Cikgu Huda, terapi seni dan penemuan diri sendiri

Cikgu Huda kini giat dalam mempermudahkan akses khalayak kepada terapi seni.

Oleh DANIAL FUAD

Terapi seni mula bertapak di sekitar pertengahan abad ke-20 di Eropah. Seniman British, Adrian Hill telah menggunakan istilah tersebut pada tahun 1942. Aktiviti ini telah tersebar luas ke serata dunia dan kini diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Bagi Malaysia, terapi seni mula muncul sedikit demi sedikit sekitar awal 2000-an. Pada tahun 2009, Art Therapy Academy telah dibuka untuk menjadi pusat latihan bagi membantu meluaskan golongan profesional dalam terapi seni.

Kini, terapi seni telah semakin meluas dalam masyarakat kita di mana terdapat pelbagai individu dan organisasi yang menawarkan aktiviti ini bagi memastikan kesihatan mental khalayak berada dalam kadar optimum. Cikgu Huda yang menggelarkan dirinya seniman yang mengajar, kini juga mula berkecimpung dalam bidang terapi seni ini.

“Saya sedar bahawa seni ini merupakan sebuah saluran untuk meluahkan diri saya dengan tidak menggunakan perkataan,” ujar Huda. Selain daripada menjadi guru, beliau juga ada menganjurkan bengkel-bengkel persendirian berkenaan dengan seni dan dari situlah bermulanya minat ke arah terapi seni. Huda mengulas, “saya memang suka berbual bersama pelajar, ibu bapa dan juga peserta bengkel dan dari situ, teman saya telah memberitahu bahawa apa yang saya lakukan itu adalah sebahagian daripada terapi seni tanpa saya sedari.”

“Kini, saya rapat dengan sebuah pertubuhan bukan keuntungan bergelar Peace Meal yang banyak melakukan aktiviti di Mukha Cafe di mana tujuan utama mereka adalah untuk memupuk perbincangan rohani,” tambah beliau. Pada tahun 2021, mereka telah memulakan sesi seni bersama komuniti menggunakan dana sumbangan bagi memberi ruang orang ramai meluahkan perasaan dengan berkarya dan juga berkongsi apa yang sedang mereka lalui.

“Peserta yang hadir telah berkongsi bahawa mereka berasa senang hadir ke kafe dan menghasilkan karya; mungkin saya adalah seorang pendengar yang bagus kerana orang sering berkongsi masalah mereka bersama saya,” ujar Huda lagi. Kini, sesi seni di Mukha Cafe berlangsung setiap Ahad kedua dan keempat setiap bulan. Sesi yang bergelar The Arts of Relax ini berlaku di antara jam 2ptg – 5ptg akan tetapi ia ditangguh sepanjang Ramadhan dan bakal berlangsung semula selepas itu.

Selain daripada itu, Huda juga telah bekerjasama dengan sebuah lagi komuniti yang bergelar myWIPhealing. “Komuniti ini tertubuh dengan tujuan untuk menjadikan terapi seni lebih mudah diakses oleh khalayak dan mereka bekerjasama dengan Yayasan TM untuk menjalankan sesi terapi seni buat orang ramai,” Huda mengulas.

Berbanding dengan sesi di Mukha Cafe, sesi bersama myWIPhealing ini lebih mendalam di mana Huda telah berkongsi, “saya bukanlah ahli psikologi yang bertauliah jadi sesi di kafe lebih kepada terapi seni tidak rasmi tetapi untuk sesi bersama Yayasan TM ini, terdapat ahli psikologi klinikal turut hadir bersama. Huda menambah, “para peserta akan menghasilkan karya mereka di mana sesi perkongsian akan berlaku kemudiannya dan di akhir sesi, ahli psikologi yang ada bersama akan bercakap mengenai topik yang berkenaan untuk mengakhirinya.”

“Tujuan program ini adalah untuk menyokong para pahlawan kesihatan mental yang telah didiagnosis dengan isu yang telah bersama mereka sepanjang hayat,” ujar Huda. Selain daripada itu, khalayak juga turut dijemput untuk menyertai sesi ini bersama-sama dengan pahlawan kesihatan mental yang ada. “Pengalaman ini membuka mata kami kerana orang ramai cukup ingin tahu tentang isu ini dan banyak bertanyakan soalan,” Huda menambah.

Melalui pengalaman ini, Huda juga dapat mendalami dirinya sendiri. Menurut beliau, “ini juga merupakan perjalanan dalam menemukan diri sendiri dan selepas mengenali Khairini, pengasas bersama myWIPhealing, saya melalui diagnosis dan telah mendapati saya juga terdapat isu yang harus saya harungi.” Huda berpendapat bahawa kesihatan mental khalayak kian merudum kerana hidup di bandar ini penuh dengan gangguan seperti telefon pintar dan media sosial yang membuatkan kita lupa akan masalah yang kita ada. “Mengambil contoh, datuk nenek kita dahulu ada yang menjadi nelayan dan jika pada musim Monsoon, mereka tidak dapat turun ke laut jadi mereka menghabiskan masa dengan membaiki jala. Melalui aktiviti ini, mereka dapat bermuhasabah diri melalui aktiviti menjahit dan secara tidak langsung, mereka telah melalukan terapi seni tanpa mereka sedari,” ujar Huda.

“Perkara yang paling penting sekali yang saya belajar melalui perjalanan saya ini adalah keseimbangan itu sangatlah penting. Ada hari kita mungkin boleh mencelah dengan apa yang para peserta kongsikan dan ada hari kita hanya perlu mendengar,” ulas Huda. Sesi terapi seni bersama myWIPhealing yang diberi nama SHIPS Group Art Therapy di Yayasan TM berlaku Sabtu keempat setiap bulan di antara jam 12tgh – 5ptg.

Kedua-dua sesi yang dilakukan oleh Cikgu Huda adalah percuma dan maklumat lanjut berkenaan beliau dan aktiviti yang dilakukannya boleh didapati di laman Instagram beliau. Kemaskini berkenaan terapi seni yang dilakukan oleh beliau bersama Yayasan TM juga boleh didapati di laman Instagram myWIPhealing dan sesi seni di Mukha Cafe juga boleh didapati juga di laman Instagram Peace Meal.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites