Bandaraya Petaling Jaya bukan sekadar bandaraya

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Bandaraya Petaling Jaya ini mempunyai beberapa lorong tersembunyi yang kaya dengan hasil seni anak-anak tempatan yang cukup kreatif dan imaginatif.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Laman MBPJ & Dewan Sivik

Petaling Jaya biasanya dikaitkan dengan beberapa perkara antaranya seperti pejabat KWSP bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan yang sentiasa sesak, restoran A&W yang dikhabarkan akan tutup tetapi masih berdiri teguh, dan tidak dilupakan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang bertambah popular sewaktu negara berada dalam fasa pandemik .

Namun tidak ramai yang tahu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak Bandaraya Petaling Jaya telah merubah landskap pusat bandarnya ini untuk menempatkan khazanah seni jalanan yang cukup menarik dan sesuai dijadikan aktiviti untuk dikunjungi bersama kawan-kawan atau keluarga pada waktu petang ataupun pada hari cuti. Petaling Jaya bukan sekadar bandaraya malah menawarkan lebih daripada itu.

Kawasan yang dihias kemas ini dipanggil “PJ State” atau Bandar Baru PJ oleh orang tempatan. Disinilah terletaknya Menara MBPJ atau dahulunya MPPJ (sebelum dinaikkan taraf sebagai bandaraya). Di kawasan PJ State ini jugalah terletaknya Dewan Sivik MBPJ, sebuah Dewan Komuniti yang cukup terkenal dengan pelbagai aktiviti menarik, lebih-lebih lagi pada sekitar tahun 90-an. 

Kawasan ini cukup sesuai untuk dijadikan pusat riadah dan liburan buat masyarakat setempat. Bagi anda yang membawa kenderaan, anda boleh memulakan jelajah anda dengan meletakkan kereta di tempat letak kereta awam berhadapan dengan Menara MBPJ dengan harga yang sangat berpatutan. Daripada situ, anda boleh berjalan kaki di sekitar kawasan ini.

Jika anda meletakkan kenderaan di dalam kompleks tempat letak kereta tersebut, antara lukisan seni pertama yang dapat anda lihat adalah sebuah lukisan burung hantu berwarna biru setinggi empat tingkat. Lukisan burung hantu yang besar ini dilihat berdiri megah di atas sebuah sarang burung. Di situ juga ada kelihatan hashtag #creativepj yang boleh anda gunakan sewaktu menjelajahi street art yang ada di kawasan PJ State ini. 

Mari kita lihat beberapa jenis karya seni menarik yang terdapat di sekitar kawasan ini. Ada yang bertemakan kenderaan, ada yang bertemakan seni abstrak dan ada juga lukisan yang boleh kita berinteraksi.

  • Burung Hantu #CreativePJ

Lukisan burung hantu ini terletak di luar pusat tempat letak kereta awam yang berada di PJ State. Disebabkan oleh ukuran lukisan ini yang cukup besar, luangkan lebih masa di sini dan ambillah banyak gambar daripada pelbagai sudut yang berbeza untuk menikmati keindahan lukisan yang tersergam indah.

  • Garage Street Art

Apabila anda selesai menikmati keindahan burung hantu tadi, belok ke kiri dan anda akan jumpa Garage Street Art, di sini anda dapat menikmati pelbagai jenis lukisan-lukisan kenderaan daripada lori, trak, van dan macam macam lagi.

  • Trak Bomba WKY4266

Trak Bomba ini dilukis diatas sebuah pintu belakang kepada sebuah kedai. Lukisan ini sudah cukup cantik namun sayang sekali, paip pvc putih pula diletakkan dihadapan dan sekaligus menutupi sebahagian daripada lukisan ini. Alangkah indah jika masyarakat kita lebih cakna dan menghargai akan hasil seni kreatif.

  • Van Kombi

Dalam generasi muda hari ini, mungkin tidak ramai yang tahu kewujudan kenderaan “legend” ini. Berasal daripada perkataan Jerman Kombinationskraftwagen yang bermaskud kenderaan gabungan penggunaan. Pada tahun 1950-an dan 1960-an, van ini cukup popular kerana reka bentuknya yang mempunyai interior dalaman yang luas dan penyelenggaraan yang mudah.

  • Trak Tipper

Di lorong ini juga anda akan dapat lihat sebuah lukisan trak tipper yang biasa kelihatan di tapak-tapak pembinaan untuk membuang bahan buangan. Seperti trak bomba tadi, trak ini juga dilukiskan dihadapan sebuah pintu belakang kepada sebuah kedai di PJ State. Seperti tajuk lagu Aris Ariwatan “Suratan atau Kebetulan”, kami tidak pasti sama ada keberadaan tong sampah yang tepat pada penghujung trak itu sebuah suratan atau kebetulan.

  • Volkswagen Beetle

Sebuah lagi kenderaan klasik yang dilukiskan di kawasan street art PJ State ini adalah Volkswagen Beetle. Kenderaan ini mula dicipta pada tahun 1938 namun pengeluarannya dihentikan pada tahun 2003 akibat kejatuhan permintaan pasaran untuk kenderaan yang mempunyai reka bentuk sebegini. Kenderaan ini juga mempunyai nama sapaannya sendiri iaitu “The Bug”. Bug juga banyak membuat penampilan dalam pelbagai jenis filem romantik dan komedi dan menjadikan kenderaan ini antara kenderaan yang paling ikonik di layar pawagam.

  • Lamborghini Huracan

Tadi kita cerita berkenaan kurangnya pasaran bagi reka bentuk kenderaan yang lama namun jangan khuatir, lorong seni di PJ ini juga menyajikan lukisan sebuah kereta supercar Lamborghini. Melalui rekaan ekzosnya, lukisan ini mungkin diinspirasikan daripada Lamborghini Huracan yang sedang berada di sebuah pam minyak. Sungguh kreatif kerana lukisan ini juga berada bersebelahan dengan paip air fizikal yang membuatkan lukisan ini nampak lebih realistik.

  • Bonet Trak Pick Up

Menarik bukan? Pagar besi bagi kedai atau stor ini dihiasi dengan lukisan bonet bagi sebuah trak pick up. Jika terdapat sebuah lori atau trak yang mengunjungi kedai berkenaan, memang inilah rupanya dan pelukis ini dapat menterjemahkan suasana itu ke dalam sebuah lukisan yang cukup kreatif.

  • Station Wagon

Sebelum kewujudan Vellfire, inilah kenderaan yang digunakan jika terdapat ramai penumpang dalam sebuah kereta. Nama Station Wagon ini diberi kerana tujuan asalahnya adalah untuk mengambil dan menghantar orang daripada stesen kereta api. Pada hujung abad ke-20 pula, kenderaan ini juga amat popular digunakan sebagai kenderaan keluarga. Seorang ayah akan membentangkan toto di bahagian belakang untuk anak kecilnya bergolek berguling bagi sebuah perjalanan yang panjang. Kini road trip seperti ini semakin kurang kerana peredaran zaman.

  • Skulptur I Love PJ

Selepas anda sudah puas menikmati keindahan lukisan di Garage Street Art, anda bolehlah mengunjungi Art Lane. Antara perkara pertama yang anda akan dapat lihat di lorong ini adalah sebuah skulptur I Love PJ. Apa yang membuatkan lorong ini lebih menarik adalah lorong ini merupakan lorong pejalan kaki sahaja dan kenderaan dilarang melalui lorong ini. Amat sesuai untuk peminat “selfie”!

  • Bangku Art Lane

Sudah tentu, berjalan kaki di negara Malaysia yang cukup terkenal dengan kehangatan cuacanya ini kadang kala amat mencabar. Maka rehatlah sejenak di bangku-bangku yang disediakan di sepanjang lorong Art Lane ini. Jika anda mengunjungi lorong ini dengan 16 orang kawan, anda juga boleh bermain dam haji dengan menggunakan orang. Hebat bukan?!

  • Lukisan Tarik Tali

Tarik tarik merupakan antara sukan yang cukup popular dan sering kita main pada acara hari sukan, hari keluarga mahupun sewaktu team building organisasi kita. Namun tarik tali di lorong Art Lane ini mungkin agak berbeza daripada apa yang kita biasa main sebelum ini. Anda akan melawan tarik tali dengan lukisan yang terpateri di dinding sebuah bangunan. Semoga berjaya!

Terdapat pelbagai lagi lukisan menarik yang ada di kawasan PJ State ini. Cukup sesuai jika anda ingin lari daripada kekecohon dan kekalutan fikiran dek kerana kerja dan sebagainya. Apa yang membuatkan destinasi ini lebih menarik adalah kerana semuanya percuma! Segala infrastuktur dan lukisan yang ada di sini telah dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk kegunaan dan keselesaan para penduduk kota.

Scooter Beam yang banyak terdapat di kawasan PJ State

Memang benar, berjalan kaki dalam cuaca yang panas mungkin tidak berapa digemari oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi jika anda inginkan sebuah pilihan yang memudahkan, anda juga boleh mencuba scooter Beam. Bagi anda yang belum pernah menggunakan scooter berbayar ini, anda boleh layari laman web Beam dan seterusnya memuat turun aplikasi Beam di Apple App Store atau Google Play. 

Pada bulan Jun ini pula, Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan menyambut ulang tahun bandaraya mereka yang ke-16. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun oleh MBPJ khas buat warga kota Petaling Jaya dan pengunjung daripada luar bandar ini juga amat dialu-alukan. Anda boleh layari laman web MBPJ untuk maklumat lanjut berkenaan segala kemudahan dan fasiliti yang terdapat di dalam bandaraya ini seperti dewan, pusat sukan, perpustakaan dan banyak lagi. Bagi info dan maklumat terbaharu pula, anda boleh mengikuti laman-laman sosial mereka melalui FacebookTwitter dan YouTube

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites