Soprano Perancis dan Puisi Melayu digabungkan dalam ‘Merdu Puisi’

Oleh DANIAL FUAD

Lagu seni (art song) merupakan sebuah bentuk kesenian yang menggabungkan puisi dan juga muzik, selalunya dengan iringan piano. Seni yang telah dipraktikkan dalam banyak masyarakat ini mencerminkan gaya, peribadi dan warisan budaya sesebuah bahasa. Antara bahasa yang terkenal dengan kesenian ini adalah German dengan seni Lieder mereka, Perancis dengan Mélodie dan juga Mandarin dengan Ge.

Bahasa Melayu turut mempunyai lagu puisinya yang tersendiri di mana muzik akan mengiringi deklamasi puisi. Antara nama yang terkenal dalam genre lagu puisi adalah Titra, Kopratasa, Ahmad Ramli dan Julfikar Ahmad Shah. Namun begitu, seni ini semakin ditelan zaman dek kemunculan muzik yang lebih moden. Sayang sekali, kerana Bahasa Malaysia cukup sarat dengan puisi-puisi yang cukup bagus.

Penyanyi Soprano, Khairunnisa Diyana Md Noor

Bagi menyemarakkan semangat lagu puisi dan memperkenalkannya kepada khalayak yang lebih ramai, The Poetics Collective menganjurkan acara Merdu Puisi di Malaysian Institute of Art City Campus awal Mac lalu. Sebuah persembahan intim yang bertujuan untuk mendedahkan lagu seni ini kepada rakyat Malaysia, ia dalam masa yang sama mampu memupuk penghargaan terhadap Bahasa Malaysia dan seni penulisan puisi.

Deklamasi puisi dan lagu rakyat

Merdu Puisi menumpukan perhatian ramai kepada puisi Melayu nukilan pemuisi-pemuisi tempatan seperti Marzelan Salleh, Alwagera, Tazul Tajuddin, Hajar Haznam, Ezwin Alyazaara dan juga Sasterawan Negara kita, Allahyarham Usman Awang. Selain puisi, terdapat juga lagu rakyat yang dipersembahkan pada malam itu seperti lagu Anak Odeng, Ala Canggung, Lompat Si Katak Lompat dan juga Anak Ayam.

Pengarah dan Tenor, Scott Woo

Acara ini merupakan buah fikiran Pengarah dan Tenor, Scott Woo yang menyatakan, “Dalam hidup yang serba pantas ini, kami menjemput anda semua untuk menikmati sesuatu yang berlainan; pengalaman yang mesra dan halus.”

Khairunnisa Diyana Md Noor, sorang penyanyi soprano telah terpilih untuk acara pertama di dalam siri ini. Beliau bukanlah seorang yang baharu dalam bidang persembahan ini kerana dia telah pun mengadakan persembahan bukan sahaja di Malaysia (antaranya di Music at ILHAM, Embassy of Italy and Embassy of Netherlands Cocktail and Dinner Reception dan Urbanscape 2019) malahan di persada antarabangsa, misalnya Australia dan London.

Berganding bahu bersama Khairunnisa adalah pemain piano, Tengku Mohamad Hadif yang merupakan salah seorang ahli Malaysian Philharmonic Youth Orchestra semenjak tahun 2015. Tengku telah berpeluang untuk mendapat didikan dengan pemain piano tersohor seperti Ng Chong Lim, Akiko Danis, Profesor Li Ming Qiang, Foo Mei Yi, Dr Poom Prommachart, Muzaffar Abdullah dan Stephen Hough.

Pemain Piano, Tengku Mohamad Hadif

Hadirin telah dijamukan dengan persembahan berdurasi sejam setengah yang sangat mantap antara Khairunnisa dan Tengku. Ibarat ‘roller-coaster’ emosi, puisi yang sedih disulam dengan lagu rakyat yang menggamit memori serta mencuit hati. Pertembungan budaya soprano Perancis dengan puisi Melayu ini pada permukaannya mungkin kedengaran janggal, tetapi ia merupakan suatu yang serasi, seperti cincin dengan permata.

Siri Art Songs Artistry

Merdu Puisi merupakan program ulung The Poetics Collective di dalam siri Art Songs Artistry yang bertujuan memperkenalkan lagu seni kepada masyarakat. Program seterusnya di dalam siri ini bakal berlangsung pada hujung April dengan judul Unquiet Thoughts yang juga bakal diadakan di MIA City Campus. Tiket early bird telah pun dibuka bagi yang berminat untuk mendapatkannya melalui pautan ini.

Kemaskini tentang aktiviti The Poetics Collective boleh didapati melalui laman Instagram mereka.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites