARS menganjurkan pameran bertajuk Transit 1×1: Online Exhibition. Bermula dari 19 Jun hingga 4 Julai 2021, pameran dalam talian ini akan mempamerkan karya daripada 50 penggiat seni tempatan secara dalam talian melalui Facebook Page HOM Art Trans. Menariknya, di Facebook Page HOM Art Trans turut disertakan klip video yang menunjukkan paparan secara dekat lukisan-lukisan tersebut dan catatan para pelukis. Penonton juga boleh memuat turun e-katalong pameran.

Walaupun tiada tema khusus namun kisah pandemik COVID-19 menjadi tema universal yang meruntun jiwa ramai. Anda boleh melihat pelbagai kisah kemelut emosi dan kegawatan yang melanda masyarakat diluahkan melalui ekspresi dan strok warna apabila setiap lukisan itu diamati dan catatan para pelukis itu dihayati.

Ehlid Luli melalui lukisan akriliknya The Government of Chrysalis.

Teringat beberapa tahun yang lalui, hidup kita seperti rama-rama yang terbang bebas menikmati sinar mentari dan harum flora. Kehadiran pandemik telah mengekang dan menyekat keupayaan kita untuk menikmati hidup. Ini yang digambarkan melalui lukisan Belum Bebas oleh Husin Othman. Dia menggunakan teknik garisan, sapuan dan cetakan dari bahan cat akrilik dan dawai jaring diletakkan sebagai permukaan 3D di atas kanvas. Melihat calitan warna-warna akrilik gelap membentuk seekor rama-rama yang digalvanikan (galvanized), teringat filem The Count of Monte Cristo, apabila Edmond Dantès melihat bulan purnama dari balik jerjak penjara. Bernyawa tetapi terpenjara.

“… saya mengolah imej rama-rama sebagai simbol kebebasan, namun kehidupan, keabadian, dan jiwa kita ditutupi jaringan pagar sebagai simbol penjarakan sosial. Mengurung diri ini penting bagi memastikan kepentingan keselamatan bersama dalam memastikan kita tidak terdedah dengan ancaman yang berlaku.”

Fong Jia Lok berkongsi kisah ini melalui lukisannya bertajuk Soul in the Shell

Namun, Ehlid Luli melalui lukisan akriliknya The Government of Chrysalis melihat situasi semasa pandemik ini seperti fasa kepompong (chrysalis). Ia adalah fasa metamorfosis yang memisahkan kisah lampau si beluncas menjadi si rama-rama.

“… Waktu ini adalah masa untuk adaptasi dan mencari jalan untuk terus hidup. Karya ini menggabungkan imej urban dan alam dan menolak satu sudut pandang sahaja. Saya melakar lanskap yang kompleks, menggambarkan keadaan huru-hara, dan dinamik yang turut mendapat sentuhan peribadi melalui bentuk figura. Entiti yang dipaparkan ini walaupun kelihatan janggal namun saling berkait.”

Hakikatnya pandemik mengubah cara kita melihat sekeliling termasuklah menghadapi isu kematian dalam ahli keluarga. Fong Jia Lok berkongsi kisah ini melalui lukisannya bertajuk Soul in the Shell. Sepintas lalu, kita boleh lihat pandangan kosong jasad yang terkujur. Lakaran cat minyak dan arang memberikan emosi sayu dan kehilangan.

“Lukisan ini adalah gambaran pak cik saya, seorang pesakit kanser selepas pembedahan. Tidur di katil hospital, dia akan memandang kosong ke arah siling. Saya menggunakan medium arang untuk melukis pakaiannya seharian. Itulah pakaiannya semasa dia masih hidup.”

This image has an empty alt attribute; its file name is Firdauz-Baharuddin-Animal-Farm-3.0-2-300x300.jpg

Firdauz Baharuddin melalui karyanya Animal Farm 3.0 kelihatan seperti mengambil inspirasi kisah dari novel satira popular berjudul Animal Farm tulisan George Orwell dan dikaitkan dengan isu semasa

Tidak dinafikan, semasa pandemik ini juga kita boleh melihat perbezaan sosio-ekonomi dalam masyarakat. Malah, keadaan menjadi lebih kalut apabila kelemahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menampakkan ketidakadilan dalam penguatkuasaan. Firdauz Baharuddin melalui karyanya Animal Farm 3.0 kelihatan seperti mengambil inspirasi kisah dari novel satira popular berjudul Animal Farm tulisan George Orwell dan dikaitkan dengan isu semasa. Menggunakan media sedia ada seperti kerusi plastik Firdauz mengajak penonton untuk berfikir secara mendalam.

“… kes-kes yang timbul menunjukkan ketidaktelusan pelaksanaan yang membezakan antara golongan masyarakat. Selebriti dan ahli politik seperti kalis hukuman manakala orang umum dikenakan kompaun yang tidak masuk akal. Kerusi plastik yang biasa dilihat di tepi-tepi jalan dan digunakan oleh penaja adalah simbol kegawatan yang melanda negara. Pada satu sudut, kepincangan itu tidak kelihatan. Namun, apabila dilihat secara dekat, cela itu sangat jelas. Karya ini adalah pandangan peribadi saya.”

lukisan Belum Bebas oleh Husin Othman

Satu perkara nyata pandemik ini telah mengubah acuan diri, masyarakat dan negara. Justeru pentingnya kita sebagai individu untuk tegas berpegang pada nilai dan pendirian. Ini yang dikongsi oleh Aina Arif melalui karyanya Don’t Break My Walls. Dia mengakui meluahkan perasaan kepada orang sekeliling adakala memakan diri. Mereka menghukum berdasarkan kesimpulan selepas mendengar satu perkongasian. Jika lapisan bawang selalu digambarkan sebagai perkongsian sisi diri, Aina pula mengambil pendekataan berbeza. Dia meletakkan lapisan demi lapisan tiub sebagai dinding yang menghalang dirinya daripada terluka.

“Bagi saya, berkongsi maklumat diri berlebih-lebihan ada keburukannya. Karya ini menggambarkan keterbukaan saya melalui medium yang digunakan. Berbeza dengan lukisan yang bergantung pada perincian calitan warna, penggunan tiub dan fabrik memberi ruang untuk perasaan ingin tahu berkembang. Tiub menjadi simbol dinding yang menjadi perisai, yang akan ditambah selapis demi selapis. Walau seberapa banyak yang dikongsi, itu sebenarnya sebahagian sahaja. Bahagian yang saya izinkan untuk mereka tahu.”

Pameran ini merupakan usaha beberapa pihak dalam menyokong dan menghargai ruang arkib yang MARS wujudkan dalam komuniti seni tempatan. MARS sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut menganjurkan beberapa aktiviti seni dengan tujuan mengumpul dana bagi memastikan arkib seni ini terus hidup.

2 comments

  1. Jsmilin irab

    2 July 2021

    memerlukan bantuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites