KLWKND menghidupkan kembali suasana ibu kota dengan seni

BASKL membawa anda melawat sekitar kota raya Kuala Lumpur dengan pelbagai aktiviti menarik yang dikurasikan oleh Pengarah KLWKND Joe Sidek.

Oleh NIK SYAFIQ | Video oleh ARIF JALALUDIN

Setelah berbulan lamanya warga kota atau seluruh rakyat Malaysia secara amnya dibatasi kawalan pergerakan yang menghalang banyak aktiviti sosial dijalankan, keadaan kini beransur pulih dengan Bandaraya Kuala Lumpur kelihatan kembali dibanjiri lautan manusia yang memenuhi setiap pelusuk ibu kota dengan pelbagai aktiviti terumatanya menjelang hujung minggu.

Mengambil kesempatan itu, Cendana melancarkan program kesenian dan kebudayaan “Art in The City”, dan salah satu program dibawahnya KLWKND yang berlangsung selama 4 hari berturut-turut pada hujung November yang lalu. Pengisian KLWKND merangkumi tarian, muzik, opera, fesyen, seni bina, makanan, seni visual, reka bentuk, produk kreatif, kraf tradisional, sastera, sejarah dan banyak lagi.

Dari kini Nik Syafiq (penulis), Jun Ong (artis The STAR/ KL) dan Arif Jalaludin (juru video dan penyunting).

Penulis sempat mengunjungi beberapa lokasi yang menjadi sebahagian daripada program KLWND. Sambil membasahkan tekak menikmati minuman dari salah satu deretan kafe sepanjang Jalan Tun HS Lee, jejak penulis berhenti di High Street Studios, yang menawarkan pengunjung pengalaman berada di hutan rimba secara maya.

Penulis telah dibawa ke beberapa studio yang menawarkan pengalaman tersebut. Sekiranya anda rasa rindu untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang dimerdukan dengan ciapan unggas hutan, maka kunjungan ke sini tidak akan menghampakan.

Nik Syafiq sempat bergambar di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad ketika berjalan sekitar bandar raya.

Langkah penulis terhenti pula di lokasi kedua, The Godown KL yang terletak tidak jauh dari lokasi pertama. Disini, penulis telah dibawa dan diberikan penerangan mengenai sebuah arca lampu berbentuk bintang yang telah dihasilkan artis berbakat, Jun Ong. Agak sayang penulis mengunjungi lokasi ini diwaktu siang, kerana difahamkan arca lampu tersebut akan kelihatan menakjubkan di waktu malam.

Selain itu, bagi peminat kraftangan, mata anda pasti tidak lekang dari mengagumi hasil seni kraftangan yang diperbuat daripada buluh dan rotan yang dipamerkan disini. Selain itu, halwa telinga pengunjung juga dihiburkan oleh sebuah kugiran yang menggelarkan diri mereka sebagai Kualesa. Uniknya, kesemua instrumen yang digunakan dalam persembahan mereka diperbuat daripada buluh.

Titisan gerimis yang turun menjelang waktu petang tidak menghalang langkah penulis ke lokasi ketiga KLWKND, Pasar Seni. Disebalik keriuhan orang ramai, penulis sempat singgah ke Studio C, sebuah kedai yang menjual dan mempamerkan hasil seni kraf oleh lebih 700 artis tempatan. Pengunjung pasti rambang mata melihat deretan produk hasil kraftangan bermutu tinggi, cerminan kepada warisan seni dan budaya tempatan yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Bermain drum, salah satu aktiviti terbuka buat orang ramai di Pasar Seni sewaktu KLWKND.

Ruang legar di Pasar Seni dimeriahkan dengan penjualan barangan dari “Collectors Market”, menawarkan pelbagai koleksi dan barangan unik untuk para pengunjung. Penulis sempat mengalas perut menikmati kemanisan kuih onde-onde di In-KUIH-dible, sebuah gerai menjual kuih muih tradisional yang turut menjadi sebahagian dari acara dan program yang ditawarkan bersempena dengan KLWKND.

Sampai masa melangkah pulang, penulis berharap akan ada lebih banyak lagi acara dan program sebegini dapat dianjurkan. Selain memberi ruang kepada para pengkarya dan artis berkongsi bakat dan kebolehan mereka, acara seumpama ini dapat memperkenal sekaligus mengekalkan warisan seni dan budaya tempatan yang wajib kita pelihara.

Tidak lupa juga, acara-acara sebegini membolehkan Kuala Lumpur kembali “hidup”.

Untuk mengetahui lebih lanjut program-program lain bersempena Art In The City, and boleh layari laman AITC. Anda juga boleh lihat gambar suasana KLWKND oleh AISHA NAZAR dari Women Photographers Malaysia di SINI.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites