Man kayan berkongsi rahsia disebalik tanjak

Tanjak mempunyai karisma tersendiri ketika dipakai dan melambangkan identiti, jati diri, keperibadian si pemakai. Bersama Man Kayan, kami menyingkap rahsia disebalik tanjak.

Oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni

Menurut kisah orang-orang dahulu, tanjak mampu memulihkan semangat seseorang. Menurut kepercayaan, jika seseorang lelaki itu telah kehilangan semangat, samada kalah dalam peperangan, kehilangan orang tersayang ataupun hilang semangat akibat perkara mistik, lelaki tersebut mampu dipulihkan dengan mandian air bunga atau air terjun sambil memakai tanjak. Tanjak itu juga haruslah dipakai selama tujuh atau empat puluh hari tanpa dicabut dari kepala bagi memulihkan kembali semangat yang hilang.

Bagi menyingkap rahsia ini, saya berkesempatan bersama seorang anak seni yang juga pengasas Kelab Serindit Mati Tersepit, Saudara Noor Azman Bin Norawi atau mesra dikenali sebagai Man Kayan, yang merupakan anak jati Paya Luas,Temerloh, Pahang.

Nama Man Kayan bukanlah suatu nama yang asing dikalangan anak seni di negeri Pahang. Bahkan beliau dan ahli kumpulannya pernah beberapa kali beraksi di pentas Istana Budaya serta luar negara.

Selain daripada persembahan pantun, syair dan lagu rakyat, Kelab Serindit Mati Tersepit yang diterajui olehnya kini mula menjual tanjak dan aksesori busana Melayu seperti pending, bengkung, sampin dan songket secara dalam talian.

Man Kayan mempelajari ilmu pembuatan tanjak sekitar tahun 2008. Namun beliau mulai serius dengan seni pembuatan tanjak pada tahun 2012 apabila menghadapi kesukaran mendapatkan ‘Penyolek Tanjak’ (Pembuat tanjak) yang sesuai. Ada kalanya beliau terpaksa membuat tempahan tanjak di saat-saat akhir untuk ahli kumpulannya ketika diundang membuat persembahan mengikut tema bersesuaian oleh penganjur.

Sebenarnya terdapat beberapa nama lain bagi tanjak, antaranya ialah dastar, destar, deta, lacak, laung, tengkolok, tongkolok di lain-lain mengikut panggilan daerah dan negeri masing-masing. Bukan sahaja panggilan yang berbeza, bentuk rekaan dan jenis-jenis tanjak juga berbeza mengikut negeri seperti berikut:

  • Pahang: Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Raja Naik Bersiram, Tanjak Sekelongsong Bunga, Tanjak Sunda Menggamit, Tanjak Helang Menyongsong Angin, Tanjak Bugis Tak Balik, Tanjak Getam Budu.
  • Terengganu: Tanjak Belalai Gajah, Tanjak Lang Melayang, Tanjak Temalong Budu, Tanjak Dagang Sakit Di Rantau.
  • Kelantan: Tanjak Getam Budu.
  • Perak: Tanjak Balong Ayam, Tanjak Ayam Patah Kepak, Tanjak Laksamana Trong.
  • Kedah: Tanjak Bunga Batu, Tanjak Dayung Mas, Tanjak Gagak di Rimba, Tanjak Lang Bora, Tanjak Sudu Itik.
  • Selangor: Tanjak Balong Raja, Tanjak Sebang Belat, Tanjak Lang Patah Sayap, Tanjak Pari Mudik.
  • Negeri Sembilan: Tanjak Dendam Tak Sudah, Tanjak Kacang Sehelai Daun, Tanjak Sarang Kerengga dan Tanjak Resmi Agung.
  • Johor: Tanjak Tebing Runtuh dan Tanjak Laksamana.
  • Perlis:Tanjak Putera Kayangan.

Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi nama-nama tanjak lain di kalangan masyarakat Melayu. Nama tanjak yang diberikan biasanya bergantung kepada situasi ketika pemakaian. Semuanya bergantung kepada penyolek tanjak dan si pemakai.

Pada zaman dahulu, tanjak dikarang mampu mengklasifikasikan identiti, pekerjaan, darjat kebesaran serta jasa di kalangan masyarakat. Seperti manusia juga, tanjak mempunyai sifat yang mampu ditonjolkan pemakainya seperti megah, cinta yakni kasih asmara, duka, teguh dan sombong. Kebiasaannya sifat-sifat tanjak ini dikenali di kalangan penyolek tanjak dan pemakai tanjak yang berpengalaman. Sedikit perkongsian mengenali lima sifat asas tersebut.

Lima sifat Asas Tanjak:

  • Megah – Tanjak di kalangan raja, bangsawan, penerima darjah kebesaran, ketua-ketua mahupun golongan kaya.Biasanya mempunyai lambang tertentu serta dihasilkan menggunakan kain yang mahal berkualiti tinggi. Contohnya tanjak raja dan sultan.
  • Cinta ataupun Kasih Asmara – Tanjak bercorak bunga mahupun berbentuk hati. Kelihatan seperti bunga-bunga indah dan cantik berseri. Biasanya dipakai ketika berjumpa kekasih hati atau digayakan oleh raja sehari.
  • Cinta ataupun Kasih Asmara – Tanjak bercorak bunga mahupun berbentuk hati. Kelihatan seperti bunga-bunga indah dan cantik berseri. Biasanya dipakai ketika berjumpa kekasih hati atau digayakan oleh raja sehari.
  • Cinta ataupun Kasih Asmara – Tanjak bercorak bunga mahupun berbentuk hati. Kelihatan seperti bunga-bunga indah dan cantik berseri. Biasanya dipakai ketika berjumpa kekasih hati atau digayakan oleh raja sehari.
  • Cinta ataupun Kasih Asmara – Tanjak bercorak bunga mahupun berbentuk hati. Kelihatan seperti bunga-bunga indah dan cantik berseri. Biasanya dipakai ketika berjumpa kekasih hati atau digayakan oleh raja sehari.

Namun begitu, tidak semestinya tanjak itu hanya mempunyai satu sifat sahaja. Ada juga tanjak mempunyai gabungan beberapa sifat. Contohnya Tanjak Alang Iskandar yang menggabungkan sifat megah dan teguh.

Bahan-bahan utama pembuatan tanjak

Tanjak dihasilkan menggunakan tangan. Walau apa pun jolokan nama untuk tanjak, asas menghasilkan tanjak tidak lari daripada tiga perkara wajib iaitu tapak tanjak, simpulan dan lambaian. Kain songket atau kain kapas merupakan material yang sesuai untuk mengarang tanjak.

Di zaman Kesultanan Melayu Melaka, ada juga tanjak yang diperbuat daripada kain sutera. Namun disebabkan kaum lelaki diharamkan memakai kain sutera dalam Islam, maka tanjak tidak lagi dibuat menggunakan kain sutera.

Bahan lain yang diperlukan untuk membuat tanjak adalah kertas gam kolar baju, gunting, jarum, benang serta seterika. Biasanya proses membuat tanjak hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit menggunakan mesin jahit. Kebiasaannya tanjak yang dihasilkan menggunakan mesin jahit ini dipakai di kalangan orang kebanyakan seperti tanjak majlis raja sehari, persembahan kebudayaan dan ahli silat.

Manakala tanjak khas seperti tanjak diraja, sultan, kebesaran serta tanjak yang dipakai dalam majlis rasmi yang melibatkan majlis adat istiadat pula, dihasilkan menggunakan jahitan tangan dan mengambil masa 2 hingga 4 minggu. Tanjak dihasilkan dengan penuh ketekunan, ketelitian dan kemas dipakai hinggakan benang jahitan tidak kelihatan.

Selain itu, ukuran yang tepat juga memainkan peranan untuk menghasilkan tanjak yang kemas dan berkualiti. Ukuran diambil kira mengikut saiz kepala agar selesa dipakai. Tanjak kelihatan terletak elok dan kemas di atas kepala mampu membangkitkan karisma si pemakai.

Pemakaian tanjak dan cara penyimpanan

Tanjak perlu dipakai mengikut kesesuaian majlis. Biasanya untuk majlis adat istiadat, pemakai disarankan mengenakan sepersalinan busana lengkap. Contohnya, majlis pertabalan, perlantikan, anugerah dan perkahwinan. Terdapat tiga asas pemakaian tanjak sering digayakan.

  • Kedudukan tapak tanjak di atas kening.
  • Tapak tanjak perlu dijarakkan 2 jari (dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu) dari kening
  • Tanjak disengetkan mahupun condong sedikit samada ke kiri atau ke kanan tetapi tidak melepasi cuping telinga.

Proses membuat tanjak tidak mudah. Material yang digunakan juga perlulah berkualiti bagi menjamin ketahanan. Oleh itu, tempahan tanjak juga mahal. Andainya tanjak yang dimiliki tidak disimpan dengan cara yang betul maka rosaklah tanjak tersebut. Berikut merupakan langkah bagi penyimpanan tanjak.

  • Bungkus tanjak dengan kain nipis dan simpan di dalam bekas mahupun di dalam almari tertutup bagi mengelakkan habuk terperangkap pada permukaan tanjak dan  di celah-celah lipatan tanjak.
  • Gunakan kaedah gerus untuk mengilatkan tanjak.
  • Gunakan kaedah cucian kering “dry cleaning” untuk proses membersihkan tanjak bagi mengelakkan tanjak rosak dan mengekalkan kualiti tanjak.
  • Jangan sesekali merendam tanjak di dalam air kerana benang songket akan mengembang mengakibatkan benang menjadi rapuh dan menyebabkan tenunan rosak.
  • Jangan menghempap dan menindih tanjak dengan tanjak yang lain. Sebaiknya, tanjak disimpan berasingan atau disusun secara bersebelahan dengan tanjak yang lain.

Budaya, kehidupan dan kesenian tidak dapat dipisahkan kerana ini melambangkan identiti suatu bangsa. Oleh itu, kita perlu bersama-sama memelihara dan bertanggungjawab untuk menjaga khazanah kesenian budaya kita.

Sebelum sesi kami berakhir, sempat juga Man Kayan menambah,

“Kesenian tanjak harus diangkat semula kerana ia merupakan saki baki kegemilangan tradisi orang Melayu. Tanjak dan busana Melayu bukan sekadar menarik digayakan tetapi mempunyai nilai estetika serta mesej yang terselindung di sebaliknya.”

Dia juga berpesan, “Peliharalah kesenian Melayu sebelum hilang. Maka, dapatkan sumber maklumat dan rujukan dari orang-orang lama mengenai tanjak serta kesenian Melayu. Mereka tidak sombong. Bahkan mereka suka berkongsi maklumat bersama generasi baharu. Kita belum terlambat dan masih punyai masa juga peluang untuk mengetengahkan seni warisan Melayu.”

Zurailawati Yong merupakan peserta daripada CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021. Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites