Jangan buang minyak masak terpakai!

Jom kitar semula minyak masak terpakai bersama kami. Sejak kebelakangan ini penulis ternampak banyak iklan di media social memaparkan pembelian minyak masak terpakai. Tertanya juga apa tujuan pembelian mereka? BASKL kali ini ingin berkongsi antara idea untuk mengitar semula minyak terpakai ini.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Minggu lalu penulis bersama seorang rakan telah menyertai kelas bersama Soap Opera Kuala Lumpur, di mana topik kelas tersebut menyentuh tentang pembuatan sabun menggunakan minyak masak terpakai. Perkara pertama yang bermain difikiran penulis, “adakah sabun ini akan menghasilkan rupa yang menjijikkan?” Ketawa kecil dalam hati penulis. Jawapannya tidak sama sekali!

Kelas ini dihadiri seramai 7 orang sahaja, penulis berasa ia adalah jumlah yang setimpal untuk bilik yang berukuran sederhana. Peserta hanya perlu hadir sehelai sepinggang kerana segala peralatan telah disediakan termasuk pensel dan kertas untuk menyalin nota.

Sebelum kelas dimulakan, tenaga pengajar, Funn Chiam telah berkongsi terlebih dahulu tentang bahan, cara pembuatan serta asas untuk membuat sabun dan bagaimana sabun boleh terhasil daripada minyak masak terpakai tadi.

Menjawab semula pertanyaan penulis tadi, memang tidak ada rasa jijik mahupun bau yang kurang menyenangkan. Menurut Funn, minyak masak terpakai yang telah dikumpul ini akan dipanaskan terlebih dahulu bersama sukatan air yang tertentu. Proses ini mengambil masa lebih 4 jam sebelum kotoran akan jatuh kebawah dan minyak masak yang bersih berjaya dipisahkan, namun ia bergantung pada tahap kekotoran minyak.

Selepas selesai, minyak elok akan terapung dipermukaan kuali itu tadi, kemudian diceduk dan diletakkan ke dalam bekas yang baharu. Proses seterusnya adalah untuk menghilangkan bau jadi bahan-bahan semula jadi yang wangi seperti limau, daun pandan dan daun pudina dimasukkan ke dalam minyak tadi, kemudian ia akan dipanaskan semula.

Sebagai info tambahan, cara pembuatan sabun selalunya terbahagi kepada dua Cold Process (Proses Sejuk), dan Hot Process (Proses Panas). Untuk proses kali ini, kami menggunakan proses panas kerana proses ini mengambil masa yang singkat berbanding proses sejuk.

Berbalik pada pembuatan sabun tadi, proses diteruskan dengan mengambil bikar berisi air dan dicampurkan dengan sodium hydroxide atau lebih dikenali dengan lye (sebutan ‘lai’), antara bahan yang digunakan untuk membuat sabun berbentuk bar.

Perlu diingat, penulis bukanlah seorang yang pandai dalam membuat sabun, anda perlu tahu ‘format’ atau spesifikasi dalam membuat sukatan amat diperlukan agar anda mendapat hasil yang diingini.

Seterusnya, kedua-dua bahan yang telah disediakan tadi akan dicampurkan ke dalam pot yang lebih besar, ia perlu dikacau menggunakan mesin pemukul yang kecil sehingga terhasilkan tekstur seperti dalam gambar ini.

Bahan yang dipukul tadi akan melalui tiga proses iaitu pudding, gel dan wax. Dalam fasa wax, pemerhatian terhadap tahap PH dalam adunan sabun tadi adalah amat penting agar sabun ini selamat untuk dipakai.

Funn turut mengingatkan kami, “membuat atau memanaskan sabun bukan tentang langkah, tetapi ia memerlukan pemerhatian yang tinggi.” Ini kerana terdapat beberapa langkah sewaktu tiga proses itu berjalan, namun adalah tidak lengkap jika bahan itu tidak bertindak balas seperti apa yang sepatutnya.

Sesudah itu, kita perlu mencampurkan wangian atau essential oil ke dalam bekas acuan sebanyak 30 titik dan campurkan dengan pewarna. Dalam kelas ini, kami menggunakan bahan-bahan asli seperti warna kuning kunyit. Bahan yang telah diadun tadi kemudian akan dicampurkan ke dalam bekas acuan yang berisi warna dan pewangi kemudian digaul rata sebelum di hias menggunakan bunga kering dan dibiarkan seketika sehingga keras.

Memang cukup seronok perkongsian dari Funn, sambil menunggu, Funn turut berkongsi beberapa pewarna semula jadi yang dapat kita hasilkan sendiri, sebagai contoh;

Warna hijau: daun pudina, daun pandan, serbuk spirulina, serbuk matcha

Kuning: kunyit, labu, durian, tomato

Funn juga berkongsi, menurut pengalamannya antara warna yang tidak akan terhasil dengan bahan semula jadi adalah warna merah dan biru. Campuran bahan yang seakan dua warna ini pada mulanya akan menghasilkan warna yang diingini, namun selepas membeku warnannya akan berubah.

Kelas selama 2 jam ini memberi banyak manfaat, terutamanya buat seseorang yang tidak mempunyai ilmu tentang cara pembuatan sabun dan sangat tidak berseni seperti penulis. Selain kegunaan sendiri, sabun seperti ini boleh dibuat sebagai hadiah buat orang tersayang.

Sebagai peringatan kepada mereka yang ingin mencuba, terdapat bahan kemikal dalam pembuatan sabun ini. Jadi anda digalakkan supaya berhati-hati dan pastikan dibawah pengawasan orang dewasa dan mereka yang pakar.

Jadi ini dia hasil sabun yang penulis telah buat dalam kelas ini. Bagi anda yang berminat anda boleh sertai mana-mana kelas seperti ini untuk memenuhi masa lapang anda. Selain menambah ilmu, anda juga dapat berjumpa rakan baharu dan serlahkan seni dalam diri anda.

Bagi anda yang tidak ada idea nak buat apa bersama keluarga, kami kongsikan antara Things To Do buat anda! Selamat mencuba.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites