Cuti sekolah belum habis lagi!

Cuti sekolah masih lagi berbaki satu minggu. Sudah ketandusan buah fikiran di mana untuk membawa anak-anak anda bermain dan bersuka-ria? Jangan khuatir, BASKL menyediakan beberapa cadangan untuk anda di sekitar Lembah Klang.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Masuk sahaja musim cuti sekolah, pastinya golongan ibu bapa merasakan hari mereka seakan-akan tunggang terbalik dek kerana anak kecil yang sibuk ingin mencari aktiviti! Habis segala rancangan untuk mengemas rumah dan melunaskan baki kerja; hampir semua agenda tidak terlaksana. Bukannya nak kata marah ataupun benci dengan gelagat anak-anak, tetapi tipulah jika berkata tidak timbul rasa geram! Baguslah sekiranya anak-anak boleh menghabiskan masa mereka dengan aktiviti yang seronok, tetapi berfaedah.

Untuk ibu bapa, masih belum terlambat untuk anda aturkan beberapa aktiviti seni untuk si kecil. BASKL telah pun menyenaraikan tiga buah pusat kreatif yang boleh membantu anak-anak anda mencari cebisan memori indah pada cuti sekolah kali ini. Mari kita lihat apakah aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan oleh mereka ini!

Messy Bitsy Club

Kumpulan kreatif yang dinamakan Messy Bitsy Club ini memberikan tumpuan kepada si kecil seawal umur lapan bulan sehingga umur lima tahun. Mereka menggunakan teknik sensori yang mampu mengaktifkan deria kanak-kanak untuk menjadi sensitif kepada perubahan deria. Contohnya permainan pasir yang mengaktifkan deria sentuhan, permainan beras bewarna yang mengaktifkan deria penglihatan dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang disajikan oleh kumpulan anak-anak muda ini. 

Mereka boleh datang untuk membuat permainan seperti ini di kediamaan anda ataupun di lokasi peribadi namun jika anda inginkan sebuah suasana yang meriah dan anda mahu anak anda bergaul dan berkawan dengan anak kecil yang lain, mereka ini juga menyediakan aktiviti kumpulan secara berkala di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di Taman Tun Dr Ismail. Selain daripada aktiviti sensori, apa yang boleh anda dapati di sini adalah aktiviti seni dan kraftangan untuk kanak-kanak. Terlalu banyak manfaat yang boleh anak anda dapat daripada aktiviti-aktiviti seperti ini dan Messy Bitsy Club berpegang kuat kepada 3 perkataan ini iaitu “explore, learn & play” iaitu teroka, belajar dan bermain. Buat anda yang berminat, bolehlah menghubungi mereka melalui Whatsapp dan juga di Instagram.

Play And Paint Art Studio

“Setiap kanak-kanak itu seorang artis,” inilah kata-kata yang cukup terkenal daripada pelukis Sepanyol yang cukup mahsyur iaitu Pablo Picasso. Ini membawa erti bahawa kanak-kanak sebenarnya insan yang begitu kreatif dan mampu menghasilkan karya-karya yang mampu membuat kita semua teruja. Studio seni Play And Paint yang dikendalikan oleh Cikgu Priya ini memang sentiasa menyediakan aktiviti-aktiviti seni yang mampu mencungkil bakat seni yang terpendam jauh di sudut jiwa anak kita. 

Antara aktiviti menarik yang disediakan oleh studio seni ini termasuk lukisan doodle, permainan sensori, aktiviti bercerita, lukisan berkumpulan dan banyak lagi. Studio yang berpusat di Klang, Selangor ini mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam memberikan suasana yang terbaik untuk si kecil dan jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti dan program yang disediakan oleh studio seni Play And Paint ini, anda bolehlah layari Laman Web mereka ataupun anda boleh juga ke laman sosial Instagram atau hubungi terus melalui Whatsapp. Selain itu, studio seni Play And Paint ini juga pernah turut sama di dalam sesi Seni Untuk Semua Atas Talian yang dikendalikan oleh CENDANA.

CATS Shah Alam

Children’s Art & Talent School ataupun nama pendeknya CATS ini terletak di Shah Alam dan ditubuhkan oleh Puan Siti Kamariah Ahmad Subki. Seorang artis yang belajar untuk berkarya dengan sendiri ini percaya dengan teori oleh Dr Howard Gardner, seorang pakar psikologi daripada Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa kebijaksanaan seseorang itu bukanlah satu tetapi pelbagai. Maka sekolah seni cetusan buah fikiran Puan Siti Kamariah ini juga turut sama mengaplikasikan perkara ini. 

Beliau percaya kanak-kanak itu dapat peroleh pelbagai manfaat daripada aktiviti-aktiviti seperti melukis, mewarna, membuat origami lipatan kertas dan pelbagai lagi. Lukisan dan mewarna pula berbeza temanya, kadang kala mereka akan membuat aktiviti melukis dan mewarna kenangan di tepi pantai, ada kalanya mereka akan membuat aktiviti melukis dan mewarna permainan tradisional seperti congkak. Inilah kelainan dan kreativiti yang dibawakan oleh sekolah seni ini. Tunggu apa lagi? Layarilah laman web Artisticallysiti untuk kenali orang yang akan membuka minda seni anak anda ini dan laman sosial Instagram untuk mendapat maklumat lanjut berkenaan aktiviti-aktiviti yang ada pada cuti sekolah ini. 

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain: 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites