RIUH kekal buat seluruh lapisan masyarakat

Kembara RIUH Kuala Kubu Bharu baru berakhir dan sememangnya sesuai sebagai sebuah kunjungan hujung minggu buat yang tua, muda, warganegara mahupun pelancong

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Buat warga industri kreatif tanah air, acara RIUH sinonim sebagai sebuah platform untuk berkumpul, berhibur dan juga bertukar idea sesama warga kreatif yang lain. Baru-baru ini, Kembara RIUH telah membuat penampilan di negeri Selangor yang bertempat di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 28-30 Julai 2023. Acara yang cukup RIUH dan gilang- gemilang ini telah dihadiri lebih daripada 20,000 orang pengunjung dan telah menghiburkan segenap lapisan masyarakat daripada luar dan dalam negeri Selangor sendiri. 

RIUH merupakan sebuah acara yang diberi mandat untuk memperkasakan industri kreatif tanah air bersama penggiat seni kraftangan, muzik, kulinari, fesyen dan ajnas projek kreatif lain yang terdapat di bumi bertuah Malaysia kita ini. Apabila idea RIUH ini mula diperkenalkan pada tahun 2017, sasaran RIUH tertumpu kepada masyarakat bandar namun kini RIUH mahu jadi lebih inklusif. 

“RIUH ini platform untuk ekonomi kreatif dan kita sedar serta faham banyak juga kawasan pedalaman di negeri-negeri di Malaysia penuh dengan kegiatan ekonomi yang pelbagai,” kongsi Puan Zainariah Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures.

Kembara RIUH Kuala Kubu Bharu memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat handai sambil menikmati keindahan khazanah industri kreatif yang terdapat di Malaysia ini. 

Terdapat banyak tarikan seperti jualan barangan fesyen dan kraftangan hinggalah ke pameran agensi-agensi kerajaan, gerai jualan makanan, gerai bengkel kraftangan dan semestinya pentas utama yang dipenuhi dengan persembahan artis tempatan. 

Antara tetamu kehormat yang turut meluangkan masa untuk hadir ke Kembara RIUH Kuala Kubu Bharu adalah Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Fahmi Fadzil dan beliau berkata, “Kembara RIUH di Fraser Valley ini menawarkan sebuah pengalaman bertaraf antarabangsa.” Beliau turut meluahkan bahawa kunjungannya ke Kembara RIUH di Kuala Kubu Bharu itu sebagai sebuah sesi yang cukup “healing”.

“Saya baru lepas “healing” di situ.” – @fahmifadzil.1 Instagram

Buat anda yang telah sekian lama menyokong RIUH dan juga industri kreatif Malaysia, terima kasih atas sokongan anda selama ini dan buat mereka yang belum lagi mengikuti RIUH, anda boleh melihat perkembangan mereka di laman instagram RIUH dan memberikan sokongan anda terhadap karyawan, seniman dan budayawan yang ada di negara tercinta kita ini. 

Ikuti kisah menarik lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites