The Flying Dusun terus memperjuangkan tarian suku kaum Sabah

Panggung Rakyat kali ini membawakan seni tarian tradisional daripada suku kaum Kadazan, Dusun, Murut serta Rungus dari Sabah yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan masing-masing dan perlu dipelihara oleh generasi akan datang kerana setiap tarian daripada suku kaum ini mempunyai penceritaannya yang tersendiri.

Oleh DANNY ADAM

Kumpulan ‘The Flying Dusun’ merupakan salah satu kumpulan yang masih memperjuangkan tarian tradisional suku kaum masyarakat di negeri bawah bayu itu sejak 2013 lagi. Pengasas kumpulan, Nicholas Duanis, 46 tahun berkata tujuan beliau menubuhkan kumpulan ini adalah bagi mendidik dan melatih generasi muda untuk terus mewarisi tarian tradisional yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang mereka sejak turun-temurun lagi.

“Di Sabah, kita memiliki banyak suku kaum dan pastinya setiap suku kaum ini mempunyai keistimewaan masing-masing dari segi adat, makanan, bahasa, seni dan budaya. Oleh itu, saya terfikir untuk menubuhkan satu kumpulan tarian yang boleh menjaga dan memelihara warisan tarian keturunan suku kaum daripada dilupakan oleh generasi akan datang.

Nicholas Duanis sewaktu ditemuramah

“Apabila saya menubuhkan kumpulan ini, saya mempersembahkan tarian-tarian daripada empat suku kaum di Sabah iaitu Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus kerana walaupun ia agak susah tetapi bagi saya tarian-tarian ini sangat unik dan menarik,” katanya.

Menceritakan kepada BASKL baru-baru ini, Nicholas berkata pembabitan awal beliau dalam bidang seni tarian ini sejak dibangku sekolah rendah lagi. Oleh kerana terlalu meminati akan tarian tradisional, beliau meneruskan rentaknya itu dengan bekerja dengan salah sebuah syarikat pelancongan di Penampang, Sabah.

“Selepas lapan tahun saya belajar dan menimba ilmu mengenai muzik, tarian suku kaum kadazan, dusun dan sebagainya, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan memilih untuk mencari haluan hidup sendiri pula.

“Disebabkan saya terlalu cintakan seni tarian tradisional ini, saya mula melatih dan mengajar anak-anak muda di kampung saya supaya ilmu yang saya pelajari selama ini dapat dicurahkan kepada masyarakat pula,” tambahnya lagi.

Menurutnya, antara tarian yang sering dipersembahkan kepada khalayak ramai adalah tarian sumazau dari suku kaum Kadazandusun, tarian magunatip dari kaum Murut dan tarian mongigol dari suku kaum Rungus.

“Kami sering mendapat jemputan atau undangan untuk membuat persembahan ini daripada agensi-agensi kerajaan atau swasta, majlis perkahwinan, majlis makan malam dan sebagainya kerana caj yang kami kenakan tidaklah terlalu mahal dan amat berbaloi,” katanya.

Tarian Magunatip menggunakan buluh simbolik bagi masyarakat Sabah.

Nicholas berkata beliau terpaksa mengenakan bayaran yang murah kerana amat memahami situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat kerana penularan wabak COVID-19. Apabila perkara ini terjadi, bukan sahaja rakyat terkesan, malah kami juga turut terkena tempiasnya.

“Jika sebelum pandemik, bayaran yang kami kenakan untuk setiap kali persembahan tidak melebihi RM2,000. Tetapi memandangkan ketika ini wabak COVID-19, kami terpaksa meletakkan harga bayaran yang lagi rendah,” katanya.

Sementara itu, Nicholas berkata berikutan daripada bayaran yang diterima kumpulannya sekitar RM1,500 untuk pakej tiga atau empat persembahan ketika ini, beliau sangat bersyukur kerana masih lagi mampu membayar gaji 10 penarinya dan pemain muzik.

“Penari-penari saya ini dan pemain muzik tidaklah ramai kerana mereka bukanlah bekerja sepenuh masa dengan saya, jadi dengan hasil wang bayaran yang diterima ini, saya boleh membayar gaji mereka.

Antara alat muzik yang digunakan dalam persembahan tradisi Sabah.

“Namun hasrat saya untuk membeli peralatan dan pakaian tradisional yang baharu terpaksa mengambil masa sedikit kerana masih belum mampu untuk memilikinya memandangkan kos untuk membeli barangan ini adalah tinggi,” jelasnya apabila menceritakan cabaran yang mereka lalui sekarang.

Ketika ditanya mengenai keadaan peralatan dan pakaian tarian tradisi mereka ketika ini, Nicholas berkata beliau berasa sangat sedih melihat kelengkapan yang dimilikinya ketika ini.

“Ada beberapa pakaian tarian tradisional kami ini perlu diganti dengan baharu kerana sudah lama digunakan kerana pakaian ini sangat penting dalam persembahan kerana ia menampilkan adat, budaya warisan setiap kaum itu.

“Selain itu, terdapat juga beberapa peralatan muzik yang sering kami gunakan seperti gong dan gamelan telah lekuk dan ini boleh menyebabkan bunyi muzik tidaklah begitu sempurna,” katanya yang juga terpaksa menyewa dewan komuniti untuk melakukan latihan persembahan.

Jelasnya lagi, walaupun mempunyai kesukaran untuk membuat latihan tarian, tetapi ia bukanlah penghalang untuk kumpulannya memberi persembahan yang cukup menarik kepada penonton. Baginya segala kekurangan itu dapat ditutupi sekiranya persembahan yang ditonjolkan memberi kepuasan kepada para penonton.

Persembahan lain yang anda dapat saksikan pada Panggung Rakyat episod ke lapan ini.

“Saya rasa lebih gembira dan puas hati apabila persembahan daripada kumpulan kami diterima ramai. Bukan mudah untuk kita menambat hati penonton kerana mereka adalah insan yang jujur menilai.

“Setiap rentak, langkah tari kami dilakukan dengan sebaik mungkin kerana niat kami adalah untuk menunjukkan keindahan tarian setiap suku kaum yang ada di negeri ini. Pastinya apabila mereka melihat tarian ini, mereka akan dapat melihat dan mengenali dengan lebih mendalam mengenai suku kaum di Sabah,” katanya lagi.

Nicholas berkata selagi nyawanya dikandung badan, beliau akan terus memperjuangkan seni tarian ini bersama kumpulannya kerana bagi adat, budaya dan warisan yang dimiliki perlu dipelihara dan disanjung oleh setiap masyarakat di negara ini.

Sekiranya anda berminat untuk melihat persembahan kumpulan ‘The Flying Dusun’ jangan lupa saksikan persembahan mereka menerusi Panggung Rakyat ‘Sound of Borneo (Sabah)’ melalui laman sesawang Facebook CENDANA Malaysia pada 11 Disember ini, jam 8.30 malam. Anda juga boleh melayari laman BLOG mereka.

Bagi anda yang ingin menonton siri Panggung Rakyat yang lalu anda boleh menonton di SINI.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites