Silang seni antara puisi dan lukisan dalam Garis Puisi

Garis Puisi menggabungkan seniman tampak dan pemuisi bagi menghasilkan karya yang mapan.

Oleh DANIAL FUAD

Aktiviti silang seni ini bukanlah sesuatu yang baru berlaku dalam latar seni kita. Malahan ia salah sebuah kolektif yang sangat signifikan dalam sejarah seni Malaysia iaitu Anak Alam dianggotai seniman pelbagai disiplin. Akan tetapi, perkara rentas disiplin antara penulis dan pelukis ini dilihat semakin dingin di zaman ini. Malah, menurut Faizal Sidik, “… hubungan itu sukar dilihat di mana-mana lagi kecuali sekitar dekad 1960-an hingga 1980-an apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan Sudut Penulis di bangunan lamanya. Bukan saja untuk penulis berwacana mengenai pengkaryaan, bahkan terbuka kepada pelukis, pengarca serta penyair.” Terdapat juga galeri yang dulu boleh tahan sohor juga yang dijalankan oleh penulis Raja Ahmad Aminullah bergelar RA Fine Arts.

Tiba-tiba dapat tahu akan ada sebuah pameran yang akan diisi dalamnya gabungan karya seniman dan juga pemuisi. HOM Art Trans yang menganjurkan ikhtiar kali ini, dan terdapat juga penganjur dari pihak penulis; Studio Kaukab. Kali ini lebih berat penglibatan seniman dan pemuisi di mana mereka bekerjasama selama lebih kurang enam bulan berbanding pameran Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib anjuran HOM Art Trans juga dari tahun 2015. Jika dalam pameran Melukis Puisi para seniman hanya bertindak balas terhadap puisi Pyanhabib, Garis Puisi ini sedikit lain.

“Pertama, pelukis perlu menyiapkan karya berdasarkan puisi yang dihasilkan oleh ‘pasangannya’ dan yang keduanya penyair perlu pula menulis sebuah puisi berdasarkan karya yang telah disiapkan oleh si pelukis,” catat Abdullah Jones dalam katalog pameran.

10 seniman digandingkan bersama 10 pemuisi. Pujian diberi kepada pihak penganjur apabila melibatkan peserta pelbagai peringkat; dari yang muda hingga ke lebih matang. Malahan terdapat seorang pemuisi daripada keturunan India; menulis puisi Bahasa Malaysia. Sedikit kagum aku di situ.

Aku mungkin sedikit jahil dalam menghayati puisi, tetapi pameran ini secara tidak langsung memaksa aku menjerumus dalamnya. Tersusun barisan puisi bersebelahan lukisan di dalam galeri, ditenung setiap satu dibandingkan puisi dengan lukisan gandingannya.

Ada yang menceritakan tentang ketuhanan, ada fasal kehidupan, ada perihal politik. Berencam semuanya cuba untuk mengaitkan di antara satu sama lain. Melihat nota-nota dalam katalog pameran, dilihat positif segalanya kerjasama antara penulis dan pelukis. Akrab apabila berkongsi minat yang sama.

Penulis menulis, pelukis melukis

Akan tetapi, dalam ilmu ku yang cetek ini; ada terdapat beberapa gandingan yang mungkin tidak cukup kuat perasaan darinya. Dua gabungan yang aku dapat rasakan aura yang mereka ini betul memahami antara satu sama lain, satu antara Suddin Lappo – Affendin Salleh dan lagi satu Arik Wibowo – Quratul ‘Ain.

Suddin melukis gambar penggali kubur dalam gaya separa mujarad, untuk bertindak balas dengan puisi Affendi yang menceritakan tentang syurga. Kemudian Affendi pula menulis Syurga 333 kali untuk puisi yang bertindak balas dengan karya Suddin yang menggambar perkataan Su. Ru. Ga; perkataan Syurga dalam Aksara Lontara. Bagi aku, ini merupakan salah sebuah gandingan yang sangat mantap kerana keduanya saling melengkapi satu sama lain. Keduanya bercakap perihal Syurga dan kematian. Mungkin juga kerana puisi yang dihasilkan agak senang untuk aku hadam membuat aku lebih dekat dengan ini.

Bergerak ke seniman yang lebih muda, Arik Wibobo dan Quratul ‘Ain cukup mantap dalam memainkan peranan mereka. Arik menghasilkan karya portret yang kemudiannya dipotong kecil dan disepahkan di dalam bingkai; tindak balas daripada puisi Quratul yang menceritakan kedukaan. Bagi aku, karya itu cukup tepat melambangkan kedukaan, seakan diri terpecah-pecah ke seribu bahagian. Kemudian mereka bekerjasama sedikit lain bagi karya kedua, dengan menghasilkan sebuah karya gabungan puisi dan lukisan. Menggunakan teknik puisi padam, mereka berdua menghasilkan Memalamkan Duka daripada sajak Anwar Ridhwan yang berjudul Berbagi Duka. Arik yang sememangnya cukup sohor dengan penggunaan arangnya, telah merakam sajak Anwar di atas kertas yang kemudiannya dipadamkan perkataan-perkataan untuk menghasilkan puisi Quratul; Kedukaan.

Selain itu, gandingan Khairudin Zainudin bersama Cahaya Jais juga menarik perhatianku. Dapat dilihat Merasuah Izrail Di Hari Matimu sangat cocok mengambarkan Menggali Diri lukisan Khairuddin. Cukup rapat puisi dan catan dihasilkan. Mungkin dengan imej tangan mengenggam tanah itu dan warna hitam menguasai bahagian bawah lukisan itu menggambarkan kematian dengan cukup baik sekali.

Pemahaman mendalam

Bukanlah dalam berkata begini, gandingan yang lain tidak mencapai piawai; cuma kurang rasa umph dalamnya. Jika dibaca puisi Jaymani Sevanathan dapat dilihat karya Haslin dapat mencerminkan apa yang disampaikan tentang kekusutan dan penyerahan. Atau jika melihat karya Edroger Rosili melukis burung yang menggonggong mata dan kotak undi terbakar; cuba menggambarkan puisi Petak Daud berkenaan kritikan dan politik. Boleh dilihat mereka berjaya menafsir apa yang masing-masing cuba sampaikan dan bukanlah hanya sekadar di permukaan sahaja.

Mungkin karya-karya gandingan lain perlukan pemahaman tentang puisi yang sedikit baik jika ingin menghayatinya. Seperti melihat karya gandingan Faizal Suhif dan Hafiz Hamzah; karya instalasi yang menceritakan tentang hidup dan mati. Faizal juga mampu menulis dengan baik, jadi mungkin gandingan mereka ini mempunyai maksud yang mendalam yang sukar untuk aku gapai.

Sama juga seperti karya Zaim Darulaman – Jack Malik dan Ajim Juxta – Abdullah Husaini. Zaim pernah bekerja dengan syarikat penerbitan manakala Ajim merupakan penulisi lirik; jadi tentunya gandingan mereka ini juga bersama Jack dan Abdullah bukan hanya sekadar di permukaan. Namun karya tersebut juga sukar untuk aku gapai dengan mendalam.

Menceritakan tentang kehidupan, gandingan Fadli Mokhtar – Karim Mohd juga sedikit berat untuk aku hayati. Puisi xxxx menceritakan tentang kehidupan tatkala COVID-19 menular jadi digandingkan dengan Silent Emptiness; tiga buah catan Fadli. Manakala catan Ranjau Sepanjang Jalan inspirasi daripada novel Shahnon Ahmad dengan tajuk yang sama dihasilkan seiring dengan Dongeng Malam. Setelah melihat kesinambungan tajuk karya Fadli dengan novel Shahnon baru aku dapat merasakan kaitannya dengan puisi Karim.

Hisyamuddin Abdullah bersama Rasydan Fitri juga menghasilkan karya yang cukup menarik. Puisi Rasydan telah dibingkaikan bersama karya Hisyamuddin menghasilkan sebuah kitab. Secara estetik memang menarik, tetapi aku tidak dapat menggarap apa yang cuba disampaikan. Mungkin kerana perbezaan tema dan inspirasi di antara mereka di mana Rasydan telah mencatat, “apabila dipastikan pada pertemuan awal, ternyata tema dan inspirasi karyanya sangat berbeza dari kebiasaan subjek tulisan saya: dia politik, saya kehidupan peribadi.”

Penutup

Bagi aku, pameran Garis Puisi ini terdapat kejayaan di dalamnya; iaitu untuk meruntuhkan dinding di antara seni tampak dan seni penulisan. Pameran ini juga membuka mata aku untuk lebih mendalami seni puisi, sesuatu yang baru bagi aku yang sudah terbiasa disekelilingi dengan karya seni tampak. Akan tetapi masih terdapat dinding di antara kedua seni ini mungkin kerana kejanggalan untuk bergaul di mana dapat dilihat seniman tampak dan seniman penulisan ini terbahagi kepada dua ketika sesi pembukaan.

Perkara sebegini bukanlah boleh selesai dalam jangkamasa satu pameran. Jadi elok jika ramai lagi pihak menyahut apa yang HOM Art Trans dan Studio Kaukab lakukan ini supaya kejanggalan untuk merentas bidang itu dapat dihilangkan. Garis Puisi telah berlangsung daripada 26 Okt hingga 11 Nov lalu di HOM Art Trans, Kuala Lumpur. eKatalog pameran boleh juga didapati dengan mengikuti pautan ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites