Tidak pernah bersua muka, bukan penghalang 20 pelajar Akedemi Syair untuk menuntut ilmu bersama Adiguru CENDANA, Roslan Madun serta mentor-mentornya.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Mendalami dunia seni dan kesusasteraan dengan serius sejak lebih 30 tahun, Roslan Madun bukanlah satu nama yang asing, apatah lagi dengan kemahirannya mendendangkan lagu-lagu rakyat seperti ‘Lemak Manis’ yang cukup lemak, merdu dan mengasyikkan. Cintanya terhadap budaya telah membawa Roslan mempelajari pelbagai cabang seperti seni budaya, sastera syair, gurindam, seloka, muzik dan sebagainya.
Namun sejak kebelakangan ini dengan penyelidikan yang lebih terperinci dalam penghayatan seni dan budaya, Roslan lebih menumpukan perjuangannya dalam memperkayakan puisi tradisional termasuklah gurindam, seloka, nazam, pantun, sajak moden dan terutamanya syair.
Dengan perasaan kecintaan itu juga lahirlah sebuah Akademi Syair pada tahun 2014, sebuah ruang perkongsian ilmu yang dimanfaatkan bagi mendidik mereka yang berminat untuk mempelajari syair.
“Dalam akademi ini, pelajar-pelajar saya tidak diajar sepertimana dalam kelas biasa. Semua yang hadir, ada yang kadang-kadang belajar melalui aplikasi sahaja, mereka hantar pada saya dendangan syair, saya betulkan dan hantar semula. Ada yang berbentuk fizikal dan apabila covid, dua tahun kita memang buat secara dalam talian dengan betul-betul,” jelasnya.
Bukan setakat mengajar, beliau juga aktif mengarang dan membuat persembahan juga. Begitulah ketokohan yang dapat kita lihat pada insan yang begitu menyayangi budaya. Walaupun akademi beliau bukanlah dijalankan setiap hari disebabkan beberapa kekangan, namun Roslan kekal konsisten dan berjuang untuk meneruskan ruang ini demi berkongsi ilmu, terutamanya dengan anak muda.
Bagi menghargai individu atau kumpulan atas usaha dan kepakaran mereka dalam bidang seni, dengan dana PRISMA dibawah kelolaan CENDANA, maka lahirlah sebuah Program Adiguru CENDANA yang pertama pada tahun 2021. Ia bertujuaan bagi membantu para Adiguru dalam memperjuangkan seni tradisional, serta menyokong mereka untuk mengajar golongan muda setempat. Adiguru CENDANA Roslan Madun, sebuah gelaran yang tepat untuk seorang yang berjuang seluruh jiwa dan raga bagi memartabatkan seni kita.
Melalui program ini Roslan dapat menjalankan akademi ini secara konsisten sejak Julai 2021. Dalam tempoh setahun pelbagai ilmu yang telah dicurahkan kepada para pelajar.
“Saya lantik mentor, seorang mentor jangan ramai sangat, tidak lebih daripada 3 orang pelajar, supaya boleh tumpukan sepenuh perhatian terhadap mereka. Jadi kita ada 8 mentor dan seorang pengetua. Walaupun dalam talian, tapi sangat serius dan sistematik dan kita ada buat master class. CENDANA telah bantu memberi ruang untuk mengajar syair dalam konteks pengajaran dengan lebih berkesan,” jelasnya apabila ditanya semasa Majlis Graduasi & Persembahan Pelajar Adiguru Syair CENDANA yang diadakan baru-baru ini.
Daripada 70 orang yang tampil dalam uji bakat akademi ini, hanya 23 pelajar yang terpilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Menurut Nik Nur Syamimi Ramli, seorang pelajar berusia 22 tahun, dia berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk memasuki program sebegini.
“Kalau ambil kelas syair di luar memang berbayar tapi kami masuk akademi ni secara percuma. Memang sangat bermanfaat untuk orang-orang yang suka dan memang nak cari ilmu tentang syair. Walaupun saya dah berkeluarga, tapi saya masih belajar lagi. Sebab indahnya syair itu sendiri, sebab saya memang ke arah kesenian, saya memang sangat suka bersyair berpantun, berseloka dan sebagainya. Jadi saya galakkan untuk orang ramai masuk juga lah,” kongsi Syamimi yang sebenarnya membuat penulis terpegun dengan semangatnya.
Sesuatu ungkapan yang jarang kita dengari, namun dengan jawapan sebegini dari seorang anak muda, membuatkan kita berasa program sebegini wajar diadakan kerana siapa kata anak muda tidak berminat untuk mempelajari warisan kita?
Tambah Roslan, “Platform dan ada, dah ramai anak muda tahu, tapi kena bantulah. Kerajaan perlu terus beri dana kepada kegiatan sebegini. Syair ke, Mek Mulung ke, generasi itu akan silih berganti, jadi kalau tak ada saya dan kumpulan saya nak cari dekat mana?”
“Saluran perlu berterusan kerana seni budaya ini bukan dapat dinilai pada wang, tetapi pada bagaimana kita nak membina jati diri bangsa kita, tak ternilai disitu. Ada benda yang boleh ada pulangan, tetapi seni budaya dapat menjadikan bangsa kita cerdik, menjadikan bangsa kita bijaksana, menjadikan bangsa kita hebat dalam seni budaya dan sasteranya, itu tak dapat dinilai dari segi wang ringgit.” Kongsi seorang Adiguru kepada penulis.
Memang cukup bersemangat, satu aura yang sayangkan tradisi dan warisan, sayangnya jika tiada pelapis untuk mengekalkan budaya ini. Rugi jika kita tidak mempelajari budaya kita sendiri, kerana menurut beliau, terdapat ramai yang ingin mempelajari seni budaya ini dari wakil-wakil negara jiran serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand serta Brunei.
Bersempena program ini juga, beliau telah melancarkan 182 koleksi, Kumpulan Syapen Syair Lirik Roslan Madun, Adiguru CENDANA berserta CD syair dendangan 20 murid beliau. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut anda boleh ke laman sosial Adiguru kita Facebook, Instagram atau untuk melihat video beliau di Lemak Manis Channel.
Anda juga boleh membaca artikel lain berkenaan Roslan di sini dan info lanjut berkenaan Adiguru CENDANA di sini.