Seni Tari Vanizha

Oleh SHAH SHAMSHIRI

Bintang BASKL kedua kami minggu ini juga bukanlah orang asing dalam dunia seni. Kalau tak salah, kali pertama saya melihat kelibatnya adalah di dalam majalah fesyen dan laman media sosial beberapa tahun yang lalu.

Malah, sesiapa sahaja yang menatapnya tika berada di pentas pasti akan terpegun kerana ada sesuatu yang istimewa tentang wanita ini.

Vanizha Vasantha Nathan, (29) gadis tinggi lampai berbangsa India yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan salah satu peragawati tersohor tanah air masa kini. Dirinya sudah merentas buana membawa nama Malaysia acap kali beraksi di pentas.

Namun, dia bukan sahaja beraksi di pentas peragaan, tapi juga di pentas tarian. Kelebihan inilah yang membuat kami memilih beliau menjadi Bintang BASKL kami.  

Ya Vanizha bukan sekadar gadis cantik yang pandai bergaya di depan lensa tetapi beliau juga seorang penari Odissi (tarian klasik India) profesional.

Mencintai dunia tari sedari umur belasan tahun dan mula menari secara serius pada usia 15 tahun, Vanizha memberitahu bahawa cintanya pada dunia tari klasik India memang sudah lama berputik.

“Semasa kecil saya sering ke kuil bersama keluarga untuk tujuan ibadat. Pada masa yang sama, saya juga kerap menyaksikan pelbagai persembahan yang diadakan tika musim perayaan di kuil. Saya jatuh cinta melihat pakaian, solekan dan gerakan yang dihidupkan lewat muzik yang dimainkan.

Namun kala itu, saya sudah sedar tentang kejanggalan saya yang lebih tinggi daripada gadis remaja lain. Jadi ramai rakan ibubapa saya yang menyarankan mereka untuk menyuruh saya menjadi atlet kerana ketinggian saya. Mereka suruh saya mencuba bermain bola keranjang dan aneka sukan lain.

Saya cuba turuti sehingga mengikuti latihan karate juga. Sehinggalah satu hari saya menangis dalam perjalanan pulang ke rumah dan bertanya ibu saya, kenapa mereka tidak membenarkan saya melakukan apa yang saya mahu?

Ibu saya bertanya apa yang ingin saya lakukan dan saya memberitahu bahawa saya ingin menari. Dari situlah segalanya bermula buat saya,” jelas Vanizha bermukadimah.

Walau bagaimanapun menurutnya lagi, saat itu ibubapanya menyangka bahawa kelas berkaitan seni persembahan biasanya agak mahal dan mereka risau jika tidak dapat memenuhi kehendak anak gadis mereka itu. Namun selepas mengetahui tentang Sutra Dance Theatre, dan yurannya yang berpatutan, mereka pun mendaftarkan anak perempuan mereka sehingga bergelar penari Odissi profesional.  

“Saya dapat membayangkan diri saya menari lebih lama dari memperaga. Saya rasa kalau saya sudah bersara dari dunia peragaan nanti, saya akan terus menari selagi mampu. Saya susah membayangkan diri saya tanpa seni tari. Ia merupakan ruang ketenangan buat saya. Saya tidak menganggap tarian sebagai satu pekerjaan. Ia adalah cinta pertama saya. Minat yang mendalam,” ujarnya lagi.

Kendati bergelar penari, Vanizha sebenarnya lebih dikenali sebagai peragawati. Seorang top model yang sedang giat mencipta nama.

Berkat warna kulitnya yang hitam dan sangat menawan dia memecah segala stereotaip tentang diskriminasi kecantikan yang kerap dikaitkan dengan mereka yang berkulit cerah atau putih sahaja.

Malah, kami benar-benar terpesona melihat kecantikan aslinya saat dirias jurusolek Jibs Salim dan kala beraksi di depan kamera sewaktu sesi wawancara ini.

Ketara sekali, Vanizha memang dilahirkan untuk beraksi di pentas dan di depan layar serta lensa. Senyuman manisnya yang menggoda diserikan lagi dengan gemalai aksi badannya yang begitu bijak beralun kala diabadikan oleh jurugambar tersohor Bustamam Mokhtar.

Jurugambar kami sendiri mengaku sudah berkali-kali merakam aksi Vanizha di depan kamera sebelum ini.

“Saya mula memperaga secara rasmi pada tahun 2015. Selepas beberapa sesi fotografi kecil, ada seorang jurusolek yang menyedari kehadiran saya. Dia kemudian memberikan nombor saya kepada seorang jurugambar dan kemudian atas dorongan rakan-rakan serta pensyarah sewaktu di kolej, saya cuba memberanikan diri untuk menyertai KL Fashion Week 2015. Sejak itu, kerjaya sebagai peragawati telah membawa saya ke merata dunia,” ujarnya tentang pembabitannya ke dalam dunia peragaan.

Sempat mencuri perhatian selepas berjaya memperaga di pentas fesyen berprestij Minggu Fesyen Milan di Itali tahun lalu, namanya semakin dikenali dalam kalangan penggiat industri tersebut.

Dari benua Asia sehingga ke Eropah, Vanizha sudah berpeluang meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Vanizha sendiri tidak menyangka seorang gadis India berkulit hitam dari Malaysia sepertinya mampu mengecapi semua ini.

“Sewaktu zaman sekolah dahulu saya pernah diejek kerana ketinggian dan warna kulit saya. Macam-macam gelaran saya dipanggil. Apatah lagi saya dulu disekolahkan di sekolah beraliran Bahasa Cina, jadi sememangnya saya berbeza daripada sebahagian besar rakan sekelas dan sekolah.

Saya juga kurang keyakinan diri sewaktu di sekolah. Oleh kerana saya seorang yang tinggi dan kurus, saya kerap berdiri di belakang, termasuk sewaktu menari. Saat itu saya rasa, apa yang orang lakukan saya harus lakukan lebih daripada biasa.

Namun dunia peragaan mengubah hidup saya. Sejak bergelar peragawati, saya jauh lebih yakin dan lebih bijak menghadapi hidup. Biarpun dunia peragaan menjadi mata pencarian utama saya sekarang, ia sama sekali tidak dirancang dan tercetus secara kebetulan.

Walaupun begitu, saya gembira kerana sejak menjadi peragawati, saya memang bercita-cita hendak ke London dan beraksi di Eropah. Biarpun London belum saya capai, namun Milan satu peluang keemasan yang tidak disangka. Kini saya diwakili beberapa agensi peragaan di Eropah,” bingkasnya panjang.

Vanizha juga menyimpan impian untuk membuat persembahan tariannya di Eropah jika diberi peluang.

“Mungkin satu persembahan kecil, siapa tahu? Lagipun kalau saya sudah punya kesempatan memperaga di Eropah, kenapa tidak sambil menyelam minum air ‘kan?” katanya dengan senyuman.

Menyedari keunikannya yang bukan sahaja boleh memperaga tetapi juga menari dengan baik, Vanizha menjelaskan itu satu kelebihan buatnya tika menghadiri ujibakat peragaan di Eropah.

Saat ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara dua personanya itu, dan cara-cara mengekalkan kesihatan, dia tidak berahsia sama sekali.

“Tarian perlukan latihan yang kerap. Apalagi kalau ada persembahan besar. Saya harus berlatih berbulan-bulan sebelum acara. Tapi ini memudahkan saya kerana tugas peragaan boleh dirancang dan tidak makan masa yang lama. Jadi saya mudah menyusun jadual.

Kalau soal menjaga kesihatan, saya rasa kita harus makan dengan betul. Saya suka makan dan memasak. Saya juga suka makan nasi. Saya tak dapat bayangkan hidup tanpa nasi. Semasa tinggal di luar negara untuk urusan kerja saya masak makanan saya sendiri. Saya suka makanan pedas dan apa sahaja yang ada sambal.

Namun saya kawal jumlah makanan yang saya ambil setiap kali. Saya punya kadar metabolisme yang tinggi. Lantas, saya mudah lapar. Kawan-kawan saya kata saya seseorang yang berbeza saat lapar. Tapi saya tak makan berlebihan dan saya bersenam juga. Sebagai seorang penari, tarian adalah satu senaman selain berlari. Saya kurang suka suasana gimnasium, jadi lebih selesa berlari di waktu senggang,” dedah Vanizha tentang gaya hidupnya.

Biarpun semakin dikenali dalam kalangan pemain industri, dia tidak pernah menganggap dirinya terkenal.

“Saya tak nafikan, memang seronok kalau ramai orang kenal untuk tujuan tertentu. Ia memudahkan beberapa perkara buat saya, khasnya yang berkaitan kerja dan beberapa aspek lain.

Sungguhpun begitu, saya tak pernah bercita-cita hendak menjadi terkenal. Saya tak mahu hidup saya diintip dan diikuti berterusan.

Lagipun zaman sekarang dengan adanya media sosial, ramai orang terkenal. Kadang rasa kecewa juga buat kami yang pernah menyumbang untuk negara tapi tidak dikenali kerana jumlah pengikut kami tidak ramai.

Siapa yang tidak mahu kalau kejayaan dan bakat mereka diiktiraf bukan? Walau apapun saya bersyukur dengan apa yang saya punya sekarang. Dikenali mereka yang berkaitan sudah cukup sebenarnya,” ujar Vanizha menutup bicara.

Yang pasti, kami di BASKL berbesar hati kerana dirinya sudi menerima pelawaan kami untuk menjadi penghias sampul digital muka depan laman sesawang kami untuk edisi ini.

Semoga nama Vanizha Vasantha Nathan terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan ‘seni tarinya’ yang tersendiri!

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL

Bintang BASKL: Vanizha Vasantha Nathan

Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri

Teks Bahasa Malaysia: Shah Shamshiri

Penata Gaya & Pengarah Seni : Mursh Mat Som

Solekan: Jibs Salim

Dandanan: Abdul Rauf (Hair By Lala)

Busana: Khoon Hooi

Aksesori : Rupa Store

Jurugambar: Bustamam Mokhtar, White Studio

Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim

Baca kisah Bintang BASKL yang lain di pautan di bawah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites