3,000 orang telah hadir ke Resort Tasik Raban, Lenggong untuk memeriahkan TAPAUfest 2022
oleh DANIAL FUAD | Gambar oleh TAPAU Asia
TAPAU, satu nama yang tidak asing lagi bagi latar seni indie di Malaysia, telah bertapak sebagai komuniti muzik indie Asia Tenggara yang cukup kuat sokongannya. “Konsep penubuhan TAPAU ini adalah untuk mengetengahkan benda yang kita rasa menarik di mana orang ramai perlu tahu dari latar indie dan kita kongsikan ke pelbagai medium seperti TV atas talian iaitu TAPAUtv, melalui acara konsert seperti TAPAUfest dan juga penulisan di TAPAUasia,” ujar Ahmad Faris, pengasas TAPAUfest dan juga Pengarah Kreatif untuk TAPAU.
Sejajar dengan perancangan untuk menghubungkan komuniti indie Asia Tenggara, TAPAU memperkenalkan TAPAUfest sebagai satu ikhtiar mereka. Faris menambah, “Bagi saya kita kekurangan festival yang mempunyai identiti yang istimewa, jadi itu yang kami ingin lakukan dalam TAPAUfest; sebuah festival yang kuat identiti Malaysia.” Begitulah bermulanya TAPAUfest dimana pada permulaan, mereka lebih menumpukan seniman indie Malaysia di mana Faris telah menambah lagi, “Apabila kita memulakan TAPAUfest yang pertama, kita memang menumpukan persembahan pemuzik indie Malaysia kerana kita sering melihat pemuzik seperti ini hanyalah pelengkap acara sahaja dan bukan persembahan utama pada ketika itu.”
TAPAUfest bermula pada tahun 2014 dan penuh dengan semangat indie di mana dana telah dikumpul secara sendiri, “Oleh kerana kekurangan dana, kita memulakan program Reward Crowdfunding yang berjaya mengumpul lebih kurang RM87,000 dalam masa 30 hari,” ujar Faris di mana TAPAUfest juga telah berjaya menempa nama sebagai festival crowdfunding yang terbesar pada ketika itu.
Jika TAPAUfest yang sebelum ini lebih menumpukan kepada pemuzik indie Malaysia sahaja, tahun ini mereka telah melebarkan sayap mereka untuk memasukkan pemuzik Indonesia dan juga Singapura baru-baru ini. “Pada tahun 2021, kita telah menganjurkan TAPAUfest yang pertama kali mempersembahkan juga pemuzik indie daripada Singapura dan Indonesia. Namun disebabkan pandemik, kita hanya melakukannya secara atas talian tetapi ia adalah sebuah acara yang dijalankan secara langsung sepenuhnya, dan bukanlah rakaman semula,” ujar Faris.
Untuk tahun ini, mereka telah ‘topup’ semangat tahun lalu, kembali dengan penuh gaya secara fizikal untuk festival selama dua hari yang dijalankan di Tasik Raban, Lenggong, Perak. Faris menambah, “Sekarang ini terlalu banyak persembahan berlaku di Kuala Lumpur, jadi untuk pengalaman yang lebih mendalam kami telah memilih untuk melakukan TAPAUfest ini di luar. Tambahan lagi kesan pasca pandemik, orang ramai ghairah untuk keluar road trip bersama teman jadi itulah kerana kami memilih untuk membuatnya di luar daripada Kuala Lumpur.” Selain daripada itu, lokasi ini juga telah dipilih kerana Tasik Raban merupakan satu lokasi yang indah namun tidak mendapat tumpuan kerana kekurangan promosi.
“Majlis Daerah Lenggong yang merupakan pengusaha untuk Resort Tasik Raban ini juga sangatlah memberi kerjasama dalam menjayakan festival ini dan membuatkan kami lebih bersemangat lagi untuk mempromosikan kawasan ini,” tambah Faris lagi. Salah satu kerjasama yang dapat dilihat adalah dengan penyediaan khidmat van ulang-alik membawa pengunjung daripada tempat letak kereta ke tapak festival.
Tentulah ini merupakan pengalaman yang sangat berbeza dengan acara-acara yang pernah diadakan sebelum ini. Selain daripada menikmati persembahan oleh pemuzik-pemuzik indie di atas pentas, para pengunjung juga boleh meluangkan masa di beberapa lagi kawasan yang disediakan oleh pihak penganjur. Faris menambah, “Jika nilai sesebuah tiket konsert itu bermula daripada petikan gitar pertama persembahan dan berakhir semasa drum terakhir diketuk. TAPAUfest ini, nilainya bermula sejak dari anda melangkah masuk ke tapak festival dengan terdapat pelbagai aktiviti lain disediakan selain daripada persembahan konsert.”
Tidaklah hanya menumpukan kepada tapak festival juga, TAPAUfest juga telah bekerjasama dengan pelbagai peniaga dan pengusaha tempat tinggal di sekitar Lenggong untuk lebih mempromosikan kawasan tersebut dan secara tidak langsung menjana ekonomi setempat dengan lebih mampan. “Kita juga ada menyediakan panduan tempat makan menarik, apa yang boleh dilawat dan juga tempat tinggal altenatif sekitar Lenggong sebagai satu ikhtiar kami,” ujar Faris.
Tambahan lagi, pengusaha makanan yang terlibat dalam festival ini ada antaranya adalah pengusaha makanan sekitar Lenggong juga dan ini membuatkan TAPAUfest ini bukanlah sahaja satu festival yang hanya singgah di Lenggong tetapi mengenali tempat itu dengan lebih mendalam. “Kita juga dapat tahu bahawa peniaga yang telibat dalam festival ini berjaya menjana sekurangnya RM3,000 untuk jangka masa dua hari di sana,” Faris menambah di mana tapak jualan hanyalah dikenakan caj sebanyak RM50 sahaja.
“Jika sebelum ini kita lebih menumpukan festival satu hari, kali ini kita telah memecahkan persembahan kepada dua hari dengan enam persembahan sehari. Ini membuatkan para pemuzik tidak terkejar membuat persembahan dan para pengunjung boleh menghayati persembahan dengan lebih mendalam,” ujar Faris tentang barisan persembahan yang disediakan. Terdapat 12 pemuzik telah membuat persembahan untuk TAPAUfest tahun ini di mana enam daripadanya adalah Malaysia dan enam lagi daripada Indonesia dan Singapura. Dari situlah wujudnya tema #SerumpunBerpesta untuk TAPAUfest tahun ini.
Pentas persembahan berlatarkan tasik dan gunung sangat membawa semangat alam semulajadi yang ingin dibawa oleh pihak penganjur di mana barisan persembahan yang ada merupakan Margasatwa, The Times, Salammusik, The Filters dan Sweetass daripada Malaysia manakala wakil dari Singapura pula adalah Abangsapau, The Pinholes dan Sobs dan .Feast, The Dare dan Hindia merupakan ahli muzik daripada Indonesia.
Apa yang membezakan TAPAUfest kali ini dengan acara lain adalah di sini juga mereka ada menyediakan tapak khemah untuk para pengunjung yang hadir yang telah dijalankan dengan kerjasama pengusaha perkhemahan, Santuy Travellers. Dengan cara ini, para pengunjung boleh memanjangkan lagi pengalaman mereka dengan berada bersama pengunjung lain setelah selesai konsert. “Sebanyak 80 tapak khemah telah disediakan yang boleh memuatkan 320 orang pada suatu masa dan saya juga kagum dengan kelengkapan yang para pengunjung bawa,” ujar Irfan Zulkifli, pengusaha Santuy Travellers. “Malahan terdapat juga para pemuzik yang turut berkhemah di sini dan mereka juga ada melakukan persembahan secara sukarela di samping unggun api semalam,” tambah Irfan lagi.
“Saya terkesima dengan situasi di Santuy Campsite ini yang penuh dengan orang walaupun festival ini jauh dari Kuala Lumpur dan situasi santai yang belum pernah ada seperti ini di Malaysia,” ujar salah seorang pengunjung TAPAUfest, Effie Izwan.
Terdapat juga tapak pasar yang dinamakan Pasar Serba Serbi yang menyajikan pelbagai jenis kedai seperti pakaian terpakai, keluaran fizikal, karya seni dan juga kraf. Para pengunjung ke pasar ini juga telah dihiburkan dengan muzik daripada kolektif Disko Santan. “Acara seperti ini sangatlah baik kerana di samping konsert, terdapat juga bengkel dan juga aktiviti lain yang menarik yang dapat merapatkan lagi silaturahim antara semua orang,” ujar Azmal Mashudi dari Dirty Donuts yang merupakan salah seorang peserta untuk Pasar Serba Serbi.
Seramai 3,000 orang telah turun #LepakLenggong pada 22 dan 23 Oktober lepas dan diharapkan ini bukanlah tahun terakhir TAPAUfest bertapak di Lenggong. “Sambutan terhadap TAPAUfest tahun ini adalah amat positif. Daripada pengunjung festival, pemuzik jemputan tempatan dan antarabangsa serta komuniti indie secara amnya, dapat merasakan suasana yang baik walaupun sudah pasti ada ruang untuk penambahbaikan, kami amat berbangga kerana semuanya bersatu,” ujar Faris.
Anda juga boleh mengikuti kisah-kisah lain di sini: