Afi Sulaiman, seorang pelukis budaya

Karya seni budaya merupakan keistimewaan Afi Sulaiman. Menterjemahkan peradaban manusia yang melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Seringkali kita dengar, budaya itu mudah ditelan oleh arus pemodenan dan arus zaman namun perkara ini tidak semestinya terjadi jika kita meletakkan budaya di atas sebuah kanvas seni. Afiqah Sulaiman atau nama pentasnya, Afi Sulaiman merupakan seorang seniman muda berusia 26 tahun dan mempunyai minat yang cukup mendalam untuk menghasilkan karya-karya yang menggamit memori budaya orang Malaysia. “Tekstur dan warna merupakan minat saya sejak dahulu lagi,” kongsi Afi yang cukup ceria dan tenang orangnya. “Memang telah menjadi impian saya sejak kecil lagi untuk menjadi seorang artis yang berjaya.”

Afi cukup selesa dan bersemangat apabila berbicara mengenai karya-karya seninya yang semakin hari semakin mendapat perhatian masyarakat yang meminati karya seni. dua orang ibu bapa yang bekerja sebagai doktor gigi manakala kedua-dua belah atok dan neneknya pula merupakan teknokrat dunia perniagaan. Seni merupakan sesuatu yang cukup asing dan aneh kepada keluarga mereka. Namun ini tidak pernah melunturkan semangat Afi untuk terus menceburi minatnya terhadap seni lukisan. “Dahulu sewaktu saya kecil, di sebelah klinik gigi ibu saya terdapat sebuah kedai muzik,” kongsi Afi. Di situlah mulanya timbul bibit-bibit cinta terhadap seni di dalam lubuk hati Afi Sulaiman. 

Walaupun Afi jatuh cinta terhadap seni melalui muzik, namun minat sebenarnya adalah melukis dan mewarna. Pada peringkat awal, Afi juga mengaku bahawa perjalanannya tidaklah begitu mudah. Seperti biasa, orang yang melihat dari kaca mata luar hanya akan melihat kesenangan dan kejayaan kita sahaja, tetapi penat lelah dan keringat kita seringkali terselindung disebalik kejayaan hari ini. “Sewaktu saya mula berkarya, orang-orang yang membeli karya saya kebanyakkannya datang daripada keluarga dan sahabat terdekat sahaja.” Namun setelah beberapa tahun kemudian, Afi mula mendapat perhatian daripada masyarakat luar daripada kepompong terdekatnya. 

“Setiap tahun, saya akan ada sebuah bucket list, di mana saya akan senaraikan perkara-perkara yang ingin saya capai pada tahun berkenaan,” ulas Afi. Sudah semestinya, menjadi seorang pengkarya seni ini akan lebih memenatkan kita berbanding bekerja di pejabat. Buat yang ‘makan gaji’, kebiasaanya kita hanya menunggu hujung bulan untuk menerima sebuah gaji bulanan tetapi bagi Afi keadaanya berbeza. 

Di usia yang cukup muda ini, dia telah mula berjinak untuk mencari pendapatan sendiri melalui karya-karya yang dihasilkannya. Walaupun perjalanan ini lebih mencabar, namun kepuasan yang dinikmati oleh seorang penggiat seni ini cukup lumayan. Bak kata pepatah, “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kita haruslah bekerja keras dan mempunyai gaya seni kita yang tersendiri. Bagi saya, itu amat penting sebagai seorang pengkarya,” luah Afi. 

Pada hujung tahun lalu, Afi telah menjadi salah seorang daripada barisan artis yang telah membuat pameran digital di Muzium Telekom bersempena dengan pameran Immersio yang dianjurkan oleh Filamen dan Yayasan TM. “Immersio merupakan sebuah kejayaan yang amat bermakna buat diri saya, untuk berdiri seiring dengan barisan artis yang sudah tersohor merupakan satu pengalaman yang manis buat saya,” kongsi Afi yang cukup rendah diri dan bersyukur dengan kejayaan yang telah dikecapinya setakat ini. 

Sebelum perbualan bersama Afi Sulaiman itu berakhir, BASKL sempat untuk bertanya jika beliau mempunyai sebarang pesanan atau nasihat buat mereka yang ingin menceburi dunia seni ini namun masih lagi mempunyai perasaan takut dan gementar. Bolehkah kita menjadi seorang penggiat seni yang berjaya? Lebih-lebih lagi pada usia yang cukup mentah dan muda? Jawab Afi, “jika kita mempunyai impian dan cita-cita, kita harus mencuba!”

Pada awal tahun 2023 ini pula bersempena dengan Tahun Baru Cina, Afi Sulaiman buat pertama kalinya akan membuat pameran secara duo bersama seorang lagi artis iaitu Zhonk Vision di Ipoh, Perak. Pada pameran yang berjudul Kultur Art Nouveau ini, Afi akan membawakan karya seni yang bertemakan reka bentuk tradisional Cina yang disulamkan dengan gabungan media moden. Pameran ini telah bermula pada 12 Januari yang lalu dan akan berlangsung sehingga 29 Januari di 22 Hale Street, Ipoh bermula jam 10 pagi. Bagi mereka yang berminat dan ingin meluangkan masa untuk ke sana, anda bolehlah menghubungi saudari Afi Sulaiman melalui whatsapp atau melalui emel di afisulaiman@yahoo.com

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites