Sepetang bersama Raja Ahmad Aminullah di R A Arts Haven

Raja Ahmad Aminullah merupakan seorang penyair, penulis, budayawan dan juga aktivis sosial yang aktif semenjak tahun 1970-an lagi. Ikuti penulis dalam mengenali isu kekurangan pembaca di Malaysia, juga mengenai buku dan ruang baharu pengkarya ini.

Oleh DANIAL FUAD

Kita sering dimomokkan dengan khabar bahawa rakyat Malaysia kurang minat membaca, tetapi mengikut perkongsian Raja Ahmad Aminullah, “Semenjak 20 tahun lalu, statistik yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca satu setengah muka surat setahun sering dikitar semula tanpa mempunyai kajian yang mendalam. Jika dilihat sekarang, semestinya perkara tersebut tidak berasas kerana hanya pada tahun lepas sahaja, hampir sepuluh buah kedai buku baru dibuka pada masa di mana penjualan atas talian juga rancak.” Nama yang sangat tidak asing dalam dunia sastera, Raja Ahmad yang juga mesra digelar Pak Engku merupakan seorang penyair, penulis dan budayawan yang telah menghasilkan karya sejak berdekad lamanya.

“Orang ramai juga telah berpindah daripada membaca buku fizikal kepada buku elektronik dengan kemajuan teknologi. Berita juga kini dibaca atas talian dengan percambahan pelbagai jenis portal berita,” tambahnya lagi. Menurut pandangannya, tidak ada sebarang bukti sokongan tentang statistik yang sering diulang ketika pesta buku yang juga menunjukkan bahawa latar sastera Malaysia kini semakin membangun. Kata beliau, “Pada pandangan saya, bahasa Melayu ini mempunyai nuansa bahasa yang sangat kaya terutamanya dalam perihal sasterawi, jadi saya lebih selesa mengarang sajak dalam bahasa Melayu. Jadi, tumpuan kita haruslah kepada cara bagaimana untuk menambah buku-buku yang boleh membantu dalam proses pencerdasan bangsa ini.”

Apabila ditanya jika penguasaan bahasa mencerminkan keupayaan intelektual, beliau mengulas, “Penguasaan intelektual tidak bergantung kepada penguasaan bahasa, akan tetapi akses kepada bahan bacaan memerlukan penguasaan bahasa. Karya sastera bahasa Melayu kini sudah semakin luas bukan sahaja di negara kita, malah dari Indonesia juga. Kini, terdapat banyak karya yang telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Perkara ini memungkinkan akses kepada pengetahuan yang lebih dan jika kita boleh membaca bahasa Inggeris, ia akan meluaskan lagi bahan bacaan kita.”

“Dalam hal saya, kerana minat mendalam saya sering membaca karya sastera dalam bahasa Melayu dan karya-karya dari Indonesia, saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam penguasaan bahasa Melayu,” jelas beliau. Walaupun cukup terkenal dengan karya sastera dalam bahasa Melayu, Raja Ahmad telah meluncurkan sebuah buku kumpulan puisi berjudul Continuum yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Beliau menambah, “Saya telah mendapat jemputan untuk menghadiri pesta sastera di Kolkata dan Assam sebagai tetamu khas dan merasakan perlu untuk ada sebuah buku bahasa Inggeris, jadi itu merupakan titik tolak permulaan buku Continuum.”

Buku yang telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Februari lepas adalah hasil penerbitan Biblio Press. Tentang pengisian buku tersebut, beliau berkata, “Saya menyedari bahawa ada juga sajak-sajak telah saya karang dalam bahasa Inggeris, malah ada sekitar 10 ke 12 sajak yang telah dimuatkan di dalam buku Ketawalah, Tanahairku: Sajak-Sajak Resistencia. Jadi, saya telah memutuskan untuk mengumpulkannya di dalam sebuah buku di mana majoritinya adalah sajak bahasa Inggeris tetapi terdapat juga beberapa sajak bahasa Melayu yang diterjemahkan.”

Baru-baru ini, Raja Ahmad telah membuka sebuah kedai di Strand Mall, Kota Damansara. Beliau mengulas, “R A Arts Haven boleh dikatakan ‘kedai rojak’ yang dijual bermacam-macam benda tetapi yang utamanya adalah buku-buku langka dan terpakai. Sebahagian besar buku di sini agak sukar untuk didapati kerana ia merupakan simpanan peribadi saya sepanjang perjalanan kehidupan saya, contohnya edisi awal Belenggu oleh karyawan Indonesia, Armijn Pane, beberapa buku daripada Hamka dan juga Pramoedya Ananta Toer.”

Beliau juga telah berkongsi tentang bagaimana beliau mendapatkan buku-buku langka tersebut: “Sewaktu saya bekerja dulu, saya kerap ke luar negara dan tidak menghabiskan masa dengan aktiviti seperti bermain golf, tetapi lebih kepada melawat kedai buku dan muzium; jadi terdapat buku yang tidak masuk ke Malaysia yang telah dapat saya beli.”

Selain itu, setelah penganjuran beberapa acara sastera di hadapan R A Arts Haven, beliau kini merancang untuk mengadakannya pada hari Sabtu kedua setiap bulan. “Dari dahulu lagi jika saya menganjurkan sebarang acara, saya suka mencampurkan pelbagai aktiviti seperti membaca sajak, teks dan juga perkongsian pengalaman. Selain itu, saya juga gemar merentas generasi.. Seperti acara saya di sini yang pertama dulu, terdapat 10 orang peserta yang hadir, ia membariskan mantan Presiden Persatuan Arkitek Malaysia, Dato’ Ar. Hajeedar Abdul Majid dan mantan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Ngah Talib yang membaca buku mereka di samping pengkarya muda seperti Raiha Bahaudin dan Tan Sei Hon yang membuat persembahan,” ulas Raja Ahmad.

Siri acara yang seterusnya bakal berlangsung pada 13 Mei 2023. Tambah beliau, “Untuk siri ketiga ini, saya telah menjemput seorang peminat sajak dari Temerloh iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang mempunyai kumpulan kugiran dan juga ahli politik negeri Melaka, Dira Abu Zahar.”

Buat yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, R A Arts Haven bertempat di G32, Ground Floor, Strand Mall. Ia dibuka pada setiap hari daripada jam 11pg hingga 8mlm. Sebarang kemas kini berkenaan aktiviti Raja Ahmad boleh didapati di laman Instagram dan juga Facebook beliau. Beberapa buku hasil penulisan beliau pula boleh didapati di laman sesawang ITBM.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites