Jalan kaki dan jejak ilmu di bandar anda dengan Kerja Jalan

BASKL berbual dengan Yasmin Lane dan Awatif Ghapar selaku para pengasas bersama Kerja Jalan, kumpulan yang berhasrat untuk mendekatkan komuniti dengan kefahaman lokaliti melalui aktiviti berjalan kaki.

Oleh NABILA AZLAN

Kerja Jalan ditubuhkan pada Mei 2019 oleh dua orang wanita yang bersemangat tentang mengetengahkan idea berjalan kaki sebagai bukan sahaja satu elemen gaya hidup, tetapi cara mudah untuk meneliti selok-belok dan sejarah sesebuah bandar. Terpesona dengan fungsi bandar yang mesra pejalan kaki atau walkable cities, Yasmin Lane dan Awatif Ghapar pada awalnya tampil dengan nama kumpulan Jane’s Walk KL selaku cabang tempatan pertubuhan bukan untung (non-profit organisation) antarabangsa yang digelar Jane’s Walk sempena nama Jane Jacobs, seorang wartawan, penulis dan aktivis yang berpengaruh dalam kajian bandar, sosiologi dan ekonomi. Mereka kemudian menukarkan nama Jane’s Walk KL kepada Kerja Jalan bagi mengembangkan lagi impak dalam memberikan kesedaran mengenai bandar yang mesra pejalan kaki.

‘Berjalan’ menuju kefahaman tentang bandar-bandar kediaman kita semua, Kerja Jalan telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam meneruskan misi penerokaan ilmu mereka. Pada November 2022, kumpulan ini merupakan sebahagian daripada Pesta Sungai Klang atau Klang River Festival (KRF). Kerja Jalan juga pernah berkolaborasi bersama kumpulan Buku Jalanan Chow Kit, Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:Girls), KL Architecture Festival (KLAF) serta artis visual, Kide Baharudin menerusi kembara mereka di Kuala Pilah.

Dalam memahami corak perjalanan kumpulan itu sejak awal penubuhannya, BASKL menyelusuri misi dan susunan aktivitinya melalui perbualan dengan Yasmin Lane dan Awatif Ghapar, pengasas bersama Kerja Jalan.

Perjalanan di kota asing

Awatif: “Saya dan Yasmin Lane dah berkawan sejak tahun 2013. Pada waktu itu, dia bekerja dengan badan projek kajian bandar yang dinamakan Better Cities. Saya pula banyak mengikuti acara Better Cities sebagai sukarelawan dan inilah cara kami berkenalan. Selalu juga kami bertemu di acara-acara lain yang berkaitan. Nak dijadikan cerita, kami terserempak lagi di kota London sewaktu kami sama-sama belajar di peringkat Ijazah Sarjana! Alang-alang berhubung semula di tanah air pada awal tahun 2019, kami renungkan kembali perubahan gaya hidup yang saling kami lalui. Di kota London, kami amat banyak berjalan kaki.”

“Betul kata ramai orang, nak berjalan kaki di Malaysia tak semudah di negara Eropah sebab keadaannya panas dan lembap. Tapi, kalau dilihat semula, banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi perjalanan kaki di bandar-bandar, misalnya tahap mesra pejalan kaki di tempat itu. Selalunya, seseorang akan memilih untuk berjalan kaki di kawasan yang sinonim dengan aktiviti pelancongan, contohnya di Pasar Seni dan Petaling Street (Jalan Petaling). Saya dan Yasmin teringin untuk tahu bagaimana corak perjalanan penduduk di lokasi lain di Lembah Klang. Bagaimanakah cara orang sekeliling bergerak ke sana sini? Adakah mereka wajib memiliki kenderaan sendiri atau lebih mudah menggunakan kenderaan awam?”

Berjalan sambil belajar

Yasmin: “Kami berdua memilih untuk mengikuti gerakan antarabangsa Jane’s Walk (sebagai Jane’s Walk KL), di mana penubuhan kumpulan-kumpulan yang bertapak di pelbagai bandar di serata dunia mengetuai acara tahunan yang juga digelar Jane’s Walk pada bulan Mei. Acara berjalan kaki beramai-ramai ini adalah untuk memperingati Jane Jacobs sebagai penggerak yang memperjuangkan revolusi bandar melalui aktiviti berjalan kaki. Acara pertama kami bertempat di Sentul pada bulan Mei 2019. Tamat sahaja acara tersebut, fikir kami, kenapa tak jadikan acara ini sebagai sesuatu yang kerap, contohnya sebagai acara bulanan? Kami berpendapat bahawa prinsip ‘berjalan sambil belajar mengenal bandar’ ini selari dengan apa yang kami hajatkan. Cuma, kami mahu lakukan lebih dari itu – misalnya dengan penambahan elemen bengkel dalam acara kami.”

Awatif: “Saya dan Yasmin sama-sama berdebar – fikir kami, siapa saja yang mungkin berminat untuk berjalan kaki dengan kami? Mungkin bagi sesetengah orang, tiada apa yang menarik di Sentul (pada tahun 2019)! Ia bukannya kawasan pelancongan. Acara pertama kami di sana mengumpulkan 20 orang peserta dan pada waktu itu, kami berpendapat bahawa aktiviti ini sesuatu yang mampu dijayakan. Merancang untuk mengadakan aktiviti susulan, kami menggunakan nama Kerja Jalan untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk berjalan kaki sebagai cara untuk melihat sesuatu bandar dengan lebih dekat – ini amat berbeza dengan pemerhatian sewaktu memandu kereta.”

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Yasmin: “Sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19, kami sempat mengadakan acara ‘berjalan kaki’ atas talian (virtual walk) menerusi Instagram. Ada juga pengambilalihan akaun Instagram atau takeover hasil kerjasama dengan ahli komuniti berbeza yang sering mengikuti acara-acara kami. Mereka bersemangat untuk menjadi hos perjalanan kaki di kawasan kediaman mereka sendiri!”

“Setakat ini, kami sudah pun mengadakan hampir 30 acara berjalan kaki, 20 daripadanya fizikal manakala selebihnya secara atas talian. Kami berjalan dengan lebih kurang 300 orang peserta dalam acara fizikal kami. Untuk pengetahuan semua, semua acara Jane’s Walk yang kami adakan adalah percuma sehingga hujung 2022, namun yuran penyertaan yang mungkin berbeza-beza bergantung kepada lokasi kami adalah kecil!”

“Yang menariknya, bukan pakar bidang seperti perancang bandar atau arkitek sahaja yang berminat dalam acara jalan kaki kami. Ada peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, semuanya ingin tahu dan belajar.”

Awatif: “Pada peringkat awal, ramai di antara peserta kami datang dari golongan yang lebih berumur – tetapi setiap daripada mereka memang bertenaga! Mereka dalam kalangan orang yang kerap bangun awal dan ada rutin berjalan kaki masing-masing. Selepas sekian lama, barulah orang-orang muda ikut berjalan bersama kami. Ada para pelajar, ibu bapa – tua dan muda berjalan dengan kami. Penyertaan termuda yang kami uruskan adalah kanak-kanak tadika dan sekolah rendah.”

Jauh perjalanan, luas pemandangan

Yasmin: “Setiap acara jalan kaki kami ada tema yang tersendiri. Contohnya, di Damansara Kim, Kerja Jalan menyingkap kisah kejiranan lama di sana – misalnya meneliti reka bentuk perumahan. Sambil berjalan, perbualan kami akan menyentuh isu-isu seperti kebolehupayaan (accessibility). Adakah penduduk setempat perlu untuk berkenderaan sendiri untuk bergerak ke sini? Kebolehupayaan bukan sahaja melihat kepada warga kota seperti anda dan saya, tetapi juga yang mungkin memerlukan pertolongan untuk bergerak bebas, contohnya kerusi roda (seperti dalam acara kami di TTDI) ataupun kereta sorong kanak-kanak.”

Awatif: “Selain kebolehupayaan, tema atau elemen yang kami bawakan dalam setiap satu acara termasuklah sejarah, keselamatan dan arkitektur. Penting untuk kami berbual dengan penduduk setempat untuk mendapatkan fahaman mereka terhadap satu-satu kawasan. Lebih lama mereka menetap di situ, lebih kaya pengetahuan mereka. Warga sebegini, mereka membesar sekali dengan kawasan kediaman mereka. Mereka arif tentang yang baharu, bagaimana corak landskap lokaliti tersebut. Juga apa makanan sedap yang ada di kawasan terpilih! Dengan adanya ulasan seperti itu, mudah untuk kami berbual dengan lebih lanjut.”

Ke arah bandar mesra pejalan kaki

Yasmin: “Pada pendapat kami, bandar yang mesra pejalan kaki atau walkable cities wajib mengambil kira keperluan orang ramai. Bandar-bandar kita direka untuk memudahkan perjalanan kenderaan bermotor seperti kereta. Namun begitu, baru-baru ini ada sedikit peningkatan kemudahan untuk golongan yang berbasikal!”

“Bandar yang menggalakkan kemudahan pergerakan kendiri tidak terhad kepada kebolehan menghubungkan warga kota dengan pelosok kota sahaja. Bandar mesra pejalan kaki selain dilengkapi jalan yang selamat, membolehkan warganya kurang kebergantungan terhadap kenderaan sendiri, jadi kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan holistik adalah keperluan wajib.”

“Berjalan kaki bukan untuk orang yang tidak mampu berkereta sahaja. Sewajarnya, sesiapa yang memilih untuk berjalan kaki patut ditawarkan gaya hidup yang selamat.”

Awatif: “Kami berharap untuk ‘berjalan’ dengan lebih banyak pihak selepas ini, termasuk badan-badan berkuasa dan pihak pemaju yang mungkin lebih arif tentang proses pembangunan sesuatu tempat. Mereka juga akan memberikan perspektif yang berbeza. Semoga pihak kemajuan bandar lebih progresif dan kami di Kerja Jalan berharap untuk terus memberikan kesedaran umum tentang bandar raya yang lebih inklusif pada masa akan datang!”

Berminat untuk menyertai Kerja Jalan atau menjadi hos di kawasan kediaman anda dalam acara berjalan kaki mereka yang akan datang? Semua dijemput hadir! Ikuti mereka di Instagram untuk info lanjut.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites