Tinggalnya legasi Victor Chin, seorang seniman dan pejuang

Victor Chin terkenal dengan lukisan bangunan warisan dan gerakan menentang kemajuan yang tidak beretika telah meninggal dunia.

Oleh DANIAL FUAD

Victor Chin telah pergi meninggalkan kita pada jam 3.48pg, 14 Nov pada usia 73 tahun. Beliau merupakan seorang yang sangat aktif dalam bidang seni dan juga aktivisme, di mana beliau telah menggelar dirinya seorang penulis, pereka, jurugambar, pembikin filem dan juga aktivis. Antara karya terulung beliau merupakan lukisan cat air kedai-kedai pra-merdeka yang telah dihasilkan beliau di antara tahun 1980 hingga 1995.

“Karya-karya ini mewakili serpihan memori yang kini telah hilang ditelan zaman. Peta ini telah meletakkan tempat dimana Abraham, penjual tembakau pernah membuka kedai runcitnya, termasuk juga penjual kek, penjual ayak dan penjual-penjual kraf tradisional yang pernah ada di jalan ini,” ujar Chin, mengambil petikan terdahulu dalam temuramahnya bersama majalah Option.

Sentiasa mempunyai perasaan nostalgia terhadap kawasan-kawasan lama, salah seorang teman beliau telah berkongsi tentang pengalamannya bersama Chin dalam usaha menyelamatkan padang kriket Royal Selangor Club yang berusia hampir 100 tahun pada ketika itu. “Victor telah membuat rancangan untuk kami berdua cuba sekurang-kurangnya menyelamatkan sebahagian padang kriket tersebut. Beliau dengan pantas mereka risalah menjemput surat khabar utama untuk mereka menyaksikan usaha kami di mana kami telah menghantar jemputan itu secara terus kepada editor-editor surat khabar di Kuala Lumpur. Kami tidak pasti jika ada sesiapa yang bakal hadir pada acara kami pada pagi Ahad tersebut tetapi kami berjaya memujuk dua teman, Kit Lee dan Anand Somasundram untuk turut serta.”

“Victor telah menghasilkan dua kotak kayu bagi kami mengambil sebanyak mungkin tanah daripada padang yang berusia hampir seabad itu. Terkejut juga kami dengan kehadiran beberapa orang wartawan dan jurugambar daripada surat khabar yang telah kami jemput. Victor kemudian bertanya kepada pekerja di sana jika boleh untuk mengambil tanah daripada padang tersebut dan dengan terpinga-pinga, mereka kata ambillah sebanyak mana yang dimahukan sambil gambar diambil oleh para wartawan yang hadir,” ujar Hamin Derus, pelukis, penulis dan juga vokalis bagi kumpulan kugiran The Songkoks yang berpusat di New Zealand. Aksi mereka pada ketika itu telah mendapat tumpuan orang ramai dan berjaya masuk ke beberapa surat khabar.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat menentang kemajuan yang melupakan tradisi. Ini membuatkan beliau rapat dengan perkampungan Hakka di Mantin yang menghadapi pengusiran daripada pihak pemaju. Chin bersama dengan Chan Seong Foong telah memulakan gerakan Rakan Mantin bagi mempertahankan kampung yang telah berusia lebih daripada 100 tahun tersebut.

“Victor sering menulis tentang ‘gergasi’ seni sezaman ketika itu dalam penulisannya di surat khabar, majalah dan juga risalah pameran. Ismail Zain, Piyadasa, Jamal, Hoy Cheong dan lain lagi merupakan ‘makanan’ bagi beliau dalam penulisannya. Ulasan pamerannya pedas dan cukup lengkap. Kemudian beliau membuka RUPA Gallery. Ketidak selarasan dalam menjadi seorang pengusaha galeri dan kritik telah melembutkan sedikit beliau.

Walaubagaimanapun kepekaan beliau terhadap golongan kurang bernasib baik dan dilupakan sentiasa wujud dalam dirinya. Cerita berkenaan orang Hakka di Mantin merupakan sebuah warisan beliau,” ujar Jaafar Ismail, pengusaha Fergana Art dan juga penulis seni. Selain daripada Rakan Mantin, Victor juga merupakan pengasas bagi gerakan Rakan KL yang mengetengahkan pemeliharaan warisan dan pembangunan lestari untuk Kuala Lumpur.

Zain Abdullah, seorang jurugambar telah berkongsi pengalamannya bersama Chin, “Saya mengenali Victor melalui gerakan Rakan KL yang mendesak pemaju untuk tidak memusnahkan kawasan kedai di Jalan Sultan bagi pembinaan MRT. Walaupun ianya tidak berjaya, Victor dan beberapa lagi aktivis Cina lain telah menjadi kawan saya. Kami berkongsi minat yang sama iaitu seni bina warisan, fotografi dan juga seni. Walaupun saya merupakan jurugambar amatur, Victor sering menggalakkan saya untuk mempromosi karya dan juga blog saya dan menyatakan bahawa setiap usaha saya, walaupun semana kecil pun tetap mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara warisan kita”.

Kehilangan Victor Chin amatlah memberi kesan kepada pelbagai pihak yang telah bekerjasama dengan beliau sepanjang usaha-usaha aktivisme dan juga dalam latar seni masyarakat. Kurator dan juga seniman Yap Sau Bin telah berkata, “Pertama kali saya mengetahui tentang Victor dan karyanya tentang bangunan warisan adalah semasa saya seorang pelajar. Kemudian saya mengenali beliau sebagai penulis seni dan penganjur komuniti. Sentiasa sanggup berkongsi, dedikasi Victor dan usaha beliau dalam seni sangat memberi teladan. Pemergian beliau sangatlah memberi kesan kepada latar seni, keluarga, rakan-rakan dan komuniti yang telah berkerjasama dengannya. Berehatlah dengan tenang Victor.” Tentunya banyak lagi legasi yang beliau telah tinggalkan.

Kami di BASKL ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Victor Chin serta orang-orang hebat dalam dunia seni yang telah pergi meninggalkan kita.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites