Falsafah dan fakta di sebalik estetika baju Melayu

Ketahui sedikit sebanyak tentang nilai-nilai di sebalik seni rupa baju Melayu melalui perkongsian seorang pengkaji warisan Melayu, Mohammad Faeez Harith Khairil Anwar.

Oleh DANIAL FUAD

Baju Melayu memang sesuatu yang tidak asing lagi menjelang sambutan Hari Raya, namun ia juga boleh dijadikan baju rasmi untuk pelbagai acara buat kaum lelaki. Sejak pemakaian baju Melayu mula tersebar luas pada zaman pemerintahan sultan ketiga Empayar Kesultanan Melayu Melaka iaitu Sultan Muhammad Shah (1424-1444), bermacam-macam perubahan dapat dilihat. Antara contoh yang agak ketara adalah nama asalnya iaitu baju kurung yang boleh digunapakai sebagai busana lelaki mahupun wanita. Dalam artikel ini, nama baju Melayu dan baju kurung akan digunakan secara bergilir-gilir.

Penulis telah menemu ramah Tuan Mohammad Faeez Harith Khairil Anwar, seorang pengkaji warisan Melayu yang telah berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2013 lagi. Berikut merupakan hasil pertanyaan penulis kepada Faeez.

Boleh ceritakan sedikit latarbelakang anda dan bagaimana anda boleh bermula dalam mengkaji warisan Melayu?

Faeez: Saya mula berjinak-jinak dalam mengkaji hal-hal melibatkan warisan Melayu khususnya busana Melayu sejak tahun 2013 selepas berkenalan dengan Allahyarham Tuan Mass Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Lang Indah Jentala dalam kalangan penggiat busana. Daripada beliau, saya kemudiannya berkenalan dengan Dr Johan Iskandar, Encik Afifi Taib, Encik Khairul Hafidz dan beberapa orang lagi penggiat busana lain sebelum akhirnya mendapatkan tunjuk ajar khusus melalui bengkel Pengenalan Tanjak Tengkolok dan Destar anjuran Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu kelolaan Dr Johan. Kini, saya menggalas amanah sebagai Ketua Biro Program dan Latihan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak mengumpulkan penggiat warisan serta pengkaji-pengkaji seumpamanya.

Mengikut bacaan saya, terdapat beberapa falsafah tentang butang baju Melayu. Bolehkah anda huraikan sedikit tentang kebenarannya?

Berdasarkan perbincangan dengan guru-guru saya serta pembacaan saya melalui tulisan Allahyarham Mejar Mohd Said Sulaiman dalam buku beliau Pakai Patut Melayu, Allahyarhamah Bonda Azah Aziz dalam buku beliau Rupa dan Gaya: Busana Melayu, Puan Zubaidah Shawal dalam buku beliau Busana Melayu dan Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail dalam buku beliau Pakaian Cara Melayu, saya boleh katakan bahawa cerita falsafah butang baju Melayu yang ada tidak diketahui dari mana asal usulnya kerana ia adalah pelengkap busana yang datang dengan pelbagai gaya.

Ada yang memakai baju Melayu dengan butang tunggal, tiga, empat, lima, enam dan tujuh mengikut lokasi, kedaerahan serta adat istiadat setempat. Demikian juga cerita kocek pada baju Melayu. Sebelum perubahan dilakukan pada zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar di Johor, kocek baju Melayu hanya ada dua sahaja, kemudiannya barulah ditambah menjadi tiga.

Faeez Harith (dua dari kiri)

Pada zaman dahulu, adakah baju Melayu ini dijadikan pakaian harian ataupun hanya boleh digunakan pada acara tertentu?

Baju Melayu sememangnya boleh menjadi pakaian harian terutamanya baju kurung jenis leher teluk belanga (leher bulat) kerana ia lebih selesa; sedangkan untuk masuk ke majlis, berbaju kurung cekak musang lebih cocok.

Halangan zaman sekarang adalah pemilihan fabrik dalam jahitan baju kurung yang kadangkala boleh menyebabkan sesuatu baju jadi kurang selesa untuk dipakai lama.

Bagaimanakah pemakaian baju Melayu yang dikira lengkap? (Pada zaman sekarang, ada yang berbaju Melayu dan berseluar slack, berbaju Melayu tanpa samping dan sebagainya.)

Tentang cara ‘lengkap’ ini, suka saya rujuk pada buku Ungkapan Tradisional Melayu-Riau oleh Allahyarham Tenas Effendy yang menyebut ada dua keadaan pemakaian baju Melayu yang dikatakan agak lengkap.

Kaedah pertama, memakai baju Melayu dengan kain pelikat dan bersongkok atau berkopiah. Gaya yang dinamakan bergombang ini sesuai untuk keraian kecil, misalnya doa selamat di rumah, ketika bertandang atau menziarahi saudara mara terdekat mahupun ke surau atau masjid.

Kaedah kedua adalah memakai lima bentuk pakaian utama iaitu berdestar (hiasan kepala) dengan baju, seluar, berkain samping dan keris seperti yang disebut dalam judul sejarah Melayu, Sulalatus Salatin tentang sepersalinan lengkap.

Dalam konteks hari ini, paling-paling pun usahakanlah memakainya dengan bersamping kemas dan bertutup kepala sama ada dengan songkok ataupun destar.

Adakah terdapat sebarang falsafah di sebalik memakai baju di dalam dan di luar samping?

Berkain samping di bawah baju kurung (atau baju berada di atas samping) ini disebut dagang dalam, manakala sebaliknya disebut dagang luar. Menurut Mejar Mohd Said Sulaiman dalam Pakai Patut Melayu, berdagang dalam ialah adat orang kebanyakan manakala berdagang luar dikhaskan untuk orang yang berkedudukan.

Demikian juga membawa maksud bahawa pemakai yang berdagang luar bukanlah orang asal sesuatu tempat itu.

Boleh anda kongsikan sedikit sejarah tanjak dan bagaimana ia terkait dengan baju Melayu?

Dalam adikarya Dr Johan, Destar Alam Melayu: Asal Usul, Sejarah dan Penggunaan, dinyatakan bahawa tanjak mula dipakai secara meluas pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan ia kekal hingga ke zaman kesultanan yang ada selepas itu. Melalui Hikayat Hang Tuah pula, dikatakan Hang Tuah pernah berkata, “Dijulang oleh orang Melayu itu Alif (Agama, simbolik dengan Al Qur’an)  Ba (Bangsa simboliknya Keris), Ta (Tanah Air simboliknya Tanjak).”

Justeru, ia menjadi salah satu pelengkap dalam berbusana, selain menggambarkan kedudukan maruah yang tinggi kerana letaknya di kepala. Bahkan dalam Sulalatus Salatin, Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, anak Tun Perak yang telah menjatuhkan destar yang dipakai Baginda ketika bermain sepak raga.

Selain tanjak, apakah lagi destar Melayu yang kini kian hilang kerana jarang digunapakai?

Pada tahun 2019, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu serta Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) telah mengadakan pameran Destar Alam Melayu, yang mana kami telah kumpulkan hampir 200 jenis destar yang berbeza dan agak nadir (jarang didapati).

Antara yang sudah begitu langka atau jarang ditemukan ialah justar, getam dan tengkolok perempuan. Semua bahan pameran telah didokumentasikan dan diterbitkan oleh Dr Johan Iskandar dalam buku kedua beliau iaitu Destar Alam Melayu: Edisi Terhad.

Boleh anda ceritakan sedikit tentang perbezaan yang ada dalam ciri-ciri asal baju Melayu sebelum dan selepas dipinda ketika zaman Sultan Ibrahim?

Antara ciri yang paling menonjol adalah dari segi labuh baju; asalnya, bagi lelaki, ia hampir mencecah lutut sebelum disingkatkan ke paras punggung dan bagi wanita, ia disingkatkan ke paras betis. Demikian jugalah tambahan kocek yang menjadi tiga bagi baju kurung lelaki dan satu kocek bagi baju kurung perempuan.

Adakah terdapat sebarang falsafah di sebalik kekek, pesak dan tindanan kolar kanan atas kiri pada baju Melayu?

Dalam Sulalatus Salatin, dikatakan baju kurung atau baju Melayu ini mula ditambahkan pesak kekeknya oleh Tun Hasan Temenggung supaya ia menjadi longgar, sekaligus berfungsi untuk ‘mengurungkan’ tubuh pemakainya daripada menjadi tatapan umum. Tindanan kolar kanan di atas kiri pula dikatakan diilhamkan daripada kedudukan tangan ketika berqiam dalam sembahyang.

Apakah pendapat anda tentang pembaharuan estetik baju Melayu yang sering dilakukan oleh pereka fesyen pada zaman ini?

Saya secara jujurnya mengalu-alukan pembaharuan estetik tersebut, misalnya pemilihan fabrik dan corak yang lebih kemas tanpa berlebih-lebihan melakukan pindaan pada potongan asalnya sehinggakan sukar untuk kita katakan bahawa sesetengah baju yang dijual pada masa kini itu masih lagi baju Melayu, padahal semua ciri-cirinya hilang.

Saya tertarik dengan baju berjenama Iktikaf Alif yang memperkenalkan konsep pesak ventech dalam rekaan mereka untuk tahun ini yang juga merupakan salah satu cara untuk mengadaptasi tradisi dengan cara yang lebih bijak dan bukan dengan rekaan yang terlampau dan terus hilang ciri-cirinya.

Selesa berbaju Melayu lengkap untuk urusan seharian, Faeez pernah mencuri tumpuan semasa mengambil vaksin sehingga tular di akhbar Harian Metro. Aktif di laman Twitter, beliau sering berkongsi tentang sejarah warisan Melayu dan juga Islam. Antara ciapan yang mendapat perhatian adalah tentang jenis-jenis baju Melayu dan juga cara mengikat samping. Sudah tentu kedua-duanya bakal menjadi rujukan penting untuk semua menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites