Teknik tembikar berusia 800 tahun dipamerkan di Museum of Asian Arts

Yakishime, sebuah teknik penghasilan tembikar berusia 800 tahun yang masih dipraktikan sehingga kini.

oleh DANIAL FUAD

Pada masa kini, seni tembikar kebiasaannya disepuh (glazed) untuk menghias produk akhir dan menjadikan permukaannya berkilat, yang secara tidak langsung memberikan sifat kalis air. Namun begitu, terdapat sebuah teknik tembikar yang berusia hampir 800 tahun berasal daripada Jepun tidak melalui teknik sepuhan ini yang digelar yakishime. “Produk hasil yakishime ini dibakar pada suhu yang tinggi membuatkan tanah liat melekat erat bersama membuatkan permukaannya berkilat dan kalis air,” ujar Mieko Iwai, kurator bagi Panasonic Shiodome Museum.

Beliau juga merupakan kurator bagi pameran jelajah terbaru Japan Foundation yang berjudul Yakishime – Earth Metamorphosis yang sedang berlangsung sehingga 25 Nov ini. Pameran ini menceritakan sejarah perkembangan yakishime ini daripada kelahirannya semasa akhir Zaman Heian (897 – 1185) hinggalah masa kini.

“Barang-barang tembikar yang tidak disepuh dibakar dalam suhu yang tinggi, antara 1,200 °C hingga 1,300 °C digelar yakishime kerana tanah liat tersebut akan Yakishimeru iaitu merapat bersama kerana dibakar,” ujar Iwai lagi. Asalnya, kebanyakkan barang-barang yang dihasilkan adalah pasu untuk menyimpan air dan juga pinggan makanan. Pada awaknya, ia dihasilkan di pusat tembikar seperti di Bizen dan Tokoname, kemudian teknik ini berkembang sehingga ke Shigaraki semasa Zaman Kamakura (1185 – 1392) di mana mereka memperoleh pengetahuan itu daripada Tokoname.

Setelah hampir 200 tahun dihasilkan, yakishime telah diangkat menjadi barang kelengkapan untuk teh yang sangat penting semasa Zaman Momoyama (1568 – 1615.) Tambah Mieko, “Sen Rikyu, orang yang paling berpengaruh dalam dunia teh pada ketika itu dan Toyotami Hideyoshi yang telah menyatukan Jepun di bawah pemerintahannya merupakan dua orang yang mengagumi yakishime daripada Bizen dan Shigaraki. Di bawah naungan merekalah banyak balang air tawar, mangkuk teh, kedi teh, pasu dan pelbagai lagi alatan teh telah dihasilkan.”

Namun begitu, semasa Zaman Edo (1600 – 1868) kemasyhuran yakishime sebagai peralatan teh tenggelam dek kerana kemunculan tembikar yang disepuh yang dihasilkan di Arita. Yakishime masih lagi dihasilkan untuk kegunaan pengisian bahan makan. Amalan Washoku iaitu istiadat perihal penyediaan dan cara makan juga membantu dalam memastikan yakishime diteruskan. Terdapat pelbagai jenis pinggan, mangkuk dan cawan sake dihasilkan menggunakan teknik yakishime ini sejajar dengan fahaman Washoku. Praktik ini masih lagi diteruskan sehingga hari ni dan pada tahun 2013, UNESCO telah menganugerahkan washoku sebagai warisan budaya.

“Walaupun barangan yakishime rapat dengan bekas mengisi bahan, seniman sezaman juga telah menghasilkan objek seni melalui teknik ini. Terdapat juga beberapa barangan yakishime ini yang telah disepuh secara semulajadi apabila abu jatuh ke atas mereka semasa pembakaran,” ujar Mieko. Kini, terdapat pelbagai jenis karya yang dihasilkan daripada teknik ini yang mengangkat mereka kepada objets d’art daripada barangan gunaan harian sahaja. Anda akan dapat lihat melalui pameran ini kepelbagaian hasil karya daripada seniman tembikar seperti Tanaka Tokomi, Tsuji Seimei dan Ito Tadashi.

Yakishime – Earth Metamorphosis merupakan sebuah pameran jelajah yang dianjurkan oleh Japan Foundation. Ia merupakan sebahagian daripada ikhtiar badan tersebut untuk mempromosi budaya Jepun ke luar merangkumi seni seperti kraf, catan, fotografi, seni bina dan seni reka. Sebanyak 20 pameran jelajah berjalan dalam sesuatu masa di mana mereka bekerjasama dengan ratusan muzium dan pusat budaya seluruh dunia. Untuk pameran kali ini, mereka telah bekerjasama dengan Museum of Asian Arts, Universiti Malaya di mana pameran ini berlangsung sehingga 25 Nov ini.

Galeri dibuka pada hari kerja di antara Isnin – Jumaat darip jam 9pg hingga 5ptg di mana terdapat waktu rehat bermula dari jam 1ptg – 2 ptg dan dari jam 12:15tgh – 2:45ptg pada hari Jumaat. Maklumat lanjut berkenaan pameran dan juga aktiviti tambahan mereka boleh didapati di laman sesawang Japan Foundation.

Terdapat pelbagai lagi kisah menarik di BASKL yang boleh diikuti melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites