Pantang larang di sebalik tanjak

Warisan nenek moyang sering dikaitkan dengan pelbagai kisah yang menarik, ada yang benar dan ada yang mitos. Namun tidak ramai yang masih memegang amalan adat resam yang telah diamalkan sejak turun temurun. Kami kongsikan antara pantang larang disebalik tanjak dalam artikel ini.

Artikel dan gambar oleh ZURAILAWATI YONG program Lensa Seni

Pantang larang, adat resam merupakan suatu amalan yang telah pun menjadikebiasaan dalam sesuatu kaum dan bangsa di Malaysia. Begitu juga dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai pantang larang yang perlu dijauhi dan telah menjadi adat resam sejak dahulu lagi. Pantang larang merupakan peraturan yang telah ditetapkan dan perlu diamalkan sehingga menjadi adat resam yakni adat kebiasaan.

Walaupun kita melalui peredaran zaman, namun pantang larang masih lagi diamalkan dan perlu diterapkan bagi mendidik masyarakat khususnya generasi muda hari ini. Tanjak warisan Melayu juga tidak terkecuali.Tanjak mempunyai pantang larang tersendiri bagi mendukung nilai yang tinggi demi memartabatkan kesenian warisan Melayu.

Bukan sekadar aksesori kepala buat kaum adam, seperti artikel lepas (Man Kayan berkongsi rahsia disebalik tanjak) masih ada persoalan yang belum dirungkaikan sepenuhnya dalam wawancara sebelum ini. Bersama Penghulu Man Kayan atau nama sebenarnya, Noor Azman Bin Norawi, yang juga Pengasas Kelab Serindit Mati Tersepit, dalam berkongsi tentang pengisian kali ini.

Terdapat tiga kategori larangan dalam tanjak. Larangan yang biasa diamalkan oleh pembuat tanjak atau penyolek tanjak ketika proses mengarang tanjak, larangan ketika memakai tanjak dan larangan umum tanjak.

Kain tanjak yang bakal dibuat tanjak perlu di alas sebelum dipotong

Larangan penyolek ketika mengarang tanjak

  • Penyolek tanjak biasanya akan bertanya kepada pemilik kain tentang mahar kain iaitu harga atau nilai kain yang akan digunakan untuk membuat tanjak dengan penuh beradab. Ini kerana ada penyolek tanjak yang tidak menerima tempahan tanjak dari hasil yang haram atau curi. Orang dulu sangat memperhalusi sumber pendapatan mereka. Soal halal haram menjadi keutamaan dalam kehidupan orang Islam.
  • Penyolek tanjak dilarang membuat bentuk tanjak seperti huruf ‘Ya’ (huruf terakhir jawi) kerana kelihatan seperti bentuk batu nisan apabila huruf tersebut diterbalikkan. Ia juga melambangkan pengakhiran hayat seseorang.
Simpan tanjak di tempat yang tinggi dan di tempat yang selayaknya
  • Penyolek tanjak dilarang meletakkan kain yang akan digunakan untuk membuat tanjak di atas lantai. Sebaik-baiknya kain tersebut diletakkan di tempat yang khas. Setidak-tidaknya kain tanjak perlu dilapik atau dialaskan dengan kain lain. Biasanya kain tanjak diletakkan ditempat yang lebih tinggi daripada lantai seperti di atas meja.
  • Penyolek tanjak dilarang memijak kain tanjak ketika memotong kain bagi tujuan menghalang kain songket dari bergerak atau terangkat. Sebaliknya, penyolek tanjak perlu meletakkan bebanan yang lebih berat di atas kain songket supaya proses pemotongan kain berjalan lancar.

Tanjak dianggap sebagai mahkota orang Melayu. Justeru itu, meletakkan mahkota di tempat yang tinggi sekaligus melambangkan martabat dan ketinggian darjat. Tidak mungkin ketinggian darjat diletakkan lebih rendah daripada telapak kaki.

Walaupun ramai berpendapat bahawa pemakaian tanjak pada zaman ini hanyalah sekadar untuk berfesyen, namun bagi masyarakat Melayu, memakai tanjak telah menjadi sebahagian daripada adat resam. Larangan di dalam pemakaian tanjak diwujudkan bertujuan bagi mengelakkan si pemakai tanjak memperlekehkan etika pemakaian tanjak. Jika amalam ini diambil mudah dan hanya memakai secara ala kadar, pemakai busana Melayu kelihatan selekeh dan selekah.

Berikut adalah antara larangan ketika memakai tanjak

  • Pemakai tanjak dilarang untuk memakai tanjak secara terbalik. Ini mempamerkan sikap pemakai tanjak yang memandang remeh seolah-olah menghina dan tidak menghormati adat berbusana.
  • Kedudukan tanjak yang dilarang adalah tapak tanjak melepasi bawah kening si pemakai. Cara yang betul memakai tanjak adalah lebih kurang dua jari dijarakkan dari atas kening. Selain kedudukan yang terlalu rendah akan mengganggu penglihatan si pemakai, tanjak juga dapat menghalang peluh dari terus mengalir melepasi kening si pemakai tanjak.
  • Kedudukan tanjak yang terlalu tinggi dari kening si pemakai. Sekiranya tanjak yang dipakai terlalu tinggi, tanjak menjadi tidak stabil dan tidak mampu berdiri teguh. Pemakai tanjak akan berasa kurang selesa. Tanjak juga akan mudah terjatuh apabila dipakai samada ketika ditiup angin mahupun ketika tersentuh atau terlanggar sesuatu.
Kedudukan pemakaian tanjak yang salah.

Kebiasaannya, kedudukan simpulan tanjak berada selaras dengan telinga kanan si pemakai. Tanjak yang digayakan oleh pemakai kelihatan kukuh serta kemas. Mereka juga akan berasa lebih selesa dan berkarisma.

Sebenarnya pemakaian tanjak yang betul mampu menaikkan imej masyarakat Melayu. Bayangkan ketika pelancong luar negara datang ke negara kita, mereka melihat pemakai tanjak memakai dengan terbalik. Mereka pastinya menyangka masyarakat Melayu kelihatan selekeh ketika memakai tanjak yang menghiasi kepala. Ini mempamerkan imej yang buruk kepada bangsa asing, sedangkan pemakai tanjak sepatutnya kelihatan berkarisma dan merasa bangga ketika menggayakan salah satu busana tradisional Melayu.

Secara umumnya, pantang larang ini bergantung kepada situasi dan peraturan yang telah ditetapkan oleh sesuatu organisasi dan juga kesatuan. Namun begitu, ada adat yang boleh diubah mengikut peraturan adat istiadat.

Misalnya situasi ketika majlis pengisytiharan kumpulan silat. Apabila pemakai tanjak berada di luar gelanggang atau kawasan silat. pemakai tanjak agak bebas menggayakan tanjak yang dipakai. Namun apabila bermulanya majlis rasmi kumpulan, pemakai tanjak perlu membetulkan semula tanjak yang dipakai dan memakainya dengan kemas seperti yang telah ditetapkan oleh kumpulan tersebut.

Pelbagai tanjak dipakai mengikut situasi tertentu

Terdapat beberapa larangan umum tanjak yang masih diamalkan.

  • Pemakai tanjak dilarang memakai tanjak yang salah ketika majlis rasmi. Misalnya ketika majlis berkabung, pemakai tanjak dilarang memakai tanjak yang bersifat cinta – motif sulaman berwarna ceria serta bercorak bunga-bungaan.
  • Memakai tanjak berwarna kuning diraja di dalam istana adalah dilarang. Tanjak berwarna kuning keemasan ini hanya dipakai oleh raja, sultan dan ahli keluarga diraja sahaja. Ini merupakan cara utama untuk memperkenalkan keturunan diraja pada masyarakat.
  • Pemakai tanjak perlu menjaga akhlak dan tutur bicara ketika memakai tanjak di tempat awam supaya tidak dipandang serong oleh bangsa lain.
  • Sesiapa pun dilarang keras untuk menghina tanjak walaupun tanjak tersebut kelihatan lusuh dan buruk. Cara terbaik untuk melupuskan tanjak yang telah lusuh dan rosak adalah dengan membuka lipatan tanjak sebelum dibuang atau dibakar.
  • Tanjak tidak dibenarkan dicampak atau dilambung sesuka hati. Andai ada yang minta untuk dihulurkan tanjak, maka tanjak perlu diberikan dengan cara yang penuh adab. Tanjak dihulur menggunakan tangan kanan, dan disambut juga dengan tangan kanan.
  • Pemilik tanjak dilarang berkongsi tanjak dengan orang lain. Ini kerana, pada zaman dahulu, ada pemilik tanjak menyelit senjata kecil dan bungkusan kecil racun dicelah-celah lipatan tanjak bagi tujuan mempertahankan diri.
  • Kedudukan tanjak bukan untuk diletakkan di kaki atau lutut. Kedudukan tanjak letaknya di kepala kerana tanjak menjadi simbol kebanggaan dan imej si pemakai. Tanjak juga tidak digalakkan disangkut di dalam lengan ataupun dikepit di celah ketiak.
  • Perhiasan yang berlebihan adalah dilarang di dalam menata rias tanjak. Namun begitu, tanjak boleh dihiasi dengan pin atau kerongsang yang tidak melampaui batas. Cukup sekadar cantik mata memandang.

Sumber larangan umum tanjak ini diperolehi melalui temubual secara lisan dengan beberapa penyolek tanjak tradisional yang merupakan orang lama di sekitar negeri Pahang. Tidak salah andai kita mengekalkan pantang larang ini selagi tidak menyalahi budaya dan agama.

Keindahan seni budaya tradisi Melayu perlu diangkat di mata dunia kerana mampu mempamerkan kekuatan jati diri dan keutuhan personaliti. Kembalikan zaman kegemilangan Melayu ke persada dunia. Pelihara kesenian warisan Melayu agar tidak luput ditelan zaman. Seni warisan Melayu merupakan khazanah warisan yang tiada ternilai harganya. Bangsa Melayu kaya dengan seni dan budaya.

Martabatkan seni budaya tradisi melalui pelbagai bentuk. Andai kita rakus mengejar arus kemodenan ke arah globalisasi, berilah suntikan elemen kontemporari yang bersesuaian.

Hidupkan kembali dengan melahirkan masyarakat yang peka dan sensitif terhadap nilai-nilai seni dan estetika dalam kehidupan budaya. Bersama-sama kita berusaha dalam mendidik, agar mampu menarik minat muda mudi dari pelbagai lapisan masyarakat dalam melestarikan kebudayaan kesenian Melayu hari ini.

Zurailawati Yong ialah peserta daripada PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021.

Artikel ini adalah pandangan dan pendapat penulis sahaja dan tidak mewakili pihak CENDANA. CENDANA merizab hak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kegagalan, dan/atau pelanggaran hak intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis artikel ini pada bila-bila masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman sesawang ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau diterbitkan semula dimana-mana platform pihak ketiga yang lain.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites