Terapi seni bersama My WIP Healing

Sebuah komuniti yang menggunakan seni sebagai satu kaedah terapi bagi mengharungi cabaran kesihatan mental yang dihadapi mereka

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

My WIP Healing merupakan sebuah komuniti yang bertujuan untuk memberi ruangan selamat bagi mereka yang sedang melalui cabaran kesihatan mental. Ruang ini juga memberi fokus kepada elemen seni sebagai satu kaedah terapi dalam mengharungi perjalanan kesihatan mental yang kadang-kala amat perit untuk dilalui. 

Antara hasil seni karya peserta program Digital Detox oleh My WIP Healing

Perkataan “My” di dalam My WIP Healing bermaksud saya, dalam erti kata lain, komuniti ini adalah perjalanan saya. WIP pula membawa erti “We’re In Progress”, iaitu sebuah perjalanan yang sentiasa dalam proses ke arah sesuatu lebih baik. “Healing” pula merupakan proses penyembuhan itu sendiri, maka mesej dan misi tersirat mereka adalah perjalanan ke arah diri saya yang lebih baik pada hari yang mendatang.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai orang sama ada yang tidak kenali mahupun orang terdekat yang kita sayangi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kecelaruan dan juga keresahan. Persekitaran, tragedi masa lampau dan juga pandemik yang lepas merupakan antara penyebab utama mereka terjerumus ke lembah kesihatan mental seperti ini. Isu ini dilihat makin berleluasa dan ada yang membawa kepada simpati dan rasa sedih sekali kerana perjalanan mengharungi kesihatan mental ini bukanlah jalan yang mereka pilih namun inilah jalan yang harus mereka lalui tanpa diberi pilihan. 

Baru-baru ini penulis BASKL amat bertuah kerana telah diberikan ruang dan peluang untuk mengikuti sebuah sesi berkelah selama dua hari satu malam dalam sesi bersama My WIP Healing. Program berkelah sulung mereka ini dinamakan Digital Detox. BASKL telah menerima jemputan untuk sama-sama turut serta dalam program yang diadakan di Air Terjun Serendah dan tapak perkhemahan yang ditemani alunan air sungai dan kehijauan flora fauna yang merimbun. 

Aktiviti terapi seni

Komuniti ini telah ditubuhkan pada tahun lalu oleh Khairini Jamaluddin, 26 tahun yang juga merupakan seorang pesakit dan kini pejuang Major Depressive Disorder (MDD) dan Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD) sendiri. Menurut Khairini, inilah antara usaha kecilnya dalam membantu lebih ramai orang di luar sana dalam berperang dengan kesihatan mental mereka. 

“Pada asalnya, saya tubuhkan My WIP Healing untuk berkongsi perjalanan saya dalam menggunakan seni sebagai satu terapi bagi penyakit kesihatan mental. Namun sejak kebelakangan ini, saya bersyukur kerana terapi seni kini semakin diterima oleh rakan-rakan saya juga.”

Terapi seni ini amat menarik kerana kebiasaannya, kita sebagai manusia sering lupa untuk menonjolkan emosi yang terpendam di dalam diri kita. Lama kelamaan, emosi-emosi yang terpendam ini akan terbuku dan mengeras di dalam jiwa. 

Salah satu keunikan pada program Digital Detox adalah peserta perlu berenggang buat sementara waktu dengan alatan telekomunikasi mereka sewaktu melakukan aktiviti terapi seni ini. Melalui cara ini, peserta akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada seni yang cuba mereka hasilkan tersebut dan dalam erti kata lain, tidak ada gangguan daripada luar apabila para peserta menerokai emosi dan jiwa mereka.

Sesi bbq bersama peserta program Digital Detox oleh My WIP Healing.

Menurut salah seorang peserta program ini, Nik Fazrul Lokman, 19, seorang pelajar semester empat Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, mengakui walaupun sesi ini yang pertama buatnya, namun ruang ini sedikit sebanyak membantunya untuk berkongsi ekspresi dan rasa.

“Selalunya saya akan rasa sangat tidak selesa dengan benda yang baharu. Tidak kira sama ada orang baharu ataupun tempat baharu, tetapi dalam aktiviti ini saya rasa cukup selesa. Saya rasa tenang untuk berkongsi oleh kerana semua pun menyerlahkan emosi yang positif,” kongsi Fazrul.

Fazrul sebelum ini pernah melalui pelbagai detik hitam dalam kehidupannya namun melalui terapi seni ini, dirinya dapat berdamai dengan sejarah lampau yang telah lama menghantui hidup. Tambah Fazrul, “terapi seni ini memang mengajar saya untuk berdamai dan berasa tenang dengan segala ketidaktentuan hidup.”

Melalui terapi seni, kita dapat menjengah dan menyentuh pelusuk jiwa yang telah lama terbuku jauh di dalam diri kita. Kadang kala, kita juga tidak sedar akan kewujudan perasaan-perasaan ini dan itulah yang amat berbahaya jika tidak dikenalpasti. 

Sejak pasca pandemik ini, semakin ramai masyarakat kita yang dibelenggu masalah kesihatan mental. Namun begitu, Khairini mengakui bahawa fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan masih belum mencukupi dan terdapat banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat. 

“Buat masa ini, inilah yang mampu saya lakukan untuk membantu orang seperti saya dan juga dalam masa yang sama membantu diri saya sendiri. Walaupun saya cuma seorang diri namun saya benar-benar berharap agar pada masa hadapan, lebih ramai yang akan cakna dan prihatin mengenai pejuang-pejuang seperti kami,” ujar pengasas My WIP Healing ini. 

Bagi mereka yang berminat untuk melakukan aktiviti terapi seni seperti ini, anda boleh lawati laman sosial My WIP Healing di Instagram dan juga di Twitter. Di laman-laman sosial My WIP Healing ini, mereka kerap berkongsi maklumat serta pelbagai petua menarik dalam menangani masalah kesihatan mental dan juga tekanan yang sering kita hadapi sebagai seorang manusia.

Pada setiap Isnin malam pula, mereka akan mengadakan sebuah sesi borak santai Space di Twitter untuk lebih mengenali dan mendalami warga net yang mungkin sedang menghadapi cabaran-cabaran di dalam hidup. Sesi ini merupakan sebuah sesi bagi mendengar keluh kesah mereka serta perkongsian masing-masing di dalam mengharungi segala cabaran yang dihadapi.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites