Gangsapura mempersembahkan dendangan gamelan di dalam gelap melalui persembahan terbaharu mereka, 'Gong in the Dark'.
Oleh DANIAL FUAD | Gambar oleh Gangsapura
Sudah bertapak di Malaysia selama lebih 200 tahun, kesenian gamelan dibawa oleh Kerajaan Riau-Lingga pada kurun ke-19. Bentuk muzik ini mula hadir di Tanah Melayu semasa perkahwinan antara adinda kepada pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali iaitu Wan Esah bersama putera sulung kepada Sultan Riau-Lingga, Tengku Hussin. Sekumpulan penari beserta pemuzik lengkap dengan alat muzik gamelan daripada Pulau Penyengat, Riau telah hadir untuk memeriahkan majlis perkahwinan itu pada tahun 1811.
Asalnya, muzik gamelan adalah tradisi istana yang hanya dipersembahkan sebagai hiburan para kerabat diraja dan dalam upacara istana, sehinggalah Tan Sri Mubin Shepherd, Pengarah Muzium Negara yang pertama berusaha untuk menghidupkan kembali kesenian ini apabila beliau menemui set alat muzik itu di Istana Kolam, Terengganu pada tahun 1966. Rentetan perkara tersebut, tertubuhlah Orkes Gamelan Diraja Terengganu pada tahun 1969.
Debut mereka berlangsung pada tahun yang sama di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara dan sejak itu muncullah pelbagai kumpulan gamelan bagi memperjuangkan kesenian yang cukup indah ini. Kini, terdapat banyak kumpulan gamelan yang ada setelah muzik itu dirakyatkan terutamanya yang berasal dari badan-badan tertentu seperti Kumpulan Gamelan Cendanasari, Jabatan Muzium Malaysia, Kumpulan Gamelan Perbadanan Muzium Sultan Abu Bakar serta Rhythm in Bronze.
Tidak dilupakan juga kumpulan yang kian meningkat nama iaitu Gangsapura. Sebuah kumpulan gamelan yang ditubuhkan pada tahun 2016 untuk menghidupkan seni muzik tradisional, mereka telah mengadakan pelbagai persembahan seperti Kampung Ronggeng dan awal Ogos lepas, mereka baru sahaja selesai persembahan terbaharu mereka yang diberi judul Gong in the Dark.
Persembahan dua hari yang telah berlangsung pada 3 dan 4 Ogos lalu menghidangkan para penonton dengan muzik gamelan yang dimainkan dalam gelap. Menurut pengasas bersama Gangsapura, Nur Diyana Nadirah Shaharuddin, persembahan ini dirancang dalam gelap bagi mengekang pancaindera yang lain supaya para penonton dapat menghayati muzik, lirik dan perasaan yang hadir ketika menikmati ketukan gamelan mereka.
Persembahan selama 45 minit ini bermula tatkala lampu di The Grey Box, GMBB digelapkan sepenuhnya; yang tinggal hanyalah kerdipan lampu telefon dan juga kilauan yang datang dari instrumen gamelan yang membantu para pemain menggarap apa yang diketuk. Semestinya apa yang cuba disampaikan oleh Gangsapura melalui persembahan dalam gelap ini menjadi. Di saat ketukan instrumen pertama diperdengar, para penonton dibawa ke masa lampau; ibarat berada di balairung istana beratus tahun dulu.
Persembahan di dalam gelap ini memberi ruang bagi para penonton untuk mendalami muzik dan menafsir apa yang didengar mengikut imaginasi sendiri, tanpa sebarang bantuan visual. Ini membuatkan pengalaman mendengar muzik ini lebih sempurna kerana setiap ketukan keromong, gambang, saron, kenong, gendang dan gong dapat dihayati dengan lebih terperinci. Hal ini mungkin sekali kerana pendengaran manusia menjadi lebih tajam apabila deria pandangan dikekang.
Pemilihan lagu juga sangatlah mantap di mana lagu-lagu yang dimainkan pada malam tersebut adalah daripada kolaborasi mereka bersama dengan Supercodex dan No-To-Scale tahun lepas iaitu Pengembaraan Satu Malam. Lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan ini ibarat pinang dibelah dua apabila digandingkan dengan konsep persembahan di dalam gelap ini, lantas menambahkan lagi sudut tafsiran yang ada bagi Gong in the Dark. Terdapat juga sebuah lagi lagu tambahan yang berjudul Lara yang juga merupakan gubahan pengasas bersama Gangsapura, Teuku Umar Ilany yang juga merupakan Pengarah Artistik bagi persembahan ini.
Masa berlalu dengan sangat pantas kerana sedar tak sedar dek sedang asyik menghayati ketukan gamelan, sunyi menyapa dan lampu pun dibuka tanda akhirnya persembahan tersebut. Baru dapat dilihat dengan lebih jelas bahawa ruang dewan The Grey Box ini sarat dengan para penonton pelbagai bangsa yang memberikan sokongan kepada persembahan tersebut. Tidak disangka juga bahawa persembahan yang cukup bertenaga ini hanya melalui jumlah latihan sebanyak empat kali sahaja kerana Gangsapura mempunyai tempoh satu bulan sahaja untuk merancang Gong in the Dark ini.
Namun begitu walaupun dalam masa yang singkat, mereka berjaya memberikan persembahan yang cukup gemilang walaupun ini adalah pertama kali mereka bermain dalam gelap sepenuhnya. Usaha seperti ini perlulah sentiasa disokong kerana ini cara menarik minat masyarakat muda meminati muzik tradisi dan secara tidak langsung memanjangkan lagi hayat gamelan ini.
Tambahan lagi, Gangsapura juga ada menganjurkan kelas hujung minggu bagi menyebarkan lagi kemahiran gamelan ini di studio baharu mereka yang terletak di GMBB. Sebarang kemaskini bagi kumpulan gamelan ini boleh didapati di laman Instagram serta di laman sesawang mereka.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: