Lim Soon Heng dan semangat yang tak terhabiskan

Lim Soon Heng, aktivis teater dan bekas pembawa acara di radio BFM, berbual-bual mengenai pengalaman hidupnya sambil bercerita tentang buku cerita kanak-kanak terbaru tulisannya, 'A Hen-Made Tale'.

Oleh AZUWAN AHMAD

Enam puluh sembilan bukanlah sebuah angka yang sedikit kalau diukur pada usia seseorang, namun itulah umur sebenar individu disebalik sosok tubuh seorang aktivis teater, Lim Soon Heng yang kaya dengan pengalaman dan telah menempuhi pelbagaian bidang kerjaya sepanjang hayatnya.

Terbaharu, pada 24 April yang lalu dia telah melancarkan buku cerita kanak-kanak hasil nukilannya sendiri berjudul A Hen-Made Tale. Pelancaran yang dijalankan di Museum of Picture Book Art, GMBB ini bertepatan dengan Hari Buku Sedunia.

Seramai 30 orang telah menghadiri pelancaran tersebut. Turut mendapat perhatian sepanjang Lim membaca coretan perenggan dari buku yang diilustrasikan oleh Tang Yeok Khang itu, ia juga disertai dengan projeksi imej daripada buku tersebut.

Buku tulisan Lim ini mengisahkan tentang sekumpulan ayam betina yang sudah lelah menetas telur setiap kali ayam jantan berkokok. Mereka akhirnya mempunyai idea untuk berehat sebentar daripada menetas dan cuba untuk memujuk ayam jantan daripada berhenti berkokok.

Foto: Tang Yeok Kang , ilustrator bagi karya A Hen-Made Tale

Oleh kerana tertarik dengan premis buku ini, penulis telah menemu bual Lim beberapa hari sebelum majlis pelancaran bukunnya. Penulis mengakui mengagumi Lim kerana dirinya seolah tidak menggambarkan usianya dek kerana semangat dan tenaga yang banyak dirasai daripada Lim. Seolah-olah, penulis mengenai Lim telah sekian lama.

Itu membuatkan perbualan kami menjadi rancak. Sempat juga Lim menyelit beberapa kisah zaman kecilnya, Lim secara berseloroh menggambarkan dirinya sebagai seorang yang menyenangkan dengan bertubuh kecil dan comel.

“Saya selalu dipilih untuk menjadi penyambut kepada orang kenamaan di majlis-majlis sekolah. Mungkin mereka merasakan saya nampak menyenangkan dengan tubuh yang kecil dan kelihatan comel. Saya juga sering dipilih menjadi konduktor di pertandingan ‘English Elocution’.”

Lim membesar di Taiping, Perak dan dia mendapat pendidikan awal di St. George’s yang mana dia terlibat aktif dalam persatuan pengakap.

Salah seorang dari gurunya yang amat Lim hormati ialah, Brother John DeCruze, yang sering menggalakkan pelajar-pelajar untuk aktif dalam pelbagai aktiviti. Kerana dorongan seperti inilah membuatkan minat Lim dalam seni persembahan meningkat.

“Ketika menjalani aktiviti berpengakap, saya sering disuruh untuk melakukan skit persembahan bila sahaja kami menjalankan aktiviti perkhemahan. Pernah ada orang yang memberitahu saya, jika tenaga saya boleh dibotolkan, mungkin saya sudah menjadi seorang jutawan,” kongsi Lim.

Tragedi 13 Mei membuatkan ayahnya berkeputusan untuk menghantar Lim belajar di luar negeri, tepatnya di New Zealand bagi menghabiskan pengajian sekolah menengah.

Memetik kata-kata ayahnya, “Tiada siapa yang mahu seorang pelakon yang berbangsa Cina.” Pada zaman itu, mentaliti masyarakat terhadap seni persembahan tidak seperti sekarang.

Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam Bahasa Inggeris di Bringham Young University pada tahun 1981 kemudian meneruskan Sarjana dalam bidang yang sama di Duke University, Amerika Syarikat sehingga tahun 1987.

Menurutnya mengapa pengajian Bahasa Inggeris sangat dekat dihatinya, “Saya terpersona dengan keindahan dalam berbahasa Inggeris dengan fasih, Itu sangat mengujakan saya”.

Foto: Ketika Lim membacakan sebahagian perenggan daripada karyanya di hari pelancaran.

Pelancaran buku kanak-kanak oleh Lim bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Ini kerana, dalam keghairahan Lim bercerita betapa banyak pengalaman kerjaya yang telah tempuhi olehnya, terselit satu kisah tentang pengalamannya menjadi guru kelas di sebuah sekolah di Amerika Syarikat. Kanak-kanak dan pendidikan merupakan sesuatu yang amat penting.

Dia kemudiannya dipanggil pulang ke Malaysia untuk mengetuai sebuah jabatan yang mengajar Kesusateraan Amerika. Namun, ia tidak dapat memuaskan Lim. “Anak-anak Malaysia sudah kehilangan keupayaan untuk berbahasa Inggeris dengan baik. Malah kita tak berbahasa dengan baik dalam Bahasa Melayu sekalipun. Kita tidak mempunyai kejelasan dan kefasihan dalam berkongsi idea. Waktu dulu tidak seperti itu. Tak kira apa latar belakang anda, anak-anak zaman dahulu sangat fasih berbahasa. Sekarang Bahasa menjadi sebuah aras kemampuan ekonomi,” ujarnya.

Seperti yang diketahui ramai, Lim pernah menjadi editor untuk majalah dan merupakan salah seorang penyampai acara di radio tempatan BFM. Jadi Bahasa Inggeris adalah amat penting dalam pertuturan kata dan penyampaian. Namun bukan setakat Berbahasa Inggeris, penulis cukup teruja apabila Lim menyanyikan sebuah lagu kanak-kanak dalam Bahasa Melayu yang pernah dipersembahkan olehnya sewaktu di bangku sekolah dahulu. Selain fasih berbahasa, nyanyian Lim juga amat baik.

Pada tahun 2001 pula, Lim pernah mengetuai sekumpulan penulis di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal untuk kandungan laman web dan aplikasi telefon bimbit, “Saya pernah memenangi anugerah khas untuk sebuah portal Islamik yang dilancarkan bagi syarikat telekomunikasi tersebut. Saya masih ingat ia dilancarkan di muzium Islam. Ia adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan,” ceritanya.

Pengalaman demi pengalaman membawa Lim untuk menceburkan diri dalam kerjaya korporat. Namun ia tidak memadamkan ghairahnya terhadap persembahan pentas. Menurutnya setiap kali habis waktu pejabat, dia akan tetap melibatkan diri dengan aktiviti persembahan pentas.

“Saya tidak akan berada di pejabat lepas habis waktu bekerja. Saya telah memberitahu mereka lebih awal lagi, ketika mula menyertai mereka. Antara kerja ini dengan teater, saya akan memilih teater.”

Setelah bersara Lim kini merupakan Pengarah Eksekutif di KL Shakespeare Players, sebuah syarikat produksi persembahan pentas. Mereka sering mementaskan produksi teater berbahasa Inggeris terutama karya Shakespeare. Kumpulan ini pernah memenangi anugerah khas daripada Milan pada tahun 2020 melalui persembahan berjudul ‘A tale of Star Crossed Lovers’.

Lim ditanya mengenai bagaimana kerjanya membantu dia menjadi seorang penghibur yang lebih baik, “Ketika saya bertugas di radio, saya melakukan pekerjaan tersebut sambil melatih diri saya. Jika anda menjadi seorang pembawa acara di radio, seharusnya anda mempunyai tenaga dalam suara anda. Suara itu yang akan menarik orang untuk mendengar anda. Jika anda tidak mempunyai tenaga atau nada yang baik, susah bagi orang lain untuk terus mendengar anda.

“Ketika saya berada di syarikat korporat pula, saya merasa bertuah kerana saya melakukan pekerjaan yang saya suka. Setiap kali syarikat saya memerlukan seseorang untuk berunding mengenai kandungan dengan syarikat seperti syarikat rakaman muzik atau studio filem, mereka akan menghantar saya dan itu membuatkan saya mempunyai jaringan perhubungan professional yang bagus.”

Mengulas tentang buku kanak-kanak yang ditulisnya, Lim mengatakan bahawa ia bukanlah sebuah idea yang baru, “Sebenarnya saya sudah menulis cerita ini daripada tahun 1996. Saya membawanya kepada sebuah syarikat penerbitan buku. Mereka mencadangkan agar saya mengubah konsep buku ini kepada buku kerja kanak-kanak yang mempunyai soalan dan glosari perkataan di dalam buku tersebut. Idea itu sangat asing bagi saya. Saya menulis buku tersebut bukan untuk tujuan untuk dijadikan sebagai kerja rumah, tetapi untuk keseronokan kanak-kanak yang membacanya.”

Pada tahun 2016, Lim telah menukar konsep cerita itu untuk menjadi sebuah skrip. Seorang wanita British telah datang ke Malaysia sempena dengan Festival Kula Lumpur dan telah membaca skrip tersebut. Wanita ini kemudian mencadangkan kepada Lim untuk menukar cerita tersebut menjadi pementasan muzikal.

Dia mempunyai perancangan untuk mementaskan A Hen-Made Tale menjadi persembahan pentas tahun hadapan dengan bantuan temannya, Nick Choo. Lim juga turut mengakui bahawa cerita ini telah banyak diolah dari segi bahasanya walaupun kebanyakan kandungan cerita ini tidak berubah sejak 1996.

Penulis secara nakal bertanya kepada Lim adakah cerita tulisannya ini sebuah satira politik. Lim ketawa kecil dan menjawab, “Ramai orang bertanya hal sama. Ada yang mengatakan bahawa cerita ini anti kapitalis dan mungkin berunsur feminisme. Barangkali kalau orang dewasa yang membaca cerita ini melihat adanya elemen yang sebegitu. Saya menyedarinya. Namun, saya tidak fikir kanak-kanak melihatnya dari sudut itu. Secara jujurnya, saya tidak mencuba untuk menjadikan ia sebuah satira politik. Kalau ada, ia hanyalah sebuah kebetulan. Mungkin, idea sebuah pekerjaan itu bukanlah satu hal yang seronok untuk dibincangkan”.

Sebahagian kandungan di dalam A Hen-Made Tale.

Sudah tentu penulis wajib bertanya dengan Lim mengenai harapannya terhadap buku tulisannya itu. “Saya mahu buku ini tersebar di banyak tempat dan orang-orang terus membacanya. Kita ada banyak perpustakaan di dalam negara ini. Saya sangat senang sekali kalau paling tidak buku ini mempunyai satu salinan di setiap perpustakaan. Jarang sekali saya melihat buku berbahsa Inggeris yang menceritakan tentang kisah tempatan. Kebanyakkannnya cerita daripada luar negara yang diterjemahkan. Lagipun, adalah menyeronokkan untuk membaca mengenai ayam yang bercakap,” jawapnya Lim yang juga sedang merancang bersama rakan-rakannya untuk menjadi buku ini sebuah animasi.

Produksi buku cerita A Hen-Made Tale ini adalah disokong oleh Geran Sastera dan Penerbitan MyCreative Ventures dan Penjana. Bagi anda yang ingin mendapatkan buku setebal 28 muka surat ini, anda boleh mendapatkannya di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites