Dari Kelantan Ke Pulau Pinang untuk meraikan kraf Malaysia

Penang Exchange 2022 meraikan pengusaha-pengusaha kraf dengan tujuan memartabatkan seni ini ke mata dunia

Oleh DANIAL FUAD

Malaysian Craft Council (MCC) merupakan sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang telah diasaskan pada tahun 2019. Diterajui oleh Nik Faiz Nik Amin selaku Presiden, bertujuan untuk memperjuangkan kraf Malaysia dan menjadi jambatan antara pengusaha kraf kepada pentas dunia melalui pelbagai jalinan kerjasama. Sehaluan dengan misi itu, mereka memperkenalkan acara yang bergelar The Exchange yang telah dijalankan pada tahun 2020 dan juga 2021 di Kelantan.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang telah memberikan kesan yang sangat besar terutamanya pada industri kreatif, tema pada tahun 2020 merupakan kesengsaraan manakala 2021 pula membawa tema kebangkitan. Jadi, setelah dua tahun mengharungi wabak ini, The Exchange kembali dengan tema meraikan pengusaha-pengusaha kraf ini. Presiden MCC, Nik Faiz telah menyatakan, “Jikalau program – program Exchange edisi sebelum ini kami anjurkan di Kelantan yang cukup signifikan dengan legasi Langkasuka, pada kali ini, kami keluar dari zon selesa dan memutuskan untuk menganjurkan program Exchange di Pulau Pinang dengan nama Penang Exchange 2022.”

Sarat dengan pelbagai jenis aktiviti, Penang Exchange telah berlangsung pada 30 Sept hingga 2 Okt lalu dengan jayanya. Terdapat pelbagai persembahan mengetengahkan budaya Malaysia seperti paluan gendang Cina oleh Ching Xing Sports Cultural Centre, tarian Bharatanatyam dan juga persembahan muzik tradisional oleh Tokoh Gamelan, Che Mat Jusoh. Sebagai pembuka tirai, persembahan P. Ramlee Theatrical Concert juga telah dipertontonkan pada Jumaat lalu, 30 Sept yang berlangsung di Auditorium Dewan Budaya USM di mana Arja Lee berganding bahu bersama Farhan Azizan sebagai teraju utama.

Tidaklah cukup jika membincangkan perihal kraf jika tidak meraikan pengusaha-pengusaha kraf dan untuk Penang Exchange ini, pihak MCC telah membawa sebanyak 60 pengusaha kraf dari seluruh Malaysia. “Jika sebelum ini program Exhange bertempat dalam lingkungan satu bangunan sahaja, Penang Exchange ini dilakukan dengan skala yang berlainan sedikit di mana kita meletakkan pengusaha kraf dalam satu kawasan terbuka,” tambah Nik di mana tiada sebarang caj dikenakan bagi pengusaha kraf mempamerkan produk mereka.

Pelbagai jenis pengusaha kraf seperti wayang kulit, anyaman, pembuatan parang, kain batik dan bermacam lagi telah menghadirkan diri untuk Arts & Craft Bazaar yang dilangsungkan di bangunan Think City di Gat Lebuh China. Tambah Nik, “Kita juga membawa kendera saji kerana makanan juga dianggap sebagai kraf dalam segi makanan artisanal.” Di mana terdapat juga pelbagai jenis makanan disajikan dalam program Street Food Fiesta yang diadakan di perkarangan jalan berhadapan dengan lokasi utama acara.

“Selain daripada melakukan penjualan, program ini juga membantu kami lebih mengenali pengusaha kraf yang lain dan dapat menjalankan jalinan kerjasama untuk masa hadapan,” ujar Darma Maniam, pengusaha kraf berbentuk bunga yang telah diawet, Plumeria Florals. Selain daripada itu, Sapari Sukarjo, pemilik bagi Safis Art telah menyatakan, “Jika program ini dijalankan setiap tahun, ia dapat membantu pengusaha kraf mengetengahkan kraf mereka dalam kadar yang lebih luas.”

Pelbagai aktiviti turut disajikan buat para pengunjung seperti Bengkel Seramik oleh Gerlis Ceramics, Bengkel Kraftangan oleh Kraftangan Pulau Pinang dan juga Batik Painting oleh Eyla Linla Batik. Kanak-kanak yang hadir juga turut terhibur dengan pelbagai aktiviti tersedia untuk mereka seperti mengayam kelarai dan mewarna batik antaranya.

Bagi membantu pengusaha kraf lebih mendalami perniagaan mereka, MCC juga telah mengadakan siri bicara Jom Mengopi 2.01 di mana mereka menjemput ahli perniagaan sohor bagi berkongsi pengalaman mereka. Tuan Shaiful Hj Syukri daripada Kedai Emas Hajjah Halijah menceritakan tentang pengurusan dan pelaburan emas manakala Tuan Mamu Ahmad Ariffin pengusaha kopi Black Label dari Pulau Pinang berkongsi tentang perniagaan makanan dan minuman. Selain daripada itu, mereka juga telah menjemput Mohd Ridzuan Kamil, pengusaha sebuah cafe tular di Penang, The Table Penang dan juga pemilik kedai roti dan juga cafe cabin untuk berkongsi pengalaman beliau.

Penang Exchange 2022 telah melabuhkan tirainya pada Ahad lepas dengan makan malam amal di Pinang Peranakan Mansion dengan tema Dondang Sayang Soiree. Turut hadir pada makan malam tersebut merupakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen.

Selain program Exchange ini, MCC juga bakal melakukan sebuah lagi program tahun hadapan yang berjudul The Silver Lining Project di mana Nik telah menyatakan, “Matlamat program ini adalah untuk menghidupkan semula seni kraf songket dan kelingkan yang semakin punah dalam kalangan masyarakat tempatan.”

Program-program seperti ini merupakan satu ikhtiar murni daripada MCC dan disokong oleh pelbagai pihak seperti Universiti Sains Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia, Think City dan Cultural Economic Development Agency. Nik juga menambah “Kami melakukan program ini atas dasar sukarela dan minat terhadap menjayakan kraf walaupun kami sibuk dengan kerja hakiki kami yang sendiri.” Maklumat lanjut mengenai MCC boleh didapati melalui Instagram dan juga laman sesawang mereka.

Anda juga boleh ikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites