Realiti kehidupan jatuh bangun anak seni: Temu bual eksklusif bersama AG Coco

Band muzik Hujan adalah sebuah band yang sangat popular di kalangan anak muda di negara ini. Salah seorang ahli yang kuat disebalik kumpulan, AG Coco mengharungi pelbagai cabaran dalam kerjaya muziknya bermula dari bawah. Ini menarik minat BASKL untuk berbual dengan AG meniti cerita kerjayanya yang boleh menjadi inspirasi kepada banyak orang.

Oleh AZUWAN AHMAD

Jika kita berbicara tentang mencari pendapatan dalam industri seni terutamanya dalam bidang muzik, terdapat banyak nama besar yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Bagi menjenguk realiti sebenar untuk menempa nama, penulis memilih untuk menemu bual AG Coco atau nama sebenarnya Mohd Hezry untuk berkongsi kisah pahit manis dunia seni.

AG yang terkenal sebagai pemain gitar utama kepada sebuah band terkenal, Hujan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam persada seni hiburan tanah air. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah melalui lagu ciptaannya sendiri.

Namun tidak semua tahu, menjadi seorang pemuzik bukanlah cita-cita atau impiannya. Kejayaannya pada hari ini dalam menghasilkan karya yang diminati bermula dengan dorongan abangnya yang mengajar membaca lagu serta mendedahkannya kepada muzik seperti yang dibawakan oleh kumpulan Metallica yang mendorongnya ke arah genre alternatif dan muzik indie.

Realiti dan impian seorang anak seni

Seperti kebanyakan kisah kejayaan band terkenal di Malaysia, AG juga pada awalnya bermain dengan sebuah band kampung. Selepas tamat sekolah menengah, dia bersama rakan-rakannya menubuhkan sebuah band, D’Relax di mana mereka telah memenangi sebuah pertandingan nyanyian di kawasan Utara Tanah Air. Ketika itu muncul keseronokan bermain muzik dan adrenaline rush untuk menyertai kompetisi. 

Penglibatan mereka yang lebih serius memberikan mereka peluang untuk sering mendapat undangan membuat persembahan sehingga berjaya menempa nama dan dikenali di sekitar Alor Setar. Ini juga sebenarnya membolehkan mereka berkenalan dengan pemuzik-pemuzik lain sehinggalah AG dilamar untuk menyertai sebuah kumpulan yang lain.

Kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat, tuah band tersebut terus mencurah apabila sebuah syarikat rakaman dari Kuala Lumpur menawarkan kontrak kepada mereka.

AG menganggap itu adalah kesempatan yang perlu diambil. Ketika industri muzik Malaysia sedang sarat dengan lagu-lagu ‘jiwang’ balada pop, AG merasakan bahawa perlu ada pembaharuan dalam industri muzik dengan genre alternatif.

Walau bagaimanapun, perjalanan yang diharapkan indah, tidak seperti yang disangkakan. Isu pembayaran yang sedikit walaupun ketika itu band tersebut banyak membuat tour dan persembahan antara yang membelenggu AG dan rakan-rakannya.

“Kebanyakan untuk exposure lah. Payment banyak tipu. Mereka ambil banyak. Some shows kita ambil token. Aku bukan nak burukkan sesiapa, tapi kena baca kontrak betul-betul. Jangan dah sign, dan kemudian tak dapat apa yang sepatutnya, jangan question lah,” nasihat AG buat semua pemuzik baharu.

Dipendekkan cerita, ketika ahli kumpulannya yang lain semakin sibuk, AG mula bermain muzik untuk band-band yang lain sebagai sumber pendapatan sampingan.

Selangkah ke dunia penerbitan muzik

Dalam meniti kejayaannya, AG berkongsi bukan mudah untuk bermula dari bawah. AG berjinak-jinak belajar selok-belok menerbitkan lagu yang pada awalnya tidak dibayar atas khidmatnya sebagai membantu penerbit. Dia sering mengikuti mentornya kemana sahaja demi mendapatkan ilmu tentang muzik, sehingga menimbulkan minatnya dalam menghasilkan muzik. 

Hasil daripada pembelajaran secara tidak formal itu, dia mula mendapatkan kerja bermula dengan membuat minus one untuk muzik karaoke.  

“Dulu orang buat karaoke, ada lagu yang mereka tak dapat minus one. Kami harus programkan lagu yang tidak ada. Macam-macam lagu kita dapat. Dari situ kita belajar dan faham susunan muzik pelbagai genre,” Tambah AG.

Pengalaman itu yang membuka ruang buat AG untuk lebih aktif dalam produksi muzik sekali gus membuatkannya terlibat dalam penghasilan album awal penyanyi lagu Kalis Rindu, Elyana. 

Selain belajar susunan lagu, pencipta lagu yang pekat percakapannya dalam loghat utara ini berkata, dia mahir bermain pelbagai alat muzik kecuali alat yang memerlukannya untuk meniup seperti trompet dan seruling oleh sebab nafasnya yang pendek. 

Di situ terbukti, di sebalik setiap kemasyhuran dan kejayaan, ilmu adalah segalanya. Tanpa ilmu kita umpama sebuah tin kosong, cantik di luar kerana dikaburi dengan label dan pelekat yang menarik, tetapi hakikatnya di dalamnya tidak mempunyai apa-apa. Minat dan kesungguhan AG ini mula sebelum perkenalannya dengan Noh Salleh yang akhirnya membentuk band terkenal, Hujan.

Dari ‘kemarau’ ke Hujan, sebuah fenomena muzik Malaysia

Bercerita tentang kerjayanya kini, keadaan jauh berbeza kerana AG telah melalui fasa-fasa yang sukar untuk menempa nama dalam industri muzik Malaysia. Pernah suatu ketika sebelum penubuhan Hujan, industri muzik Malaysia dilanda demam band dari tanah seberang seperti Sheila On Seven, Peterpan dan banyak lagi.

Mengingati waktu itu AG bercerita, “Masa itu kita habis. Memang kena tapau. Masa tu fenomena Indonesia. Lama juga kemarau. Sepanjang waktu itu, itu lah kerja-kerja yang diceritakan tadi. Programming, buat album Elyana.” 

Namun apa yang pasti, kemarau ini telah membuka ruang untuk penubuhan Hujan untuk bangkit melawan fenomena itu.

Menjana pendapatan dari muzik, sponsor dan royalti 

Apabila ditanya tentang pendapatan di dalam bidang muzik, AG menjelaskan dalam fasa awal memproduksi sesebuah lagu atau muzik, dia banyak melaburkan masa tetapi pulangannya kecil. Pada waktu itu juga, tidak ada waktu untuk bersosial kerana banyak masa dihabiskan di studio.

Menurut AG, pada mulanya pendapatan bulanan hanya cukup-cukup makan sahaja untuk kos menyara kehidupan seperti membayar rumah sewa. Setelah memiliki lebih banyak pengalaman dan peralatan bertambah maju seiring dengan waktu, permintaan terhadap khidmat dan karyanya pun bertambah. 

Sejujurnya, AG mengaku dalam kesempitan wang untuk meneruskan kehidupan, dia pernah membuat kerja menggunakan pirated software. Namun dia turut menegaskan kita tidak sepatutnya membuat begitu kerana hakcipta dan ketulenan sesuatu produk itu adalah amat penting baginya terutamanya dalam penghasilan muzik. 

Kini, terdapat syarikat perisian pembuatan muzik terkenal menajanya untuk menggunakan perisian mereka malah dia merupakan antara pemuzik di Asia yang ditaja menggunakan perisian tersebut. Kesungguhannya untuk bertahan di dalam industri membawanya untuk membina studio rakaman sendiri yang diberi nama Studio Kamar Seni. 

“Masa kami mula buat studio, ia menelan belanja lebih RM80K. Hasil daripada duit simpanan dan bantuan kewangan daripada ibu bapa. Itu hanya cukup untuk menepati piawaian asas dalam spesifikasi bilik yang sepatutnya untuk membuat rakaman lagu,” jelas AG dalam memenuhi impiannya memiliki sebuah studio.

Pada waktu itu, nasib menyebelahinya apabila mendapat khidmat kontraktor yang berpengalaman dalam pembinaan studio muzik. Kematangan dan pengalamannya di dalam pembuatan muzik, menjadikan AG sangat berhati-hati dalam memilih kerja atau karya. Sebagai contoh, ada yang cuba mendapatkan khidmatnya dengan niat untuk membayar dengan belanja makan sahaja. 

Tetapi jika dia yakin dengan reputasi pelanggan tersebut, dia tidak akan membuang masa. Selalunya kerja-kerja awal mula dilakukan sebelum menandatangani kontrak lagi. Kalau kerja itu terkandas di tengah jalan, dia akan menganggapnya sebagai latihan. 

Alang-alang dapat menemu bual seorang yang hebat dalam arena muzik, penulis mengambil kesempatan untuk bertanya tentang soal royalti kerana sudah tentu ianya perkara yang sangat dekat dengan AG sebagai komposer dan penulis lagu. 

Untuk pengetahuan am, royalti merupakan pembayaran berasaskan penggunaan yang dibayar oleh satu pihak (pemegang lesen) kepada pihak yang lain (pemberi lesen) untuk suatu aset yang sedang digunakan, sebagai hak harta intelek.

Menurut AG, royalti hanya diperolehi dengan banyak melalui lagu-lagu hit sahaja, atau lagu yang sering diputarkan di radio dan dimainkan di kaca televisyen. AG menambah dengan cukup merendah diri bahawa dia tidak banyak memproduksi lagu-lagu yang menjadi hit. 

Dia sering menganggap royalti sebagai bonus dan turut berkongsi tentang cek pertama yang diperolehnya hasil daripada royalti adalah berjumlah lebih RM 11k. 

Pengurusan wang

Daripada pendapatan yang disebutkan, dia menguruskan duitnya sendiri. Dia bertindak mengasingkan duit peribadinya dengan wang untuk dilaburkan di studio. Sebagai contoh, pendapatan yang diperolehi daripada persembahan dengan Kumpulan Hujan dilabel sebagai wang peribadinya. Manakala pendapatan yang diperolehi daripada kerja-kerjanya di studio, akan dianggap sebagai duit untuk dilaburkan kembali termasuk pembelian peralatan yang lebih terkini. 

AG tidak membataskan pendapatannya dalam penerbitan lagu untuk artis rakaman sahaja. Dia juga menyewakan studio kepada orang lain yang mahu membuat rakaman kerana jika lihat pada pasaran di luar, tidak banyak studio yang lengkap menawarkan khidmat tersebut di sekitar Kuala Lumpur. Selain itu, dia juga mengambil kontrak-kontrak untuk membuat jingle daripada syarikat serta badan-badan kerajaan yang membuat iklan di radio dan TV. 

Reputasi dan kebolehannya juga membuatkan dia sering ditawarkan untuk menjadi pengarah muzik di acara-acara pertandingan nyanyian terutama di stesen TV. Untuk membantu bakat baharu dalam industri serta jalan untuk menjana pendapatan. Kamar Seni juga bertindak seperti label  menaungi artis atau band berpotensi yang tidak mempunyai kemampuan untuk merakam lagu. Kamar seni akan menyediakan peralatan dan khidmat lengkap kepada penyanyi atau band yang mahu merakam lagu. Keuntungan yang diperolehi daripada lagu tersebut akan dibahagikan mengikut perjanjian antara mereka. 

Sebelum menyampaikan pesanannya untuk pemuzik baharu yang mahu menyertai industri, penulis sempat bertanya dengan AG soal kesan pandemik terhadap kerjayanya. Pendapatannya memang terjejas agak teruk. Ada sesetengah rakan lain yang terpaksa membuat kerja penghantaran atas talian. 

Pernah juga dia terfikir untuk ke arah itu, tetapi AG sebagai seorang pemuzik tidak putus asa dengan mencuba memulakan sebuah inisiatif projek persembahan atas talian. Ternyata usaha itu membuahkan hasil dan membantu dalam mencari peluang pekerjaan terutamanya daripada stesen-stesen TV. 

Perkara yang baik muncul daripada kesukaran, ramai pemuzik yang sudah mula belajar untuk merakam lagu sendiri. 

“Ini adalah perkara yang positif, pemuzik dah mula belajar. Yang tak bagusnya untuk bisnes studio. Sekarang ini kami mahu mempromosikan betapa pentingnya untuk merekod lagu dan membuat kerja-kerja muzik di studio,” kongsinya sambil ketawa. 

“Kalau betul-betul mahu masuk dalam industri muzik, tolong jadi pemuzik yang penuh passion. Jangan buat untuk duit. Duit akan datang sendiri. Kita seharusnya labur dalam pengalaman. Ramai yang mengaku mereka penerbit tanpa melalui proses sebenar. Penerbit senior yang ada sekarang semuanya pernah mula dari bawah. Bila kita menimba pengalaman dan jadi penerbit senior, bila kita hire orang bawah, tak ada siapa boleh tipu hang. Dari segi financial, hang kerja apa pun, simpan duit. Jangan habiskan duit hang. Unless hang ada duit lebih,” pesan AG buat semua pemuzik muda.

Menjadikan muzik sebagai kerjaya atau sumber pendapatan utama bukanlah sesuatu hal yang mudah untuk dilakukan. Walaupun zaman berubah dengan teknologi yang lebih canggih dalam seni pembuatan lagu atau dalam seni menyusun bunyi muzik, banyak ilmu yang harus diteroka untuk seseorang itu benar-benar boleh menjadi peneraju di dalam industri ini. Temubual bersama AG membuatkan penulis dan juga rakan-rakan yang membaca ini sedar bahawa banyak hal yang boleh dilalui dan difikirkan sebelum melakukan sesuatu langkah dalam membina kerjaya. 

Ikuti temu bual seterusnya minggu hadapan bersama seorang lagi rockstar di Malaysia, Faizal Tahir dan dengarkan pengalaman dan tips beliau untuk kekal teguh dalam industri muzik tanah air.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites