Angkasa Riot! Sebuah cerita setiakawan dunia muzik

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI | Gambar Oleh Elly Nadia Khairullah

Pada 24 Julai 2022, sebuah ruang acara muzik di Kuala Lumpur yang bernama Angkasa Event Space telah disita dan ditutup oleh beberapa pihak berkuasa kerana didapati bahawa lesen hiburan tapak acara ini telah tamat tempoh. Perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya dikalangan penggiat industri hiburan tanah air dan juga peminat di luar sana. 

Pengasa Angkasa Event Space saudara Zulhelmie dihadapan pintu masuk mereka. Gambar: Instagram @elmielmo

Seperti yang kita semua sedia maklum, bagi mengadakan sebuah acara yang mengumpulkan lebih daripada sejumlah orang ramai haruslah mendapat beberapa lesen dan permit yang tertentu. Namun begitu, kadang kala situasinya agak berbeza bagi sesetengah industri di negara ini. Di Malaysia ini, terdapat juga keadaan di mana lebih mudah untuk seseorang itu beroperasi dahulu sebelum sesebuah lesen itu diperolehi. 

Walaubagaimanapun, kini hampir genap satu bulan daripada tarikh detik hitam dan tragedi buruk bagi Angkasa Event Space ini bermula dan baru-baru ini, sebuah acara konsert pengumpulan dana telah berlangsung iaitu Angkasa Riot! yang telah diadakan di Panggung Asia, Gombak pada hujung minggu lalu. Menariknya mengenai konsert muzik kali ini, semua yang hadir untuk membuat persembahan ini tidak mengambil apa-apa bayaran sekalipun. 

Kesemua mereka bersatu dan membuat persembahan demi satu tujuan, iaitu untuk mengumpul dana bagi membantu pengasas Angkasa Event Space saudara Mohd Zulhelmie Zullifan dan juga ruang acara muzik ini untuk membayar segala saman dan denda yang dikenakan ke atas mereka. Inilah yang dikatakan semangat setiakawan dan sikap saling bantu-membantu di antara kawan sewaktu seseorang itu memerlukan. 

Zulhelmie atau lebih dikenali ramai sebagai Elmi telah membuka Angkasa Event Space pada tahun 2019 dan telah banyak memberi ruang dan peluang kepada artis-artis tempatan, terutamanya artis “indie” untuk menyerlahkan dan mempersembahkan bakat mereka yang terpendam. Disebabkan ini, ramai di antara mereka yang membuat persembahan kali ini, sebenarnya merupakan barisan artis yang pernah membuat persembahan di Angkasa Event Space sebelum ini. 

Tiga pengusaha gig dan konsert muzik di Malaysia iaitu LUAS, Atas Angin dan juga Freshtown Records telah bergabung tenaga dalam mengusahakan program ini demi membantu rakan mereka yang dalam kesusahan. Antara nama-nama besar yang telah membuat penampilan adalah Tomok, Shila Amzah, Sekumpulan Orang Gila, Imran Ajmain dan ramai lagi artis-artis tempatan terutamanya artis dan band “indie”.

Bagi mereka yang mungkin tidak tahu, dalam dunia muzik sendiri perkataan Riot itu bukanlah bererti sebuah rusuhan atau protes. Namun sebaliknya, perkataan Riot itu melambangkan sebuah situasi sewaktu di dalam konsert dan peminat-peminat muzik ini berada di dalam sebuah tahap minda yang cukup melegakan tekanan dan bak kata frasa ayat Bahasa Inggeris, “live in the moment”.

Antara perkara yang menarik mengenai konsert Angkasa Riot! baru-baru ini adalah semangat dan emosi yang dapat dirasai amatlah menyentuh hati dan cukup jujur. Selain itu, bagi beberapa persembahan yang ada, pihak penganjur juga telah memaparkan lirik lagu artis berkenaan di layar LED di pentas utama agar peminat-peminat dapat menyanyi bersama dan mengikuti artis itu dalam perjalanan lagu tersebut. 

Baru-baru ini sejurus selepas sebuah lagi acara konsert iaitu Atas Angin telah terlularnya sebuah video di laman sosial Twitter yang mengutuk dan mengkritik sesi “mosh” iaitu cara menari bagi beberapa penggiat konsert terutamanya muzik yang lebih keras. Didalam ciapan Twitter itu, pemegang akaun tersebut memberi label bahawa “inilah cara anak-anak B40 berhibur, minta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tidurkan semuanya.”

Lazimnya kritikan berlaku apabila kita tidak memahami sesuatu budaya yang biasanya dijalankan atau diterapkan oleh sesebuah kumpulan. Kepelbagaian jenis muzik, tarian dan seni di Malaysia memberi warna dan pengalaman yang cukup unik bagi mereka yang ingin cuba dan memahami kepelbagaian budaya ini. Sudah tentu ada sesetengah budaya yang kelihatan tidak biasa di mata kita, hakikatnya ia sesuatu yang telah dibuat oleh mereka sejak sekian lama. Bagi semua peminat dan penggiat industri muzik terutamanya muzik “indie”, teruskanlah menyokong industri muzik tanah air.

Penulis kali ini mewakili BASKL ingin mengucapkan sebesar-besar tahniah kepada LUAR, Atas Angin, Freshtown Records dan semua artis, krew serta semua yang turun padang membantu saudara seindustri mereka ini dalam memperjuangkan tempat mereka. Semangat setiakawan anda adalah inspirasi dan harus dijadikan tauladan buat semua rakyat Malaysia. Selaras dengan semangat bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama membuktikan bahawa Malaysia ini terutamanya industri muzik tanah air cukup indah dan penuh dengan semangat keharmonian yang sejagat. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites