KolmeGlu ditubuhkan untuk menjadikan seni lebih mudah dicapai

Megat Ammar bersama Iz Sulaini bekerjasama untuk membuatkan seni lebih mudah dicapai orang ramai

oleh DANIAL FUAD

Boleh dikatakan orang ramai sedikit gerun dengan seni dan pameran dek kerana sering dikaitkan dengan golongan elit dan atasan. Namun begitu, persepsi masyarakat kini kian berubah dan kini seni lebih senang diterima ramai. Sebagai contoh, pameran Leonardo Opera Omnia di Balai Seni Negara pada tahun 2019 telah mendapat tumpuan orang ramai dan lebih dekat adalah pameran Ilham Art Show 2022 yang telah menarik sehingga 1,550 pengunjung pada hujung minggu.

Walaupun begitu, masih terdapat majoriti yang ada perasaan gerun terhadap seni dan dua orang anak muda kini menyertai perjuangan untuk menjadikan seni lebih mudah dicapai. KolmeGlu merupakan sebuah kolektif seni yang dimulakan oleh dua orang pengamal bidang pengiklanan; Iz Sulaini dan Megat Ammar.

“Kami bermula sebagai agensi pengiklanan yang digelar KOLME Creative & Management sekitar tahun 2017 yang menumpukan kerja produksi, pengurusan dan inkubasi bakat,” ujar Megat Ammar. Iz Sulaini pula menambah, “kami merasakan kami telah melangkaui tugas hakiki sebagai agensi pengiklanan dengan membuat pelbagai perkara akan tetapi harus dibuat atas dasar untuk membantu seniman yang bekerjasama dengan kami, jadi lahirlah KolmeGlu untuk membezakan hal ini dari kerja pengiklanan kami”.

Ditubuhkan atas dasar kesedaran bahawa terdapat kelopongan dalam dunia seni; Megat mengulas “Sebaik sahaja kami berkerjasama dengan pelbagai jenis seniman, kami sedar bahawa Malaysia mempunyai ramai orang yang berbakat namun memerlukan bantuan seperti pentas, pembiayaan dan sebagainya.” Tujuan utama kolektif itu ditubuh menurut Iz adalah, “Untuk menjadi gam yang melekatkan pengamal dan peminat seni dalam satu tempat”.

“Saya percaya bahawa kerjasama rentas bidang sangatlah penting terutamanya dalam dunia seni kerana ia merupakan cara yang paling terbaik dan terpantas untuk mencapai khalayak yang baru,” ulas Iz. Membawa semangat itu, projek pertama mereka sebagai KolmeGlu merupakan jalinan kerjasama bersama dengan Renzo Concept dengan mempersembahkan 30 karya daripada lima seniman. “Sesetengah seniman mungkin mempunyai idea yang baik tetapi kurang kemahiran dalam meluahkannya, karya akan jadi lebih kuat dengan melakukan kerjasama dengan pihak lain yang lebih pakar,” ujar Megat.

Baru sahaja selesai dengan projek kedua EX02 Daya;  di mana kali ini, mereka bekerjasama dengan Suhaili Micheline menggabungkan seni persembahan dan seni tampak. “Saya rasa Suhaili sangat sesuai untuk projek kali ini kerana saya telah mengenalinya sejak tahun 2010 lagi semasa kami membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa sebagai penghibur,” ujar Iz di mana Suhaili telah menghampiri mereka semasa projek pertama, EX01 Art Exhibition yang berlangsung September lepas.

Selain daripada pameran lukisan hasil kerja Suhaili, orang ramai juga dijemput untuk menghadiri persembahan di mana beliau akan menghasilkan karya secara spontan melalui gerak tarinya. “Sambutan sangatlah menggalakkan di mana kedua-dua persembahan yang dijalankan sarat dengan penonton,” ujar Megat di mana mereka melakukan dua persembahan di mana, pertama sekali bersama media dan yang kedua bersama orang ramai. Iz pula memberi komen, “penerimaan orang ramai sangatlah luar biasa dan bebagai-bagai antara kedua-dua persembahan”. “Kami membataskan untuk hanya melakukan dua persembahan supaya unsur kejutan tentang persembahan itu masih ada dan membiarkan para penonton ingin lebih lagi untuk masa hadapan,” tambah Iz lagi.

Kedua-dua projek mereka diadakan di kafe Monét di Melawati dan menurut Megat, “berdasarkan tujuan utama kami iaitu membuat seni lebih mudah dicapai, kami telah memilih kafe  ini kerana terdapat orang dari segenap masyarakat yang hadir ke sini”. Mereka juga percaya bahawa ruang seni alternatif penting di mana Iz telah mengulas, “Ia sangat penting kepada khalayak seni kerana ia adalah ruang yang santai untuk orang ramai mendekati seni”.

“Sebagai contoh, awal tadi terdapat pelajar dari Sekolah Kebangsaan Melawati hadir untuk melihat pameran dan terdapat juga seorang pembeli kami yang menyatakan beliau tidak pernah ke pameran seni kerana percaya bahawa jika mahu ke sana harus berpakaian kemas,” tambah Megat lagi.

Tidak kenal erti penat, mereka kini sedang merancang untuk melakukan projek seterusnya di mana menurut Iz, “Kami sekarang sedang berbincang dengan beberapa rakan kerjasama untuk projek terbaru dalam masa terdekat ini.” Jadi orang ramai boleh mengikuti sebarang kemaskini mereka di laman Instagram.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites