Jeffrey Yong hasilkan gitar dari pohon mangga, rambutan dan hujan-hujan

Berdekad lamanya artisan gitar tempatan, Jeffrey Yong menggabungkan unsur-unsur seni, sains dan kraftangan dalam setiap alat muzik rekaannya. ‘Luthier’ ini bersembang santai dengan BASKL berkenaan rentak karya dan pembelajaran kendiri.

Oleh NABILA AZLAN

Kami berjumpa sendiri dengan Jeffrey Yong, luthier atau artisan gitar tempatan yang telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan antarabangsa, di bengkelnya yang bertempat di Hulu Langat, Selangor.

Yong selaku pemilik Jeffrey Yong Guitars, 64, menjemput kami untuk berborak tentang bingkisan perjalanan seninya sambil menghirup teh misai kucing tanamannya sendiri. Sayup-sayup kedengaran bunyi ayam berkokok sambil hujan turun di lokasi miliknya itu. Katanya, inilah tempat dia berinovasi dan bereksperimen dengan pelbagai bentuk dan bunyi alat muzik selama lebih 10 tahun – ada instrumen yang diberikan bentuk baru, ada juga rekaan hibrid yang lahir di sini. Lihat senarai rekaan instrumennya di laman ini!

“Gitar pertama yang saya hasilkan pada tahun 1985 datang dari kit DIY. Kit murah itu mengandungi kepingan papan lapis (plywood) untuk dijadikan gitar.”

“Saya mula mereka gitar saya sendiri sebab saya akur, bukan selama-lamanya boleh saya bermain gitar!” katanya. “Kalaupun saya tak mampu jadi gitaris terhebat, mungkin saya boleh jadi pembuat gitar terhandal.” Yong menempuh jalan ini menggunakan skil dan perspektif yang berbeza, yang saling berkembang mengikut pengalaman dirinya. Nasihatnya, sesiapa yang berminat boleh mulakan dengan mengikut rentak atau acuan orang lain, tetapi bila sudah pandai, masukkan ‘rencah’ atau rentak sendiri di dalam karya.

Dia yang mempelopori Institut Gitar Malaysia (Guitar Institute Malaysia, GIM) mengingati banjir besar yang berlaku pada tahun 1984. Selorohnya, “Dulu, bengkel kerja saya bertempat di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. Habis tempat tu dimamah banjir!” Minatnya untuk ‘meneroka’ ruang lain selain mengajar dan menilai kemahiran muzik datang secara perlahan-lahan. Buat pengetahuan anda, Yong yang lahir di Kuala Lumpur dan membesar di Raub, Pahang ini pernah bekerja di bawah naungan Yamaha Music sebagai seorang pengajar (instructor) dan penilai (examiner) bermula tahun 1976. “Pada zaman saya, keluarga tak boleh nak tampung ‘kos’ minat saya dalam muzik,” katanya, “Jadi semuanya saya belajar sendiri (self-taught) Masa itu belum ada internet, jadi saya belajar dari buku dan video.”

“Mengajar ini sesuatu yang foundational (terikat kepada pengetahuan asas),” katanya. “Kalau kena caranya, bukan sahaja ia boleh menghasilkan pendapatan yang tetap, tetapi ia boleh menjadi teras peningkatan diri (self-upgrade).” Namun, Yong juga berpendapat bahawa penting untuk artis bereksperimen dengan kemampuan diri dan minat masing-masing.

“Saya sukakan seni dan kerja kayu. Menggunakan kedua-duanya, saya mampu memperkenalkan bentuk-bentuk instrumen baru ke dalam dunia gitar.”

Dia dikenali melalui misinya yang giat menggunakan kayu-kayan tempatan sebagai asas pembuatan alatan muzik. Pendapatnya, kita mungkin tidak mampu bertempur dengan pakar muzik Barat menggunakan ‘bahan mentah’ dari negara luar – tetapi tepuk dada dan tanya pada diri, apa kurangnya teras kita?

“Saya mula menggunakan kayu yang boleh didapati di Malaysia – negara kita sebenarnya kaya dengan sumber. Tidak semestinya kita bergantung kepada sumber luar untuk berkarya, lagipun orang luar pun banyak import sumber kayu dari negara kita!” terangnya. “Perjalanan pertama saya ke Amerika pada tahun 1996 adalah untuk menghadiri konvensyen luthier gitar sedunia. Semasa saya berada di sana, saya bertemu dengan seseorang dalam proses membeli kayu. Dia bertanya asal saya, dan bila dijawab Malaysia, saya ditanya lagi, ‘Kenapa anda di sini membeli kayu yang boleh dibeli sendiri di tanah air?’”

Perjumpaan itulah yang menolak dia untuk bereksperimen. “Saya mulakan dengan meneliti perbezaan kualiti kayu eksport, misalnya Mahogani dan Rosewood dengan kayu-kayan tempatan. Apakah persamaan yang mereka ada,” ceritanya. “Penggunaan kayu tempatan merupakan pilihan yang bijak, juga membolehkan saya berjimat.” Pelbagai kriteria harus dilihat dalam membuat gitar, dari peringkat permulaan – kayu tidak boleh terlalu berat atau senang rapuh, kalau terlalu ringan atau lembut pun susah juga. “Banyak kayu yang nampak cantik, tapi susah untuk dibentuk. Untuk mereka alunan akustik yang bagus, kayu yang digunakan wajib mempunyai ketahanan sewaktu dibentuk,” tambah Yong.

Jangan terkejut, harga lazim gitar yang dihasilkannya berharga sekitar USD 6,000 – 8,000 sebuah dan yang termahal mampu mencecah USD 20,000! Dia sering mengeksportkan gitar buatannya ke Amerika Syarikat dan China.

“Penjenamaan itu penting, tapi ia bukanlah segala-galanya.”

“Nak hasilkan alat muzik dari mula, kenalah tengok tempoh produksi, bahan asasnya, juga jenis alatan yang difikirkan. Kalau bercakap tentang bengkel gitar, saya mampu mengajar pelajar-pelajar saya untuk menyiapkan gitar lengkap dalam tempoh dua minggu. Syaratnya, tiada rehat di antara hari – tetapi kalau buat sendiri, saya mampu siapkan dalam lebih kurang tiga atau empat bulan.”

Dia yang menerima pengiktirafan pembuatan gitar terbaik dari penilai dari Amerika Syarikat dan Rusia berkata, “Harga sesebuah karya itu relatif, tak sepatutnya seseorang itu mengatakan sebaliknya kepada orang yang mampu menghargai seni di sebalik satu-satu karya.” Penanda aras kualiti berlainan untuk setiap orang, tetapi mentaliti merendah-rendahkan buatan lokal haruslah dibaiki secepat mungkin.

“Negara kita penuh dengan bakat,” kata Yong. “Malaysia juga padat dengan seni dan budaya yang tidak ternilai harganya.”

Yong berseloroh, “Masih ada yang berpendapat bahawa barangan buatan tempatan wajar datang dengan tag harga yang murah!” Kita patut letakkan nilai yang tinggi terhadap keluaran dan estetik tempatan.

“Pergilah berjalan-jalan ke luar negara untuk melihat (prestasi) dunia – usah sekadar mencapai target ‘jaguh kampung!’”

Kata Yong, “Bila dah mencapai sesuatu aras dalam berkarya, kita akan rasa macam sudah cukup bagus – tetapi bila ke merata tempat untuk meninjau bakat luar, ternyata anda akan jumpa orang yang jauh lebih berbakat!”

Tambahnya, “Kalau hendak belajar, haruslah buka mata dah minda – kalau asyik mengeluh akan susahnya belajar, takkan kemana-mana. Untuk berjaya, pasangkan inisiatif, biarkan ia seiring dengan minat. Jangan semata-mata mengharapkan buah datang bergolek.”

Di peringkat kerjaya Yong sekarang, dia berkata, “Saya menumpukan perhatian saya kini untuk mengajar para pelajar saya untuk menghargai muzik. Juga cara-cara untuk tak takut akan inovasi.”

Katanya lagi, dia berhasrat untuk terus berkarya dan berkongsi pengetahuan. “Mungkin selepas ini saya nak cari orang yang mampu menguruskan perniagaan ini. Saya nak tumpukan sepenuh masa dalam membuat gitar dan mengajar para pelapis artisan baru,” selorohnya.

Kenali Jeffrey Yong dengan lebih lanjut melalui pembacaan di laman webnya.

Gambar oleh Jeffrey Yong Guitars dan Nabila Azlan.

Anda juga boleh membaca kisah BASKL lain yang menarik:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites