Santapan selera dan irama

BASKL ingin memberi anda beberapa cadangan tempat-tempat menarik sekitar Lembah Klang bagi memenuhi nafsu melodi sambil menjamu selera yang memenuhi citarasa

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Muzik merupakan sebuah alunan irama merdu yang boleh melembutkan hati kita dan mengubat hati yang sedang berduka lara. Selain itu, muzik juga mampu membawa imaginasi kita ke suatu tempat yang amat kita idamkan atau rindukan dan semuanya berlaku hanya dengan susunan irama yang cukup memberi kesan kepada jiwa seseorang manusia. 

Apabila kita gandingkan pula irama lagu ini dengan sebuah hidangan yang cukup memenuhi citarasa, kita bakal dapat merasai satu saat yang mungkin boleh kita ingati untuk selamanya.

Lembah Klang merupakan sebuah pusat kota raya yang padat dan penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik daripada sudut perniagaan, kewangan, pemandangan, malah Lembah Klang juga amat kaya dengan aktiviti kesenian yang mampu memberi keseronokan serta hiburan buat para pengunjung termasuk warga kota sendiri.

Pada kali ini, kami ingin memberi beberapa cadangan menarik bagi mereka yang ingin mencari tempat-tempat menarik untuk anda kunjungi sambil menikmati muzik yang merdu dan ditemani hidangan yang amat menyelerakan. Mari kita rungkai beberapa tempat menarik ini mengikut lokalisi masing-masing dan kita mulakan dengan beberapa lokasi di luar Pusat Bandar Kuala Lumpur. 

  • Bobo KL – Jalan Bangkung, Bangsar  

Terletak di tengah-tengah sebuah barisan rumah kedai di Bangsar, Bobo KL merupakan antara tempat yang paling meriah untuk warga kota mencari sesuap hidangan sambil menikmati alunan muzik yang cukup merdu. Dihiasi dengan kesenian yang romantik dan amat sesuai untuk pasangan yang ingin keluar bersama sambil menghayati seni muzik.

Walaupun harga restoran ini mungkin lebih tinggi daripada kedai yang biasa, namun pengalaman dan suasana yang anda dapat di sini memang cukup berbaloi dan tidak dapat dicari di tempat yang lain. Restoran ini terdapat beberapa tingkat dan tingkat paling atas dikhaskan untuk persembahan-persembahan yang istimewa. Apabila kita bicara soal tempat letak kereta pula, Bobo KL merupakan destinasi yang cukup baik kerana anda boleh letak kereta di depan kedai itu sahaja. Layari laman sosial mereka untuk maklumat lanjut. 

  • Griffin Bar – Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail

Daripada Bangsar, kita beralih pula ke kawasan perumahan yang lebih kecil namun mempunyai tahap privasi yang hampir sama iaitu Taman Tun Dr Ismail. Siapa sahaja warga kota Kuala Lumpur yang tidak tahu akan TTDI? Namun tidak semua yang tahu akan kewujudan sebuah bar kecil yang di kelola secara peribadi ini. Griffin merupakan sebuah muzik bar yang telah wujud di Taman Tun Dr Ismail sejak beberapa tahun dahulu dan kini sering menjadi tuan rumah kepada pemuzik lokal. 

Jika kita lihat suasana Griffin ini secara sekali lalu, kita pasti dapat merasakan bahawa pemilik bar ini merupakan seorang peminat muzik yang cukup besar dan bersantai bersama keluarga dan rakan karibnya merupakan satu aktiviti yang memberikan makna yang cukup besar buat dirinya. Buat anda yang inginkan suasana yang lebih privasi sambil menikmati hidangan yang sederhana bersama rakan-rakan karib anda, hubungi Nick melalui whatsapp dan tempah meja anda sekarang!

  • The Bee – Publika, Kuala Lumpur

Bagi mereka yang biasa dan arif mengenai dunia muzik Kuala Lumpur, pastinya nama The Bee ini tidak asing lagi buat anda. Menggunakan tagline “Malaysia’s longest runnning independent music venue”, The Bee sering menjadi lokasi pilihan buat artis-artis yang ingin membuat persembahan yang berskala sederhana yang boleh menempatkan dalam 200-300 peminat. 

Namun pada hari-hari biasa yang tidak ada persembahan besar seperti ini, The Bee juga dibuka untuk para pengunjung yang ingin menikmati makanan, minuman sambil dihiburkan dengan muzik yang lebih rancak dan mampu menggoyangkan badan. The Bee ini cukup sesuai untuk anak muda yang masih penuh bertenaga namun mungkin tidak lagi gemar berkunjung ke TREC atau Changkat Bukit Bintang kerana terlalu sesak dan hiruk pikuk. Anda boleh semak kalendar acara The Bee di laman web mereka. 

  • Pisco Bar – Jalan Mesui, Bukit Bintang 

Selesai dengan tiga tempat di luar pusat bandar, kita kita beralih pula ke tiga lagi lokasi di tengah-tengah bandar dan kita mulakan dengan Pisco Bar di Jalan Mesui. Sebuah lokasi yang cukup meriah, penuh dengan kepelbagaian para pengunjung yang hadir daripada orang tempatan, mat salleh, pak arab dan macam-macam lagi. Terutamanya pada hujung minggu, Pisco Bar cukup padat dengan pengunjung yang ingin melepaskan stress selepas seminggu bekerja. 

Tutup pada setiap hari isnin, namun pada hari-hari yang lain Pisco Bar membuka tirainya pada jam 5 petang hingga 1 atau 2 pagi. Apakaha yang anda teringin untuk makan? Daging stik, nasi, seafood semuanya ada di Pisco Bar dan setelah kenyang, anda boleh menari dan menggoyangkan badan mengikut rentak muzik dan mood pada malam itu. Jangan tunggu lama-lama, bak kata P Ramlee marilah kita “dancing sampai pagi!”. Hubungi Pisco Bar di pautan heylink mereka. 

  • Taps Beer Bar – Jalan Nagasari, Bukit Bintang

Tidak jauh daripada Pisco Bar, dengan hanya berjalan kaki selama 2 minit anda akan tiba di lokasi seterusnya iaitu Taps Beer Bar. Bagi mereka yang ingin mencari ketenangan sambil menikmati minuman, Taps merupakan tempat yang terbaik untuk anda. Mereka menyajikan pelbagai jenis beer daripada seluruh pelusuk dunia dan anda sebut sahaja beer negara mana yang anda mahukan? Jerman, Jepun, Afrika, Amerika? Semuanya ada di sini. 

Lokasi ini cukup tersorok dan kebanyakkan pengunjung di sini terdiri daripada pelancong ataupun warga bukan tempatan. Muzik di sini juga lebih tenang dan kebanyakkan menggunakan acara live yang akustik. Bagi mereka yang suka akan suasana yang sebegini, anda bolehlah mencuba Taps Beer Bar ini. Mereka juga mempunyai beberapa cawangan lain namun sudah tentu Bukit Bintang adalah lokasi yang terbaik. Layari laman sosial mereka. 

  • Jao Tim – Jalan Sultan, Kuala Lumpur

Lokasi terakhir dalam senarai tempat-tempat muzik dan makan kali ini adalah Jao Tim di Jalan Sultan yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Suasana yang unik, hidangan bertaraf hotel 5 bintang dan muzik yang cukup professional. Pelbagai jenis artis telah membuat persembahan mereka di sini dan terdiri daripada seniman yang benar-benar menjiwai nilai muzik itu sendiri. Layari laman sosial mereka. 

Nilai astetik suasana di Jao Tim ini membuatkan kita seolah-olah berada di sebuah jazz lounge di kota raya besar seperti New York ataupun London. Jadi siapa kata Kuala Lumpur ini membosankan dan tidak ada benda yang menarik? Mungkin mereka belum tahu dan tidak tahu bagaimana untuk mencarinya. Jadi buat anda yang ingin menikmati dua benda yang paling indah dalam hidup iaitu makanan dan muzik, ayuhlah kita kunjungi tempat-tempat ini. 

Anda boleh juga ikut kisah-kisah lain di sini:

Tags:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites