Tujuh seniman berganding bahu dan bergabung tenaga untuk mempersembahkan kepada masyarakat apakah erti nombor tujuh "7" kepada mereka.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Pameran seni TU7OH ini selari dengan namanya yang berasal daripada perkataan “tujuh” yang memberi maksud nombor 7 dan apa yang istimewanya adalah hampir semua perkara yang melibatkan pameran seni ini mempunyai sebuah perhubungan dengan nombor tersebut. Antara lain, pameran ini merupakan sebuah gandingan dari tujuh artis iaitu Aboud Fares, Bibichun, Eryn, Esther Geh, Mandy Maung, Maizul Affendy dan White Bones.
Sebelum pameran ini berlabuh di perkarangan Temu House Petaling Jaya, TU7OH telah membuat penampilan sulungnya sewaktu George Town Festival 2022 yang telah diadakan pada pertengahan tahun ini. Pada ketika itu, ketujuh-tujuh artis ini telah mempamerkan hasil karya seni mereka buat pertama kali di Hin Bus Depot yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Pulau Pinang. Kesemua mereka telah mempersembahkan kepada dunia apakah erti nombor tujuh itu kepada mereka.
Hasil seni karyawan Aboud Fares yang berjudul Bagged telah menunjukkan tujuh buah plastik sampah berwarna hitam yang tergantung di dalam bingkai yang tersendiri, seolah-olah membentuk rupa manusia yang ingin keluar daripada plastik tersebut.
Mungkin agak seram bagi sesetengah orang, namun apa yang ingin disampaikan oleh seniman ini adalah episod tragedi hitam sewaktu pandemik. Badan manusia yang dibungkus di dalam beg plastik dan dikebumikan dengan cara yang sungguh menyayat hati apabila saban hari melihat keadaan ini berlaku di sekeliling kita.
Maizul Affendy pula telah mempersembahkan sebuah karya berjudul “Mula Semula Vol 2” yang menggunakan cerita-cerita rakyat sebagai satu teknik seni dan dipertonton dalam bentuk komik. Maizul menggunakan cerita-cerita rakyat ini secara komikal yang cukup relevan dengan landskap dan kritikan politik pada hari ini. Karya ini mempunya tujuh panel berbeza dan empat daripadanya menggunakan cerita rakyat ali baba dan tiga daripadanya menggunakan cerita rakyat sang kancil.
Antara artis lain yang membuat penampilan di dalam pameran TU7OH ini adalah White Bones yang merupakan sebuah gandingan dua orang artis iaitu Benjamin dan Cindy. Mereka telah mempamerkan sebuah karya yang cukup unik dan perlu dihayati secara turutan daripada kiri ke kanan.
Jika kita lihat dari sebelah kiri sekali dimulai dengan abstrak seni yang cukup kompleks dan seni mereka itu beralih kepada abstrak yang semakin halus dan lembut apabila kita mengikuti perjalanan itu sehingga ke karya yang terakhir yang berada di sudut yang paling kanan.
Selain itu, antara karya yang menarik perhatian penulis adalah hasil seni Esther Geh yang banyak menggunakan elemen tumbuh-tumbuhan dalam karyanya sambil masih tetap berpegang kepada nombor tujuh sebagai tema karya.
Esther telah mengumpulkan dan menggubah hasil seni berkenaan tanpa mengubah kejadian asalnya sebagi sebuah tumbuh-tumbuhan yang berasal daripada bumi dan hidup bebas di dalam alam semula jadi. Antara lain yang menarik, Esther juga hanya menggunakan tujuh jenis warna sahaja untuk menghasilkan karyanya.
Kesemua tujuh artis yang membuat pameran TU7OH ini mempunyai sebuah lagi persamaan besar iaitu mereka semua menetap dan bermastautin di Pulau Pinang. Tidak semuanya anak kelahiran negeri metropolitan, namun sejarah untuk hidup di sana merupakan sebuah perjalanan hidup yang kesemua mereka kongsi bersama. Walaupun terdapat juga hasil karya yang telah terjual sewaktu George Town Festival 2022 yang lalu namun mereka telah membuat beberapa pembaharuan untuk terus memberikan yang terbaik buat pengunjung Temu House kali ini. Pameran TU7OH masih berlangsung di Temu House sehingga 2 Oktober ini. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut anda bolehlah melayari laman media sosial Instagram Temu House.
Antara kisah lain yang boleh anda ikuti;