Sehari BASKL di Bazar Ramadan TTDI dengan bajet RM30!

Oleh NABILA AZLAN

Budaya berkunjung ke bazar di bulan Ramadan ini, memang tidak asing bagi warga Malaysia. Kata teman sekerja dan rakan-rakan sekeliling, Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) merupakan lokasi bazar yang mesti dikunjungi sewaktu bulan puasa. Harga purata makanan di sekitar ini, bak kata orang, sedikit ‘atas’ (mahal) tetapi kalau kena dengan perancangan belian masing-masing, bazar di TTDI ini mungkin dapat menjadi bazar kegemaran anda! Bazar tumpuan selebriti di Jalan Tun Mohd Fuad 2, Kuala Lumpur ini menyediakan pelbagai juadah dengan profil rasa tersendiri; ada seleksi lokal, fusion atau gabungan, moden dan tradisional. Strategi pembelian pengunjung di sini ternyata berbeza mengikut bajet dan selera masing-masing, tetapi ada sesetengah gerai (terutamanya yang tular di media sosial lebih awal) yang menerima barisan pelanggan yang lebih panjang.

Ada antara kami yang pernah berkunjung ke sini untuk membeli juadah, ada juga yang pertama kali menjejakkan kaki! Kami menetapkan RM30 setiap kumpulan (dengan dua orang) untuk pembelian kali ini.

Kami berenam – saya bersama rakan-rakan penulis lain iaitu Alia, Azuwan, Shafique, Danial dan Jian Wei tiba di bazar ini sekitar pukul 3 petang semasa suasana bazar masih lagi lengang. Masih ada peniaga yang menyusun atur jualan mereka, tetapi waktu terbaik untuk tiba di sini adalah sebelum pukul 4 petang untuk mengelakkan kesesakan perjalanan dan ketiadaan tempat letak kenderaan berhampiran.

Pilihan makanan dan minuman yang menarik perhatian kami termasuk:

Murtabak

Burger gourmet

Nasi Arab dengan lamb shank

Pau perisa jagung dan ayam panggang

Bomboloni dengan variasi perisa

Mac and Cheese dalam roda keju (cheese wheel)

Kuih-muih tradisional (termasuk apam beras, bingka ubi, tepung pelita dan kuih koci)

Aneka nasi beriani

Nak lihat suasana bazar sepanjang satu jam setengah kami di sini? Perjalanan ringkas kami ini ada di laman Instagram CENDANA Malaysia! atau anda boleh klik di bawah

Kumpulan 1, Alia dan Nabila

Fokus pembelian: Pilihan sensasi (‘viral’) fusion dan antarabangsa

Tangkapan berjaya dengan RM30: Sebekas Vietnamese roll dan Mac and Cheese dengan Pulled Beef

Kumpulan 2, Azuwan dan Shafique

Fokus pembelian: Juadah tempatan kegemaran dan seleksi tradisional

Tangkapan berjaya dengan RM30: Nasi beriani gam, tiga bekas kecil kuih tradisional dan air mata kucing

Kumpulan 3, Danial dan Jian Wei

Fokus pembelian: Manisan dan pembuka selera

Tangkapan berjaya dengan RM30: Murtabak, sepotong kunafa dan air mangga susu

Sedikit peringatan dari kami sebelum ke bazar Ramadan, supaya waktu pembelian anda lebih optima:

Jika boleh, datang awal!

Nasihat kami, datang berkongsi kereta (carpool) kerana tempat letak kenderaan berkenaan agak terhad dan jika lewat, pengunjung harus beratur sebelum membeli juadah

Sediakan payung sebelum hujan

Kami tiba sebelum pukul 4 petang, namun terpaksa menunggu hujan reda sebelum betul-betul boleh membeli juadah! Lihat aplikasi cuaca untuk merancang perjalanan anda.

Elak pembaziran melalui ‘kategori pembelian’ masing-masing

Tip ini boleh digunakan untuk mana-mana bazar Ramadan yang anda kunjungi; beli hanya satu pilihan dari setiap kategori juadah (pembuka selera, minuman, makanan utama, moreh jika perlu) untuk mengelakkan ‘koma makanan’ (food coma) dan pembaziran!

Selamat meneroka bazar Ramadan!

Bazar Ramadan TTDI terletak di Jalan Tun Mohd Fuad 2, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur dan dibuka dari pukul 3 petang sehingga 7.30 malam (atau sejurus jualan habis).

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites