Projek Pantunis: Direktori pantun dengan sasaran satu juta nukilan!

Projek solo empunya jurutera perisian, Irfan Zainudin ini merupakan impian peribadi yang berkembang menjadi sesuatu yang turut memanfaatkan segenap penggemar dan pelajar sastera Melayu!

Oleh NABILA AZLAN

“Sebab utama saya cipta Pantunis adalah untuk memuaskan hati sendiri,” kata jurutera perisian merangkap pelajar di UNSW Sydney, Australia yang diberi nama Muhammad Irfan Mohd Zainudin dalam temu bual bersama BASKL. “Bagi saya, pangkalan data pantun yang tersedia di Internet tidak berapa menarik, jadi saya ciptakan sebuah lagi. Apabila saya kongsikan dengan orang ramai melalui laman X peribadi saya, saya menerima maklum balas yang mengatakan bahawa projek ini berpotensi untuk memberikan manfaat kepada orang ramai. Pantunis boleh membantu sebagai alat bantuan menulis skrip, latihan dan sebagainya.”

Personaliti yang berasal dari Kelantan ini akui, pendedahannya kepada pantun, sepertimana bentuk nukilan sastera lain datang melalui pengalaman dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. “Membesar dalam budaya Melayu kampung, saya ada dengar pak cik dan mak cik saya bercerita dan berkongsi tentang pantun. Di sekolah juga, saya belajar tentang pantun sehingga ke peringkat universiti. Mungkin bezanya ialah saya suka bahasa dan bagi saya, berpantun, berpuisi merupakan suatu aplikasi bahasa yang amat indah.”

Susunan pantun mengikut kategori (‘Teroka’) amat membantu dalam pemilihan dan penghayatannya.

Selalu hadir dalam bentuk empat kerat (baris), pantun Melayu turut tampil dalam dua dan empat kerat; usah terkejut, kerana pantun juga boleh dikeluarkan dalam bentuk 16 dan 20 kerat! Anatomi pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu pembayang dan maksudnya. Seakan sebuah cara yang diguna pakai masyarakat Melayu pada zaman terdahulu untuk memberikan bukan sahaja petua dan nasihat tetapi sindiran halus, sebagai ekspresi kasih dan penghargaan, dan sebagainya, kecantikan pantun jelas pada penggunaan bahasanya, juga strukturnya yang berima atau berulang (rhyming). Meskipun pantun kelihatan tidak popular dalam kalangan generasi kini, tidak lengkap majlis rasmi dan adat merisik orang Melayu tanpanya. Untuk merancakkan kembali penggunaan pantun di dalam kehidupan seharian, kita semestinya memerlukan lebih ramai suara muda yang bukan sahaja mengenali keindahan pantun tetapi juga aktif dalam menggalakkan penggunaannya.

Mengapa ‘Pantunis’? Jawab Irfan, “Komuniti pengguna bahasa perisian Python menggelarkan diri mereka Pythonista (diinspirasikan daripada ‘Fashionista’) dan nama asal yang menarik minat saya adalah Pantunista. Namun, saya tidak gemarkan perkataan ‘nista’ [makna perkataan ini oleh Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka adalah aib, cacat, cela, rasa malu]. Saya terus putuskan untuk memendekkannya kepada Pantunis. Ketika ditemu bual oleh Radio Era, saya turut menambah bahawa Pantunis adalah singkatan ‘pantun manis’. Saya harap pantun akan sentiasa kedengaran manis, seakan muzik atau halwa telinga yang lain.”

Ditanya pula, bilakah masa yang elok untuk menggunakan pantun?

“Apabila ditemu bual,” jawabnya mengusik.

Dia turut menambah jawapannya dengan serangkap pantun ringkas:

Bilakah elok untuk bersantun?

Bila kena dengan tempat dan waktunya.

Bilakah elok untuk berpantun?

Bila kena dengan tempat dan waktunya.

Katanya lagi, berdasarnya pengetahuan dan pemerhatiannya, “Apabila bersama orang yang kita cintai, bolehlah kita berpantun romantis untuk menimbulkan rasa cinta. Sekiranya kita bersedih, kita boleh berpantun untuk memujuk hati. Ada juga ahli politik yang turut menggunakan pantun ketika berucap di dalam Dewan Rakyat!”

Pokok jelutung getah jelutung,

Buat getah burung merpati;

Abang berpantun adik berpantun,

Dalam pantun mengikat hati

Pantun yang didapati dari Kumpulan Pantun Lisan Melayu: Kurik Kundi Merah Saga Edisi Kedua keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka

Berbekalkan ilmu untuk membangunkan perisian (software development), Irfan menggabungkan dua minatnya. Diajukan soalan mengapa dibina pantun dan bukan bentuk puisi lain seperti sajak, lagu atau syair, Irfan menyatakan harapannya untuk mendirikan pangkalan yang serupa untuk karya sastera yang lain pula. Katanya, “Saya mahu fokus kepada [seni] ini terlebih dahulu. Saya juga ada idea untuk mereka pangkalan data sajak, gurindam, syair dan sebagainya, namun bagi saya Projek Pantunis ini sendiri sudah pun memakan masa yang agak lama juga lebih-lebih lagi dalam usaha mendapatkan data. Saya kemudiannya perlu menyusun koleksi pantun di dalam pangkalan data. Proses ‘pembersihan’ inilah yang mengambil masa yang panjang, kerana teks pantun tidak terus datang dalam bentuk yang tersusun elok dan tersedia untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data.”

Misi Irfan untuk Pantunis adalah untuk mengumpulkan sejuta pantun ke dalam pangkalan data Pantunis dalam jangka masa lima tahun kedengaran agak gila walaupun bukan mustahil, namun terangnya, “Saya mahu cuba untuk mencapai suatu matlamat dahulu sebelum saya kembangkan skop projek. Pada masa sekarang (selepas empat bulan ia dilancarkan), Pantunis baru mengumpulkan lebih kurang 2000 buah pantun.”

“Cara saya untuk mengumpulkan pantun adalah pelbagai, antaranya dengan mendapatkan data teks daripada buku, blog dan laman-laman web [yang dipercayai], menambah melalui dapatan dari universiti-universiti tempatan [yang juga sedang diusahakan], serta mendapatkan bantuan sumber luar (outsourcing). Selain itu, saya turut menerima sumbangan pantun dari orang ramai. Harapan saya adalah semoga semua orang boleh turut serta dalam pembangunan Pantunis.”

Kemas kini Pantunis yang dikongsikan oleh Irfan di laman X.

“Saya hormati hak cipta setiap buku. Jika ada sumber yang saya tidak berjaya memperoleh kebenaran, saya tidak akan menggunakannya,” kata Irfan.

Berikut merupakan pantun kegemaran Irfan:

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan.

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.

“Pantun ini mengingatkan saya untuk berasa rendah diri dan sentiasa mengamalkan pemikiran pelajar seumur hidup,” tambahnya.

Perlukah generasi baharu mempelajari selok-belok berpantun? Ringkasan jawapannya, “Perlu, kerana ia cantik dan indah, Pantun ini bukan budaya orang lain, tetapi kepunyaan kita. Berpantun itu adalah perlu untuk menjadikan kita manusia; untuk kita berkongsi rasa, makna dan kehidupan.”

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites