Pameran seni pertama penggodam biologi, Heather Dewey-Hagborg di Malaysia

Oleh NABILA AZLAN

Dipamerkan di Wei-Ling Gallery dari 18 Mac hingga 15 April lalu, Closer Than Your Family adalah pameran pertama Heather Dewey-Hagborg yang dibawa ke Malaysia sejak penglibatannya dalam dunia seni sekitar tahun 2010. Membawa hasil seninya ke pelosok dunia, misalnya di pusat tumpuan seni terkemuka Daejeon Biennale, MoMA PS1 serta Centre Pompidou, artis dan penggodam biologi (biohacker) kelahiran Amerika Syarikat ini bersemangat untuk menguji pemikiran kritis dan kritikal manusia terhadap sains dan teknologi. Namanya disebut seiring karyanya yang bertajuk Stranger Visions (2012-2013), sebuah potret yang diolah daripada urutan DNA dan diperbuat daripada bahan buangan manusia seperti helaian rambut, puntung rokok dan gula-gula getah yang berkebolehan menyimpan data genetik.

Seorang yang amat mengagumi artis dan komposer John Cage, dia menyatakan bahawa pengkarya itu adalah antara nama yang mempengaruhi karya-karya awalnya. Artis ini kerap mengambil inspirasi dari peranan alam sebagai cerminan seni semula jadi. Bukan itu sahaja, pembacaan mengenai artis visual Stephen Wilson yang cenderung terhadap seni informasi (information arts) melebarkan sayap Dewey-Hagborg untuk menjalankan eksplorasi karya mengikut pengaruh sains dan baharu, contohnya fizik atau teknologi kecerdasan buatan (AI, atau artificial intelligence).

Pameran Dewey-Hagborg, khususnya Closer Than Your Family memanggil semua orang tidak mengira lapisan masyarakat untuk berkumpul dan berfikir, apakah kesan teknologi kepada kita semua? Katanya, “Saya berhasrat untuk memberi inspirasi kepada khalayak untuk terlibat secara kritis dengan sains dan teknologi dalam kehidupan mereka. Ketahuilah struktur di sekeliling anda, tentang perkara yang sedia ada ataupun bakal datang, kemudian berfikir dan bercakap tentangnya dengan orang lain.”

Tajuk Closer Than Your Family atau terjemahannya dalam Bahasa Malaysia, Lebih Akrab Daripada Keluarga Anda sebenarnya berteraskan karyanya yang lalu, Hybrid: an Interspecies Opera (2022) yang berani melihat hubungan manusia dengan haiwan, terutamanya melalui kejuruteraan biologi (bioengineering). Kajian yang ditransformasikan kepada karya seni ini menceritakan kebolehan haiwan terpilih sebagai ‘pembekal’ jantung manusia melalui kaedah penyuntingan genetik yang dipanggil CRISPR. Secara tidak langsung, haiwan ‘pembekal’ ini akan mampu menjadi sebahagian daripada diri seseorang!

Apa lagi yang boleh dilihat di Closer Than Your Family? Lihat untaian pemikiran kritis Dewey-Hagborg melalui beberapa tiga karya dan buah fikirannya di bawah!

Watson’s Ghost (2021)

“Seseorang boleh mengambil rupa yang berbeza-beza berdasarkan DNA mereka. Selepas saya tahu bahawa teknologi ini ditawarkan sebagai perkhidmatan kepada polis, saya risau ia akan secara tidak langsung mengajar orang untuk melihat kepada stereotaip. Saya pun mula mengkaji pemprofilan genetik imun dan jenis-jenis stereotaip yang mungkin terikat sama.”

Bahantara: Dua potret cetakan 3D dengan video holografik yang dipancarkan ke atas kaca

Idea utama: Bagaimanakah caranya untuk membuat tekaan terpelajar (educated guesses) tentang rupa seseorang menggunakan teknologi AI?

Lovesick: the Transfection (2019)

“Kalau kita mampu hasilkan virus yang boleh meluahkan perasaan cinta dan kebebasan, bolehkah kita juga menghasilkan virus yang membawa pencerobohan dan kebencian dengan cara mudah?”

Bahantara: Retrovirus yang diubahsuai, 10 vial kaca, dua video HD saluran tunggal dengan alunan muzik khas yang digubah oleh artis. Dimensi karya tidak serupa.

Idea utama: Bolehkah perasaan sayang itu ‘tersebar’ seperti virus? Selepas wujudnya penularan virus yang memisahkan kita, bagaimanakah cara untuk kita rapat kembali?

Hybrid: an Interspecies Opera (2022)

“Instalasi ini melihat kepada tempoh pembiakan selektif haiwan yang selalu dilihat sebagai teknologi genetik baru. Adakah teknologi ini pernah wujud sebelum ini atau sesuatu yang benar-benar baru?”

Bahantara: Cetakan 3D dan seramik berdasarkan arca purba khinzir berbentuk imbasan 3D dan filem saluran tunggal

Idea utama: Bolehkah haiwan menjadi lebih dekat dengan kita daripada ahli keluarga kita sendiri hasil proses kejuruteraan genetik ini?

Closer Than Your Family dipamerkan di Wei-Ling Gallery dari 18 Mac sehingga 15 April 2023. Buat yang tidak dapat melihat karya Heather Dewey-Hagborg secara fizikal, lawati laman web Wei-Ling Gallery atau deweyhagborg.com untuk info lanjut.

Gambar oleh Wei-Ling Gallery

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites