‘Pohon Cinta’ di Aidil Adha ikhlas daripada pemuisi Roslan Madun

Dalam seluruh dunia menghadapi musibah, pemuisi Roslan Madun mahu semua penggiat seni terus kekal positif dan berusaha untuk mencari peluang memperkayakan seni.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

POHON CINTA
Pohon cinta
mekar bunganya
basah di telapak tangan
wangi nian
antara aidilfitri dan aidiladha
pohon cinta berbuah rindu
di dahan membiru
aku terharu
dari Qaisara ke Zaskia
pohon cinta menjulang angkasa
rimbun dedaunan memayungi keluarga
dipagar bahagia
pohon cinta di taman aidilfitri
tunjangnya kukuh di bumi
mengabdi pada Ilahi
taat kasih sejati
selamat datang aidiladha
datang dengan kasih mesra
kita berteduh di bawah pohon cinta

~ Roslan Madun/18.7.2021

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Pohon Cinta buat semua pembaca BASKL, nukilan khas daripada Roslan Madun seorang pemuisi yang sudah hampir 32 tahun bertapak dalam arena puisi negara. Dalam dunia yang terhenti seketika akibat Covid-19, Roslan menghadiahkan nukilan puisinya kepada semua pembaca sebagai pembakar semangat tatkala kita berada di dalam situasi ini.

Aidil Adha yang dahulunya meriah disambut oleh semua umat Islam di seluruh dunia, kini keadaan di jalanraya mahupun kawasan perumahan kelihatan sepi, seperti alunan instrumental Gaze daripada Moux. Alunan yang indah, namun melodi sayu turut mengguris luka bagi mereka yang terpaksa menyambut hari yang indah ini berjauhan daripada ibu bapa, keluarga dan sanak saudara.

Roslan bersama ahli keluarganya menyambut Hari Raya.

Alhamdulillah syukur buat Roslan dan keluarga kerana anak-anak dan cucu-cucu beliau semua menetap berhampiran dengannya. Suasana raya masih meriah walaupun tidak dapat pulang ke kampung. Namun walau apa pun, pematuhan SOP amat penting buat Roslan dalam usaha mengekang penularan wabak ini.

Bermula dari tahun 2020, sehingga Julai 2021, virus covid 19 sememangnya telah menyekat pelbagai aktiviti harian, malah sambutan perayaan yang besar di negara kita seperti sambutan Hari Raya Aidil Adha hari ini, turut terjejas. Namun bagi Roslan, dari sudut kerjaya dan karyanya, dia berpegang pada satu prinsip.

“Orang seni mestilah mampu menukar masalah kepada peluang, Oleh itu wabak ini tidak sedikit pun menjejaskan kerjaya saya. Malah semakin memberi inspirasi untuk saya beraktiviti dalam norma baharu yang lebih menarik,” ujar beliau.

Roslan
Roslan Madun mempersembahkan puisinya di Manifestasi Puisi Merdeka, Kuantan 2020.

Sebagai contoh, beliau merasakan kalau dahulu persembahan di auditorium selalunya boleh memuatkan lebih 500 orang penonton dalam satu-satu acara, namun dengan adanya platform dalam talian, penonton boleh mencecah dua ribu atau lebih dalam satu-satu masa. Malah apabila diulang tayang, tontonan boleh mencecah sehingga puluhan ribu tontonan buat satu video.

“Seni tidak mati kerana pandemik. Seni akan hidup dalam suasana apa sekali pun, kitalah yang perlu berfikiran lebih ke depan untuk melakukan pendekatan digital yang memungkinkan kerja seni kita mendunia,” tambah beliau yang optimis dan begitu positif menghadapi cabaran sewaktu pandemik ini.

Seperti Pohon Cinta dan puisi- puisi lain nukilannya, menjadi kebiasaan buat beliau untuk mendapatkan ilham atau inspirasi melalui kritikan atau pandangan. Beliau selesa untuk menulis puisi dan kemudian baru bertemakan sesuatu isu. Dalam penulisannya terkandung mesej sebagai renungan serta pengajaran buat semua. Tidak semua yang jahat membuahkan hasil yang buruk. Apabila disuntik perkara yang positifi, digilap dan diterapkan nilai yang baik, pastinya ia membuahkan hasil yang lumayan.

Menurut anak kelahiran Kampung Tok Tangguk, Mengkarak, Pahang ini, walaupun dia berasal daripada keluarga yang susah, ia bukanlah penghalang baginya untuk berjaya dalam bidang yang diminati.

“Cabar diri sendiri jika ingin berjaya. Sebagai ‘freelance’ saya mesti belajar bayak bidang, jika terkandas satu bidang saya ada pilihan lain. Bidang utama saya ialah penulisan, pengarahan (filem dan TV), nyanyian (folk songs) pengacaraan dan pengurusan seni. Kesemuanya mesti sampai ke peringkat global atau paling tidak Asean. Semuanya berjaya ke peringkat yang saya cita-citakan.”

Tambah beliau, walaupun kita sentiasa mendengar kata- kata ini, namun memang benar tiada kejayaan yang datang bergolek jika tidak diselitkan dengan usaha dan motivasi diri yang tinggi.

Apabila ditanya apakah yang membuat insan bernama Roslan Madun untuk tertarik dengan sastera melayu ini, beliau menjawab: “Mulanya saya tertarik dengan iramanya, setelah saya mengembara ke hampir seluruh nusantara ini, lebih kurang 30 jam berlayar menggunakan kapal laut hingga ke Daik Lingga tempat lahirnya pantun Melayu.”

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

“Saya menemui akar sastera Melayu, iaitu syair. Syair bukan sekadar dendangan, tapi penuh dengan keintelektualan dan nilai serta jati diri bangsa. Saya dapati melalui puisi tradisional ini ulama dahulu menyalurkan pengajaran agama. Sebab itu dalam syair ada ilmu tauhid dan fardu ain, dalam gurindam ada nasihat agama yang tinggi, dalam nazam ada ilmu feqah. Bila saya jumpa tokoh-tokoh agama dalam kembara saya, saya jadi insaf dan mula merasakan bahawa syair Melayu ini sangat tinggi nilainya yang mesti dipertahankan,” jelasnya dalam pemahaman serta penghayatan terhadap bahasa.

Selain kaya dengan sastera bahasa, Roslan juga minat bekarya dalam menerbitkan album
lagu- lagu rakyat. Video ini mendapat lebih 580 ribu tontonan di laman Youtube.

Sebagai seorang penyelidik dan juga penyanyi lagu rakyat serta pelopor dendangan syair (tradisi lisan) pelbagai irama, beliau telah menerbitkan 15 buah album rakyat dan puisi termasuk tiga daripada lagunya pernah dipersembahkan di Fukuoka Jepun, Seoul Korea Selatan, Kemboja, Brunei, Singapura dan beberapa kota di Indonesia.

Walaupun telah merantau dunia membawa puisi, syair dan lagunya, beliau sentiasa ramah dan rendah diri dengan tutur katanya. Bercakap mengenai kerjayanya, Roslan juga penah menjadi editor di Karangkraf suatu ketika dahulu. Namun pada tahun 1989 beliau nekad untuk berhenti dalam bidang kewartawanan dan meneruskan minatnya. Beliau juga turut berkecimpung dalam produksi filem. Kini beliau mempunyai syarikatnya sendiri dan baru sahaja selesai menerbitkan sebuah filem dokumentari Pelayaran Sang Maestro.

Roslan Madun sememangnya seorang yang berbakat besar. Menurut beliau, syair atau apa juga bentuk persembahan mestilah berinovasi, sesuai dengan jiwa anak muda masa kini. Ini juga antara cara untuk menarik generasi muda untuk meminati dan mendalami puisi, syair dan seangkatan dengannya.

“Platform OTT (over-the-top) yang boleh ditonton dalam telefon bimbit harus digunakan agar senang ditonton. Semua kerja seni jangan lagi terikat dengan melakolik atau syahdu-syahdu yang tidak merangsang motivasi. Pendigitalan kerja seni tidak bermakna menghilangkan keindahannya, malah boleh menjadi lebih indah dan menarik dengan teknologi yang semakin canggih,” tambahnya apabila menerangkan bahawa puisi harus mengikut arus peredaran zaman, agar karyanya kekal dan boleh diikuti anak muda.

Beliau kini sibuk dalam proses pelaksanaan Festival Setanggi Antarabangsa 2021. Di mana festival ini mengandungi aktiviti seperti Konsert Syair Antarabangsa, Pertandingan Syair Antarabangsa, Festival Teater Monolog 4 Negara dan banyak lagi.

Bagi anda yang berminat atau ingin anak-anak anda mempelajari puisi, anda boleh mengikuti Roslan Madun atau di sini atau boleh terus email beliau di admin@roslanmadun.com.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites