Perkongsian kehidupan orang Asli melalui DEMAKASI

Tanah Itu Selamanya merupakan acara satu hari bagi memperkenalkan budaya orang Asli anjuran Gerimis

Oleh DANIAL FUAD

Persembahan Syarahan

Kali pertama penulis berhadapan dengan karya persembahan syarahan adalah pada tahun 2020. Pada ketika itu, Ho Rui An telah melakukan persembahan syarahan tentang krisis kewangan Asia 1997. Walaupun telah wujud sejak tahun 1960an lagi di serata dunia, boleh dikatakan pengalaman tersebut adalah yang pertama bagi penulis menghadapi karya sejenis ini.

Persembahan syarahan menggabungkan kesenian dengan akademik di mana seniman mempersembahkan hasil kajian mereka dengan cara kreatif. Hasil kerja daripada Five Art Centre yang berjudul A Notional History boleh dikatakan salah sebuah persembahan syarahan yang menerima sambutan yang sangat baik.

Melalui persembahan syarahan, orang ramai bukan sahaja dapat menikmati hasil seni yang menarik malahan mendapat maklumat yang lebih mendalam tentang kajian yang dilakukan para seniman. Pada Ahad lepas, penulis telah berkesempatan untuk menghadiri salah sebuah persembahan syarahan yang berlangsung di The Grey Box, GMBB.

Dari kiri En Ngah Sedeh, Shazni Bai dan En Mat Seri Pandak

Tanah Itu Selamanya

Gerimis, sebuah kolektif yang menumpukan tentang naratif orang Asli telah menganjurkan Tanah Itu Selamanya. Ia bertujuan untuk meraikan rakan baru daripada Simpang Pulai dan Jalong Tinggi serta rakan kerjasama jangka panjang bersama dengan pekerja dan wartawan di lapangan. Acara yang berlangsung daripada jam 12tgh hingga 6ptg itu sarat dengan pengenalan tentang kehidupan orang Asli daripada bicara seni muzik, anyaman sehinggalah kehidupan seharian mereka.

Salah sebuah program yang dirancang hari tersebut adalah DEMAKASI – Spilling Tea on Mapping History. Persembahan syarahan ini telah dijalankan oleh En Mat Seri Pandak daripada Kampung Lawai, Jalong Tinggi, Perak bersama En Ngah Sedeh daripada Kampung Pergom, Simpang Pulai, Perak. Shazni Bai, Exco Kerja Lapangan & Advokasi Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah menjadi pemudah cara pada hari tersebut.

Persembahan syarahan tersebut telah menceritakan tentang cara kehidupan suku Temiar dan Semai serta bagaimana kemajuan telah menghakis gaya hidup serta sempadan perkampungan mereka. En Mat Seri Pandak merupakan wakil daripada suku Temiar manakala En Ngah Sedeh pula adalah Tok Batin suku Semai bagi Kampung Pergom.

En Mat Seri Pandak

Riwayat Orang Asli

Apa yang membuat penulis tertarik untuk hadir ke persembahan syarahan ini adalah kerana kedua-dua perkampungan orang Asli tersebut sangat dekat dengan kampungnya. Walaupun membesar di Sg. Siput, pendedahan tentang cara hidup mereka sangatlah sedikit dan ini membuatkan penulis rasa sedikit segan kerana kecetekan ilmu tentang suku yang sangat dekat dengan tempat membesarnya.

Persembahan syarahan ini telah dijadualkan berlangsung selama satu jam, tapi sudah tentu sangat suntuk untuk berkongsi perihal hidup dua buah suku tersebut. Perkongsian oleh kedua orang wakil suku mereka sangatlah menarik dan memecah tanggapan tentang kemunduran kehidupan orang Asli.

Sebagai contoh, kedua-dua suku tersebut mempunyai undang-undang mereka yang tersendiri yang disebarkan secara lisan sahaja. Bukan sahaja itu, malahan mereka juga mempunyai mahkamah mereka yang tersendiri; memberi peluang untuk pesalah mempertahankan diri sebelum dijatuhkan hukuman.

Malahan, penduduk Temiar dan Semai yang berjiran ini mempunyai persempadanan mereka tersendiri yang ditentukan melalui beberapa ciri di antaranya kebesaran penduduk sesebuah kampung. Persempadanan ditentukan melalui perbincangan di antara Tok Batin kampung masing-masing.

Jika sempadan ini diceroboh, pesalah akan didakwa di dalam mahkamah mereka dan dijatuhkan hukuman. Kebiasaannya hukuman adalah lebih kepada denda yang perlu dibayar mengikut keberatan pencerobohan tersebut. Setiap suku mempunyai jumlah denda yang berbeza yang sering bertukar mengikut peredaran zaman.

Yang menarik lagi, mereka juga berkongsi masalah yang sama dengan kesenian tradisional kaum lain di mana generasi muda tidak ingin menyambungnya. Perkara ini telah membuka mata penulis tentang modenisasi yang mencengkam semua orang tidak mengira geografi.

En Ngah Sedeh

Masalah dihadapi

Selain daripada berkongsi kisah kehidupan mereka, En Mat serta En Ngah juga berkongsi tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum mereka. Tanah mereka semakin diceroboh oleh pembalak serta pemburu membuatkan mereka hilang hasil pencarian. Kebiasaannya, orang Asli boleh hidup dengan ilmu alam akan tetapi, alam semakin dijarah atas nama pembangunan sehingga tiada lagi hasil hutan yang boleh mereka nikmati.

Tanah kampung mereka semakin lama semakin kecil dek kemajuan kawasan sekitar dan ini satu lagi masalah yang mereka hadapi. Namun begitu, terdapat juga ramai aktivis semula jadi yang bekerja keras untuk membantu mereka, Shazni Bai antaranya yang tidak lelah mempertahankan hak orang Asli.

Penutup

DEMAKASI – Spilling Tea on Mapping History telah membuka mata penulis tentang kehidupan masyarakat orang Asli yang tinggal berhampiran kampung asalnya. Melalui persembahan syarahan ini, terdapat banyak ilmu yang telah diterima. Perkara sebegini perlu lebih diusahakan kerana ia membantu masyarakat memahami perkara serius dalam konteks santai serta memberi sorotan kepada golongan yang mempunyai kurang pendedahan.

Gerimis sangat rapat dalam memperjuangkan hak orang Asli serta mendedahkan kehidupan mereka kepada orang ramai. Tanah Itu Selamanya merupakan salah satu ikhtiar yang sangat berkesan kerana mereka berjaya membawa orang Asli ke kota raya untuk berkongsi kisah mereka. Kemaskini untuk acara anjuran mereka boleh didapati melalui laman Instagram mereka.

Ikuti kisah menarik lain di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites