Karina Robles Bahrin sengaja menjadi penulis!

Bercakap mengenai buku pertamanya ‘The Accidental Malay’ (atau ‘Melayu Tanpa Sengaja’), BASKL mengenal serba sedikit mengenai Karina Robles Bahrin, penulis di belakang judul yang memenangi anugerah Epigram Books Fiction Prize 2022 ini.

Oleh NABILA AZLAN

Walaupun The Accidental Malay merupakan novel debut penulis ini, Karina Robles Bahrin, 52, sudah biasa dengan penulisan fiksyen. Karina sepanjang kerjayanya telah menggubah cerita untuk beberapa kompilasi novel di bawah kumpulan-kumpulan penerbitan terkemuka, antaranya KL Noir: Blue (Fixi Novo), Urban Odysseys: KL Stories (MPH Publishing) dan Malaysian Tales Retold and Remixed (ZI Publications). Selain itu juga, dia pernah berkhidmat sebagai kolumnis dan penulis buat Focus Malaysia dan New Straits Times.

Bila ditanya tentang mengapa dia menulis, Karina berseloroh, “Sebab inilah tempat di mana saya berasa paling gembira (my happy place)! Saya sentiasa menulis, apapun cara dan situasinya. Saya amat suka menulis fiksyen, saya tak rasa saya akan menjadi seseorang yang akan menulis esei atau apa-apa sepertinya.” Katanya, selepas tamat sahaja kolej, dia tekad untuk memuatkan penulisan di dalam perjalanan kariernya, walaupun dia tidak menyambung pelajarannya untuk  menjadi seorang wartawan. Sebaliknya, dia memilih untuk mendalami Perhubungan Awam (Public Relations) dan bekerja dalam bidang tersebut selama lebih kurang 20 tahun. “Saya tidaklah begitu kreatif,” katanya, “Selepas menamatkan kerjaya saya dalam bidang itu, saya berpindah ke Langkawi untuk menumpukan perhatian dalam penulisan kreatif. Di saat pandemik COVID-19 melanda, barulah saya betul-betul tekun menulis novel saya.”

Karina memulakan penulisannya pada bulan Mac 2020 dan tamat lebih kurang pada bulan Jun 2021. “Menulis novel penuh, berbanding cerpen [seperti sebelumnya] seperti menggunakan ‘otot menulis’ yang berlainan,” katanya.

Berbicara tentang sama ada dia merupakan penulis yang merancang dahulu plot cerita dari awal hingga akhir mahupun yang mengikut aliran semula jadi penulisan tanpa terikat dengan apa-apa, Karina mengatakan dia berada di tengah-tengah. “Saya cuma boleh menulis jika saya faham apakah sebenarnya ‘jiwa’ yang membentuk cerita tersebut,” jawabnya.

Karina sebelum kedatangan The Accidental Malay ekspresikan segalanya melalui cerpen. Katanya bila ditanya tentang perbezaan pengalaman menulis antara kedua-duanya, “Cerpen yang bagus selalunya bersifat padat. Kadangkala sebuah cerpen boleh dilihat seperti satu bab di dalam sebuah buku – satu cerita perlu dilengkapkan di dalam ruang kecil yang disediakan untuknya. Ada judul yang membenarkan penulis untuk menyediakan lengkok karakter (character arc) yang lebih besar untuk watak-wataknya, dan untuk situasi sebegini, gubahan cerita boleh menjadi lebih kompleks.”

Tambahnya, “Novel pula boleh membawa julat cerita yang lebih luas. Kedua-duanya sangat berbeza. Kalau nak dibezakan melalui analogi, ada orang yang mengatakan menulis cerpen serupa berlari pecut (sprint) dan menulis novel penuh seakan berlari untuk marathon.” Tetapi tentu sekali, setiap cerita lain prosesnya. Lain gubahan, lain tahap kompleks yang mungkin difikirkan oleh penulis.

Sebagai pemenang Epigram Books of Fiction Prize 2022, Karina dihadiahkan RM78,000 untuk manuskripnya serta kontrak penerbitan. Dia merupakan penulis kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini, mengikut jejak Joshua Kam pada tahun 2020 dengan bukunya How The Man In Green Saved Pahang, And Possibly The World.

Buku The Accidental Malay berkisarkan naik turun kehidupan Jasmine Leong, seorang usahawan berjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Phoenix Public Ltd, sebuah syarikat yang terkenal dengan pasaran dan penjualan bakkwa. Buat yang tidak biasa, bakkwa ialah makanan yang berasaskan daging khinzir yang dikeringkan mengikut proses tertentu. Tabah dan cekal dengan hidupnya sebagai anak yatim piatu dan dijaga oleh neneknya sejak kecil, Jasmine menemui konflik besar selepas mengetahui bahawa dia lahir sebagai Muslim!

Buku ini menggoreskan bukan sahaja elemen cinta, kekeluargaan dan kerjaya tetapi kekeliruan identiti yang berpunca daripada hubungan lampau ibu bapanya. Hal ini, bercampur pula dengan keadaan semasa yang melibatkan agama dan campur tangan budaya menambahkan kerunsingan dan kerumitan hidup Jasmine. Segi tiga cintanya dengan seorang Cina dan Melayu – yang anda akan temui jika membaca novel ini – menimbulkan pening kepala!

Adakah watak-watak di dalam cerita ini berasaskan dirinya atau sesiapa yang berada di dalam hidup Karina sendiri? Penulis itu menidakkannya. “Mungkin ada terasa seperti seseorang yang kita pernah lihat di luar, tetapi setiap watak adalah fiksyen. Jasmine adalah keluaran imaginasi saya.”

“Proses menulis buku ini tidak sesukar meramal bagaimana reaksi orang terhadap jalan cerita saya,” kata Karina.

Namun begitu, Karina mempunyai sedikit persamaan dengan watak Jasmine di mana dia faham bagaimana rasanya hidup betul-betul di dalam percampuran adat, agama dan budaya. “Bapa saya seorang Melayu, dibesarkan sebagai anak angkat oleh nenek saya yang berbangsa Cina. Ibu saya pula berasal dari Filipina yang tak pernah menjejaki Malaysia sehinggalah dia berkahwin dengan bapa saya,” Karina membuka cerita. “Zaman membesar saya mungkin berbeza sedikit dengan orang lain, sebab ibu saya dibesarkan dengan agama Katolik. Selepas berkahwin, barulah dia menjadi seorang Muslim. Seingat saya, dia mencuba sehabis baik dalam membesarkan saya sebagai anggota baharu agama ini.”

Dia akui, menulis mengenai topik-topik ‘sensitif’ seperti bangsa dan agama ada cabarannya sendiri. “Saya tak rasa tercabar sewaktu menulis, sebab ia hanya melibatkan saya dan kertas. Saya juga ada masa untuk menyunting penulisan saya sebelum ia keluar. Namun begitu, saya tak mahu menulis sesuatu dengan cara yang terlalu halus (subtle) atau nuansa (nuanced),” tambahnya. “Tak perlu saya terlalu berhati-hati, sebab kita terlalu jarang bercakap tentang hal seperti ini. Ada juga yang mungkin tak selesa dengan elemen romantis yang saya timbulkan dalam buku ini. Tetapi, setakat ini, saya suka mendengar bagaimana ada yang mentafsirkan pengakhiran novel ini sebagai sedih, ada juga yang mengatakan ia gembira.”

Bercerita mengenai penulisan dan pembacaan fiksyen seakan ‘makanan ruji’ buat dirinya, Karina menyatakan rasa kagum terhadap penulis dari Columbia, Gabriel García Márquez. “Dia menulis dalam tema realisme ajaib (magical realism) dan walaupun saya juga sukakan tema itu, saya merasakan novel ini tidak sesuai untuk masukkan elemen itu – mungkin bukan judul ini,” kata Karina.

Dia banyak membaca tulisan penulis lain yang mempunyai tema seakan-akan karangannya sebelum betul-betul berada di dalam mod menulis. “Jadi, penulis kegemaran saya pada satu-satu masa akan berubah,” katanya. “Saya juga belum ada stail menulis yang tetap.”

Selain berkarya melalui tulisan, Karina adalah pemilik dan pengusaha hotel yang dinamakan La Pari Pari di Langkawi.

Berbual tentang buku yang seterusnya, kata Karina, “Saya tak menekan diri sendiri untuk buku baharu, saya masih lagi mengambil masa saya dan berseronok. Ada idea yang saya ingin teroka, tapi masih belum ada garis masa yang ditetapkan.”

Nak tahu lebih lanjut tentang penulisannya serta tempat terbaik untuk membeli The Accidental Malay? Ikuti Karina di Instagram!

Gambar oleh Karina Robles Bahrin

Anda juga boleh ikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites