Lakaran 3D Faizal Rahmat beri nyawa baru kepada istana dan kota lama

Oleh NABILA AZLAN

“Saya ni minat seni sejak kecil, seingatnya dari zaman di tadika sampailah ke sekolah rendah,” kata Mohd Faizal Rahmat, 41, bila ditanya penulis BASKL tentang asal-usul minatnya. Faizal merupakan anak Pekan, Pahang yang juga graduan Sarjana Muda dari Fakulti Alam Bina di Universiti Teknologi Malaysia.

Faizal Rahmat

Berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman bekerja antaranya dengan firma arkitek dan hiasan dalaman tempatan, dia pernah bekerjasama dengan Dato’ Rizalman Ibrahim untuk memperbaharu sebuah struktur binaan diraja. Turut membanggakan, lakaran Faizal dimuatkan di dalam majalah Jerman, GeoEpoche bagi keluaran yang ke-109. Dia kini seorang pelukis 3D bebas (freelance 3D visualizer) sepenuh masa sejak berstatus OKU pada awal tahun 2020.

Merenung sejenak minatnya melukis, Faizal menggarap memori awalnya membesar bersama keluarga. Ternyata, ‘darah seni’ Faizal berasal dari sebelah ibu. Moyangnya merupakan pembuat kapal di Seberang Takir, Terengganu. Arwah bapanya seorang sarjan polis suatu ketika dahulu, manakala ibunya selaku bekas ahli sebuah persatuan pelukis di Terengganu pada era 70-an menerapkan kemahiran jahitan dan masakannya sewaktu bekerja sebagai seorang buruh kemas.

“Arwah Mak saya bila beli surat khabar, memang saya akan ambil untuk conteng, jadi selalulah kena marah. Dah selalu terkena, arwah pun kata, ‘Asyik lukis atas surat khabar, meh la sini Mak ajar,’ – jadi dialah yang mengajar saya melukis,” cerita Faizal. “Saya terima anugerah pelajar terbaik dalam subjek Pendidikan Seni di sekolah menengah kerana arwahlah yang selalu lontarkan idea-idea lukisan. Bila disuruh melukis orang tua, dia cadangkan watak saya untuk pakai kopiah, membaca di atas kerusi malas. Bila nak menggambarkan suasana di dalam bilik pengantin, dialah yang cadangkan watak pengantin untuk bergaya memegang sanggul, kemudian mak andam dan tetamu berborak-borak di tepi. Dia memang berbakat.”

Menurut Faizal, dia pernah juga mempunyai hobi mereka bentuk model-model rumah kecil sekitar tingkatan dua. Cadangnya sewaktu mengisi boring kemasukan universiti, dia mahu melangkah ke dalam bidang seni melalui pengkhususan seni halus. Namun, perbualan bersama ibunya membawa dia kepada jurusan seni bina.

Melihat pada silibus pelajarannya di universiti bersandarkan falsafah sejarah pelbagai binaan, dia akui pengalaman itu seakan orang mengantuk disorongkan bantal. Kata Faizal lagi, dia rapat dengan arwah Tok dan Neneknya yang amat suka bercerita. Kisah-kisah seperti Bawang Putih Bawang Merah dan Batu Belah Batu Bertangkup menjadi permulaan cintanya kepada dongeng Melayu yang kemudian berkembang menjadi dorongan terhadap memahami cara hidup dan peradaban Melayu melalui seni bina.

Rakan saya yang tengok sendiri hasil kerja saya terkejut – kata dia, ‘Kau buat semua ni? Orang buat bangunan-bangunan moden, berkaca, tapi kau buat rumah Melayu? Bagusnya!’

Perisian 3D yang diguna pakai sehingga sekarang diperkenalkan secara tidak sengaja oleh rakan universiti pada tahun 2000. “Saya pada masa itu, di tahun dua dan masih belum ada komputer sendiri. Satu masa di hari minggu, saya pergi ke bilik rakan saya yang kebetulan sedang ralit melihat sesuatu di skrin komputernya. Rupanya, dia sedang berjinak-jinak dengan perisian Kinetix 3D Max (kini Autodesk 3ds Max) yang disyorkan oleh pensyarahnya,” cerita Faizal. Setelah menggunakan perisian itu, dia mula rasa seronok; malah sanggup berulang-alik dari tempatnya ke bilik rakannya itu untuk terus bereksperimen. “Mulanya saya sekadar main-main, tetapi timbul pula idea untuk hasilkan rumah Melayu dalam bentuk 3D!”

Tahun demi tahun, kemahiran dan teknik lakarannya semakin menyerlah dan dia mula mengorak langkah sebagai seorang arkitek. Pernah juga dia bekerja di Dubai sebagai pelakar 3D (visualizer) dan pereka hiasan dalaman. Ada sahaja kelapangan, dia menggunakan masa itu untuk melakar struktur awal keunggulan Kota Melaka yang melonjakkan namanya di Facebook.

“Saya tak sangka model Istana Melaka saya menarik minat begitu ramai orang di Facebook. Rasanya, ramai lagi yang lebih berbakat dari saya kalau nak bercakap tentang penghasilan lakaran 3D,” katanya.

Namun, hidup Faizal di usia 30-an seakan mimpi ngeri. Di saat dia mula aktif dalam penghasilan projek Kota Melakanya, dia telah hilang pekerjaan tetap. Dalam usahanya mencari nafkah, dia ditipu oleh pelanggan yang acuh tidak acuh membayar kos karyanya, kemudian dianiaya oleh majikan yang lewat menggajikannya, ada juga pihak yang menawarkan pulangan yang baik namun tidak mengotakan janji.

Di garis masa yang sama, dia diberitahu tentang kesakitan ibunya dan bercadang untuk balik ke kampung untuk menjaga arwah sehingga ke akhir hayatnya, iaitu pada tahun 2015. Bermulalah kisah hidupnya yang terpaksa berpindah-randah demi kelangsungan hidup; termasuklah di saat Faizal hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di beberapa buah hotel bajet. Pada masa yang sama, dia mula sedar akan keadaan kakinya yang semakin teruk. Akibat tidak mampu menahan kesakitan penyakit vaskular peripheral, dia akur dengan prosedur pemotongan kaki kirinya pada tahun 2020.

Berkat kesabarannya menempuh dugaan hidup, Faizal yang gigih bergerak sebagai pelakar bebas mula bertemu dengan peluang kerja yang lebih baik. Rumah sewanya di Setapak merupakan ehsan seorang penderma yang tidak disebutkan namanya – di situlah tempat dia terus berkarya sehingga hari ini. Sebagai artis OKU yang bekerja sepenuh masa di rumah, Faizal mengatakan bahawa dia lebih selesa bekerja mengikut temponya sendiri. Jadual bekerjanya bermula seawal sesudah Subuh, sekitar 6.30pg dah berakhir lebih kurang 6.30ptg. Rutin harian ini turut disyorkan doktor bagi memastikan fungsi badan yang optimum, jauh dari stres dan kesakitan tubuh badan.

“Kalau nak membina bangunan (dalam bentuk lakaran 3D), janganlah usahakan sekadar bangunan semata-mata. Masukkan elemen kemanusiaan. Saya amat suka ‘memanusiakan’ karya saya.”

Faizal yang sering dijemput oleh pihak dari institusi-institusi pelajaran tinggi untuk membincangkan cara kerjanya ada selitkan sedikit petua buat artis-artis baharu yang berminat untuk menceburi bidang yang sama. Berjayanya interpretasi 3D Kota Melaka adalah disebabkan oleh perimbangan kreatif seiring pembacaan berterusan. Antara buku-buku yang dirujuk olehnya adalah Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Penurunan Segala Raja-Raja) karya Tun Sri Lanang. Dia turut mendalami tulisan A. Samad Ahmad, William Girdlestone Shellabear dan Richard Olaf Winstead.

Katanya juga, skim reka bentuk yang bagus mampu dilihat sebagai ‘bernyawa’. Dia yang meminati transformasi penulisan ke layar panggung siri Lord of the Rings karya J. R. R. Tolkien dan Harry Potter karya J. K. Rowling menjelaskan bahawa nyawa sesebuah binaan 3D tidak terletak hanya kepada kewujudan manusia dalam karya. “’Bayangan’ manusia harus ada; contohnya kerusi yang ditarik, kasut yang ditinggalkan, ataupun kain yang tersidai,” jawabnya.

Dia yang sedang bercita-cita untuk mengabadikan proses 3D Kota Melakanya di dalam sebuah buku kelak juga giat mengumpul bahan untuk melakar struktur-struktur masjid dan madrasah. Lawati laman NFT-nya di sini. Buat anda yang berkongsi minat yang sama, ikuti Faizal di Twitter.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites