Soalan pertama yang belenggu di fikiran tatkala anak-anak cuti sekolah “aktiviti apa yang kita nak buat bersama atau untuk mereka kali ini?” Jangan khuatir, ikuti temu bual penulis bersama Cikgu Jaja Yusof yang terkenal dengan lukisan kucing dan warnai cuti sekolah anak-anak anda dengan aktiviti seni.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Menerusi petikan dalam Hello Doktor, seni dan kreatif adalah penting dalam pembentukan diri anak-anak. Selain merangsang perkembangan otak kanak-kanak, seni dapat mengasah kemahiran motor mereka. Dari situ, kita dapat melihat beberapa aspek dalam pembesaran kanak-kanak seperti tangan manakah yang dominan bagi anak kita.
Selain dapat memupuk minat, kita juga dapat melatih mereka untuk menghubungkan neuron-neuron melalui seni dengan pendedahan kepada beberapa deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuh, bau dan rasa.
Pengetahuan umum ini juga menjadi antara salah satu faktor mengapa Nur Yusniza Mohd Yusof, mesra dengan panggilan Jaja Yusof, yang dibesarkan dalam keluarga yang cintakan seni begitu senang untuk mengajar kanak-kanak, termasuk kanak-kanak autism.
Jaja memang seorang individu yang lahir dalam keluarga yang diibaratkan seni itu telah mengalir halus dalam darah dagingnya. Kata Jaja, “Arwah atok, dia buat sarang burung, saya dibesarkan dengan orang-orang yang menghayati seni. Jadi pengaruh tu datang dari sekelilinglah.”
“Ayah saya pula seorang pelukis yang berjaya, karakter ayah sangat penyayang dengan kanak-kanak. Ayah saya sangat lain dari orang lain lah, dia bukan typical ayah yang keluar pergi pejabat dan balik petang. Tidak! Dia duduk di rumah melukis, dan sesekali pergi kembara seni untuk pameran atau mencari ilham.”
Pengaruh ini juga sebenarnya banyak mempengaruhi dirinya. “Jadi saya memandang kerjaya seorang pelukis itu ‘wow’ kerana di Malaysia tidak ramai orang yang macam ni, dan saya dibesarkan oleh idola saya yang sangat memberi impak dalam hidup saya.”
Mempunyai seorang ayah yang berpengaruh dalam dunia seni seperti Allahyarham Yusof Gajah atau Pak Yusof dan mempunyai ideologi yang berbeza serta keterbukaan dalam pemilihan kerjaya anak-anaknya, secara tidak langsung memberi kebebasan buat Jaja. Bermula dengan pengajian dalam bidang psikologi, kemudian menjadi pelatih PLKN, bekerja di kafe serta telah menjadi penyelia di kolej swasta dan sekolah antarabangsa, Jaja kemudian nekad dengan segala pengalaman yang dimiliki, dia memilih untuk menjadi artis sepenuh masa.
Mengambil kira visi serta mewarisi legasi bapanya, Jaja ter-inspirasi untuk menjadi pelukis yang bermasyarakat. Katanya, “Dalam melukis kita perlu beramal, dalam melukis kita sebarkan ilmu, dalam melukis kita sebarkan pengaruh cintakan seni supaya orang Malaysia yang tak nampak, dia akan nampak, ‘Oh, macam ni rupanya lukisan’, sebab mentaliti masyarakat kita masih ramai yang belum menerima seni.”
Buat pengetahuan pembaca, jiwa seni Jaja bermula sejak kecil lagi melalui penulisan dalam Program Anak Kinantan sejak lingkungan tahun 1996 dan 1998, di mana idea program tersebut diasaskan oleh karyawan seni, pengarah dan pelakon tanah air, Tuan Hilal Azman, yang mana mereka mengumpulkan 10 orang kanak-kanak genius. Minatnya pada ketika itu lebih menjurus kepada sajak dan pada ketika itu Jaja memiliki lebih 100 buah sajak.
Namun minat itu berubah kepada seni lukisan apabila dia berjaya menjual lukisan di galeri bapanya bermula dengan harga RM25. “Sebelum tu melukis hanya nak duit je (sambil ketawa), tetapi semakin saya besar, saya tidak lihat pada wang, saya jadi pelukis kerana saya nak bantu orang sediakan platform untuk orang lain melukis juga. Sebab ada dikalangan anak-anak autism yang pandai melukis, tetapi tidak tahu mana nak pergi. Ada orang dewasa yang dulu ada impian nak jadi pelukis, tapi sebab mak dan ayah halang jadi mereka masuk bengkel saya untuk dibimbing dan meneruskan minat mereka.”
Dengan memilih untuk menjadi pelukis sepenuh masa, Jaja berpeluang untuk mengikuti program-program bersama NGO untuk mengajar kanak-kanak istimewa setiap bulan. Manakala bagi sesi studionya pula, bermula dengan harga serendah RM60 hingga RM80 dan akan dicaj mengikut jam dan waktu tertentu, Jaja mengenakan yuran yang berpatutan untuk sesi studionya dan biasanya akan diuar-uarkan pada setiap hujung minggu.
Namun apa yang menarik perhatian penulis, Jaja juga turut menekankan bahawa dia menerima sebarang bayaran mengikut kemampuan. “Saya dibesarkan oleh orang lama (dalam seni) tau, maksud orang lama tu macam ayah saya yang bersusah-payah untuk membina namanya, untuk guna lukisan sebagai periuk nasi untuk membesarkan kami. Jadi apabila dia sampai ke tahap namanya dah begini, sehingga kami selesa dengan kehidupan kami, jadi pesan ayah, Allah dah bagi macam-macam jadi tak perlu berkira.”
Meletakkan dirinya di tempat ibu bapa serta anak-anak yang kurang bernasib baik membuatkan dia lebih bersifat terbuka dan menerima sesiapa sahaja untuk menyertai sesi di studionya.
Sepanjang sesi penulis meluangkan masa bersama ‘Cikgu Jaja’ di rumah studionya, penulis sempat beramah mesra bersama beberapa pelajar ciliknya. Kata Airis Assyifa’ Muhamad Akmal, 9 tahun “Iris nak cakap terima kasih sebab ajar Iris dari kecil sampai besar, cita-cita saya bila besar nanti nak jadi pelukis macam Cikgu Jaja juga.”
Perkongsian adik Airis sememangnya membuahkan perasaan yang seronok dan menyenangkan, apatah lagi apabila melihat telatah anak-anak muridnya yang sangat akrab dengan Jaja. Penulis terpanggil untuk menanyakan perasaan Jaja sebagai pelukis dan melakukan aktiviti seni bersama kanak-kanak.
“Sebagai cikgu ia kecil tapi besar. Pelukis ni bukan kerjaya glamor. Kadang-kadang orang tanya, ‘Kerja mana?’ Pelukis, ‘Lukis plan ke?’ Mereka tak tahu.” Tambah Jaja, “Tetapi saya seorang yang positif. Kadang-kadang keluar dari mulut kanak-kanak yang meletakkan diri saya sebagai idola. Bila kita jadi idola yang positif untuk kanak-kanak, sampai besar mereka akan ingat.”
Jaja menyambung ringkas kata-katanya tadi, “Saya rasa ia adalah sangat bermakna dan besar untuk saya.”
Jaja juga turut menjadi salah seorang daripada jurulatih bagi ArtForRare Program (sebuah projek seni bagi pelajar yang mempunyai muscular dystrophy condition), yang mana karya mereka bakal dipamerkan pada November nanti.
Bersempena cuti sekolah, terdapat beberapa kelas yang bakal diadakan oleh Jaja, antaranya Doodle Art, Karja Kolaj dan Lukisan Perspektif. Anda boleh layari laman Instagram Jaja Yusof untuk menempah tempat dan mengikuti perkembangan Jaja. Anda juga boleh layari antara koleksi kucing Jaja di sini.
Anda juga boleh ikuti kisah lain di sini: