Jumpa lagi, Bob Lokman!

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Bin Lokman baru meninggalkan kita pada hari Jumaat. BASKL mencoret sedikit kata-kata sebgai penghormatan untuk mengenang penulis lirik prolifik ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Bob Lokman, seorang penulis lirik terkemuka tanah air yang telah menyumbang lirik dalam sekitar 350 buah lagu sepanjang kerjaya seninya telah mendahului kita semua menemui Sang Pencipta pada 23 September 2022 dan telah selamat disemadikan di  Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunut, Kubang Kerian jam 9 malam pada hari yang sama. 

Selain menyumbang lirik untuk lagu-lagu hits tanah air, Bob juga pernah dikenali sebagai pengacara, pelakon dan juga pelawak. Antara filem yang pernah dibintangi oleh Bob adalah Iskandar (2003), Getaran (2001) dan Mantra (2010). Allahyarham juga pernah menjadi pengacara untuk beberapa rancangan TV dan juga acara seperti Anugerah Industri Muzik. 

Allahyarham Bob di dalam Filem Iskandar. Sumber : Youtube

Penulis secara peribadi tidak pernah menemui Bob Lokman tetapi seperti kebanyakkan orang terhutang budi dengan Bob atas sumbangannya karyanya dalam lagu-lagu yang sering kita dengar. Isabella dan Taman Rashidah Utama menjadi lagu siulan anak-anak muda sehingga ke hari ini. Sebagai pendengar dan peminat  lirik lagu yang ditulis Bob, penulis dengan berani mengatakan bahawa Bob adalah suara wakil kepada pencinta-pencinta kecundang di luar sana. Kata-kata yang puitis dan bait-bait dalam lagu tulisan Bob menerangkan manis dan kecewa dalam percintaan secara tepat sehingga kita merasa bahawa itu adalah kita. Lagu Taman Rashidah Utama yang menjadi  rahsia umum Bob tujukan untuk seorang pelakon wanita tanah air yang ketika itu  masih muda remaja, dia menulis;

Ku berjalan di dalam hujan, 

Mencari api yang terpadam, 

Namun sudah sekian lama,

Hanyalah gelap gelita.

Kata-kata Bob itu benar-benar datang dari rasa hatinya. Dia sangat mengerti apa itu makna sebuah harapan yang telah hancur dalam hubungan cinta. Gelap yang tiada gelap lagi.  Namun sifat seorang pencinta itu begitulah. Dalam payah dan susah, dia pasti akan menempuh jalan yang suram itu walaupun dia sudah tahu tak mungkin api cinta itu terus menyala dalam keadaan yang basah kuyup dengan ketidakpastian.  

Isabella yang sesetengah ahli muzik di tanah air meletakkan sebagai penanda aras sebuah lagu yang baik, walaupun selepas 3 kali draf lirik ditolak sebelum diterima komposer terkenal yang juga sahabat baiknya, Dato’ M Nasir. Penulis membaca di sebuah wawancara bagaimana Bob sangat merendah diri dengan mengatakan ketika dia menulis lirik itu, dia masih mentah dan muda sekitar umur 25 tahun. Baginya, lagu itu kurang falsafahnya. Namun, walau apa pun yang dikatakan olehnya, kita tahu bahawa Isabella itu sebuah lagu yang premisnya kecil tetapi diskusinya besar. Cinta yang terhalang oleh darjat dan kekayaan itu sudah pasti ideanya ada di dalam benak fikiran Bob ketika itu, walaupun tidak lah dia membeberkan perihal kasta seperti HAMKA mencoret watak Zainuddin dan Hayati. Pada tahun-tahun itu, wanita kacukan dilihat sebagai eksklusif dan ‘mahal’. Bob telah menceritakan inspirasi tulisan lagu tersebut adalah hasil perkenalannya dengan seorang wanita kacukan Inggeris. 

Penulis sempat bercakap dengan beberapa temannya atau orang yang pernah bekerja dengannya sepanjang dia berada dalam industry seni;

Sabri Yunus (pengarah, pelakon)

“Pernah sekali dia serabut tentang sesuatu dan ajak saya pulang ke Kelantan malam itu juga. Sepanjang perjalanan itu lah saya mengenali siapa Bob Lokman. Sampai sahaja di Kelantan, dia kata nak pulang ke KL esok paginya. Ketika saya di rumah ibu saya, tak sampai satu jam dia kata dia nak ambil saya dan pulang pada malam itu juga. Itu kenangan saya dengan dia. Dia seorang yang pandai ambil hati kawan dan suka berkawan dengan orang yang berilmu”.

DATO’ Hattan (penyanyi)

“Separuh daripada kerjaya aku adalah dengan Bob. Aku sempat melawat dia di Kelantan 3 minggu lepas. Diat cakap dia dah tak lama. Aku kata ni semua kerja Tuhan, Bob. Aku rasa dia memang dah tahu. Aku sedih dan terkejut. Sepanjang aku kenal Bob, tak pernah dia tolak kalau mintak lirik. Semua lirik tu meletup dan membuat aku meletup dalam industri. Dia memang sahabat baik aku. 

Joey(pelakon dan pelawak)

Aku kenal Bob dah lama dari zaman Luncai Emas. Dia garang dan lawak. Dia banyak tolong aku dalam banyak hal termasuk duit masa aku awal-awal dulu. Benda yang aku ingat sekali adalah dia selalu ajar suapaya sentiasa pertahankan hak diri. He’s my brother”.

Sharifah Shahiera (Pelakon, DJ Suria fm)

“Saya jadi artis bersama dia di zaman 90-an. Kami berkawan baik. Baik dia tu tak payah cakap lah. Tak berkira. Ada satu kali dalam satu rancangan di RTM, ada orang call cakap terima kasih dengan Bob sebab dapat dengar dan tengok Bob dekat TV pun dah dapat gembirakan dia. Bob pernah cakap dengan saya yang dia akan gembira kalau dapat gembirakan orang”. 

Issey Fazlisham (Pelakon, DJ Gegar fm)

“Abang Bob adalah seorang yang baik dan perjuangan dia ketika muda banyak memberi kesan positif kepada industri hiburan. Dia seorang pelawak, pengacara dan penulis lirik yang hebat. Saya sebagai generasi baru benar-benar terasa kehilangan”. 

Pemergian Bob pasti akan dirasai. Liriknya yang penuh makna yang tersirat pasti akan dicemburui dan menjadi inspirasi kepada penulis muda. Personalitinya dan tingkah lakunya pasti meninggalkan kenangan untuk orang pernah berpapasan dengannya. Penulis bagi pihak BASKL mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Bob Lokman serta sahabat-sahabat dekatnya. Semoga Allah mengampunkan dan mengasihi Allahyarham dan tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman. Penulis tinggalkan anda dengan sebuah rangkap akhir Taman Rashidah Utama ;

Biarkanlah aku di sini,

Menjadi nisan cinta ini,

Izinkanlah aku mengenang,

Dirimu, oh sayang. 

Jumpa lagi, Bob Lokman!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites