Gelombang hidup membentuk naratif seni Hasanul Isyraf Idris

Oleh MIMI SALLEH

Menelusuri setiap karya Hasanul Isyraf Idris dari tahun 2010 buat kita berfikir, apakah yang mencetuskan lakaran tersebut?

Lukisan Clash of Pigment, Back from Planet Luvox dan Faculty of Sausage memaksa mata kita mengekori setiap pergerakan warna-warna terang dan bentuk makhluk aneh dari angkasa lepas. Manakala, lukisan Primal Breast, Air Door Marinate dan Solid Burner Stock yang dipenuhi dengan elemen hidupan laut seperti ikan, ketam udang dan kerang pula diadun dengan warna akrilik, menggamit ingatan pelukis kembali ke nostalgia ibunya memasak di kampung.

3 Sadhu Kingfisher

Keyakinan Hasanul mengadun pelbagai jenis catan menjadi satu karya harmoni. Misalnya lukisan 3 Sadhu Kingfisher. Burung Raja Udang dan beberapa burung lain dilakar memandang ke satu arah. Badan dan pelepah burung menerima sentuhan cat air dan dakwat yang diadun menjadi karya yang menonjol.

Berbual dengan artis kelahiran Perak ini seolah-olah membaca sebuah buku yang di dalamnya terkandung bab-bab kehidupan. Setiap bab adalah pengalaman hidup Hasanul yang meninggalkan kesan mendalam. Namun memahami Hasanul sebagai artis, tidak boleh sekadar melihat satu karyanya sahaja. Jiwanya kompleks dengan emosi yang sukar diluahkan kepada umum.

Siri High Order Love (HOL) adalah kisah peribadi. Ia bermula dengan kisah kehilangan, kekosongan dan kesunyian selepas kematian ibunya. Pencarian perkataan HOL itu menjadi sebahagian daripada proses berkabung dan usahanya untuk bangkit. Malah, dia jujur menerokai makna mortaliti dengan mengambil semula kenangannya membesar di Pulau Pangkor dan cerita-cerita yang pernah ibunya kongsikan.

Cerita ibunya bukanlah cerita rakyat mahupun cerita putera puteri, sebaliknya ia kisah manusia yang melalui waktu susah dan senang.

“Ibu saya berbangsa Cina dan ayah berbangsa Melayu. Semasa peristiwa rusuhan yang berlaku di Pulau Pangkor pada tahun 1959, suasana huru-hara dengan bangunan dibakar dan peristiwa berdarah. Ia meninggalkan emosi trauma kepada ibu,” jelas Hasanul.

Justeru, semasa menyiapkan pameran HOL Chapter 2.3, Wound: Environment of Naga and Doubt (2018), dia mengambil inspirasi daripada kejadian tersebut. Dia menggambarkan suasana post-apocalypse dengan manusia berpakaian sut hazmat, ubat-ubatan dan kawalan sempadan.

Malah, Hasanul mengambil objek yang kelihatan biasa di mata umum tetapi apabila diadun dengan kenangan silamnya, ia menjadi satu penceritaan yang perlu dihadam secara perlahan-lahan. Pameran HOL : Scab: Crying Tiger in The Night Market pula, menggambarkan bahan-bahan memasak yang diberi warna dan makna berbeza.

“Bagi saya, dapur adalah simbol huru-hara yang terkawal. Proses memasak itu melibatkan keseimbangan rasa, menguasai rutin harian dan mengawal emosi dalam menghadapi ketidaktentuan,” katanya.

Ramai tidak tahu di studionya, Hasanul juga membiak rama-rama dan kupu-kupu. Kedengaran pelik tetapi bagi Hasanul ia satu terapi melihat proses metamorfosis berlaku.

“Matinya si beluncas ialah permulaan hidup si rama-rama,” katanya.

Bernaung di bawah Galeri Richard Koh Fine Art, mantan guru ini telah mengadakan enam pameran solo di Malaysia, Singapura, India, Switzerland, Indonesia dan Amerika Syarikat. Dia mengakui sebagai artis perasaan ragu-ragu harus diketepikan.

Hasanul di Asia Contemporary Art Week (2019).

“Menjadi artis jangan ada perasaan tidak yakin. Apabila kita sudah bertapak di dalam industri seni ini bermakna kita sudah ada bakat. Langkah seterusnya ialah sentiasa perbaiki diri dan bina jaringan positif,” kata anak bongsu daripada lima adik-beradik ini.

Hasanul percaya walaupun ekosistem industri seni visual di Malaysia sudah lama, namun ia masih muda dan hala tuju kerjaya artis perlu dibantu. Artis perlu ada strategi yang efektif untuk memperkenalkan diri dan karya. Justeru, artis harus melihat kerjaya seni sebagai satu profesion serius yang memerlukan dedikasi.

Pada musim pandemik Covid-19 ini, bagi Hasanul, menjadi keperluan bagi seorang artis menggunakan peluang dan ruang di dalam media sosial. Ini adalah salah satu norma baharu yang para artis harus rebut.

Inisiatif ini akan membuka jaringan baharu dan peluang berkolaborasi untuk aktiviti-aktiviti seni secara atas talian. Bermula dari Mei 19 hingga Jan 2, 2022, La Halle Saint Pierre (sebuah muzium di Perancis) mempersembahkan pameran yang mengumpulkan artis seni halus daripada pelbagai negara dan Hasanul satu-satunya artis Malaysia yang terpilih.

Rutin hariannya bermula seawal jam 6.30 pagi sebagai persediaan mengadakan pameran terutama bagi pameran solo. Hasanul mengakui dia bertuah kerana urusan berkaitan jual beli lukisan dan jadual pameran diatur oleh galeri. Buat masa ini, Hasanul sedang dalam proses akhir menyiapkan lebih 80 buah lukisan untuk pameran solonya di Kuala Lumpur pada bulan Ogos, dan beberapa lukisan lagi untuk pameran solo di Singapura pada bulan Oktober nanti. 

Apabila ditanya mengenai apa lagi impian seni yang ingin dicapai, dia mengakui kekangan masa menyiapkan karya lukisan menyukarkannya melakukan kerja-kerja sampingan.

“Buat masa ini, masa yang ada terlalu padat. Banyak yang perlu disiapkan. Tetapi jika ada kelapangan saya mahu hasilkan komik atau novel grafik. Keinginan ini muncul mungkin kerana pada saat saya melalui waktu-waktu kegelapan menangani emosi, komik sains fiksyen dan novel grafik membantu saya untuk mengawal emosi.”

Mengenali artis bernama Hasanul adalah dengan memahami kuasa emosi yang membina suara naratif seninya. Setiap karya yang dihasilkan adalah pengalaman, pemikiran dan keinginan yang dizahirkan. Seumpama nakhoda mengemudi kapal di kala badai membelah lautan, pengalamannya terbina selepas badai berlalu. Begitu juga pengalaman hidup yang dilalui oleh Hasanul.

Gelombang hidupnya telah memberi makna dalam setiap sentuhan seninya.

Flower Fairies of the Summer (dari Back From Planet Luvox)

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites