Bront Palarae: Erti jejaka sejati

Oleh AZUWAN AHMAD

Secara jujurnya White Studio milik Bustamam Mokhtar yang lebih mesra dipanggil Abang Bus memang jauh dari tempat saya tinggal. Banyak tol yang harus dibayar, perjalanan pun panjang, dari meredah hutan konkrit sampai menelusuri kampung-kampung yang tanahnya luas terbentang. Kalau tidak kerana kerja Abang Bus yang memang diakui hebat dan diktiraf industri tempatan serta antarabangsa, pasti lambat lagilah gerak saya. Khalas. 

Saya membuat keputusan dari malam sebelum saya menuju ke studio untuk tidak mencukur misai saya. Bagi anda yang terdetik untuk bertanya alasannya, jawapannya sederhana. Saya tidak mahu kalah ‘macho’ dengan personaliti yang saya akan temu bual. Bukan kerana isu kelelakian saya belum selesai bila mana mencecah usia 33 tahun, tapi personaliti ini adalah aktor yang saya sangat hormati dan antara yang saya minati semenjak saya menonton “ Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys” di saluran NTV7 ketika kegemilangan mereka menyiarkan drama-drama sitkom Melayu kira-kira 22 tahun yang lalu. 

Bayangan saya terhadap Nasrul Suhaimin Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Bront Palarae, sudah tentulah sebagai seorang personaliti yang serius. Setidaknya butir bicaranya seperti ‘hero’ filem Melayu yang ada ‘act’ nya tetapi ternyata saya salah. Orangnya nampak santai dan duduk tenang sambil disolek oleh Chandra Shegar. Barangkali kerana dia tidak perlu stres menghadapi kesesakan lalu lintas dalam perjalanannya kerana menumpang kereta Editor, Shah Shamshiri. Dalam perbualan awal kami, sempat jugalah dia bertanya maklum balas tentang filem terbarunya, “ Malbatt”. Saya tidak berasa segan untuk memberitahu fikiran saya mengenai filem itu. Dari situ lah saya tahu, Bront bukan orang yang mudah melatah. 

Soalan pertama yang saya lontarkan kepadanya adalah apakah personaliti ‘macho’ ini terancang sesuai dengan cara fikirnya merencana jalan kerjaya yang telah dilalui atau akan dilalui, sebagai contoh jenis watak yang mahu diperankan serta diingati. “ Di satu sisi, boleh dikatakan begitu.  Dari segi pesona sebagai seorang pelakon di atas skrin, ya. Itu sahaja yang kita projeksi untuk masyarakat dan lebih baik kalau mereka tidak dapat meletakkan kita di satu ‘kotak’ sahaja. Seseorang yang tidak mudah diperkotak-katikkan di tepi jalan (haha)”, katanya.  Jawapan ini amat menarik bagi saya kerana bila saya dapat peluang untuk bertemu dengannya, saya dapat rasakan dia mempunyai sisi yang kelakar tetapi cuba disembunyikan jauh-jauh. Sempat juga saya membayangkan kalau saya menulis skrip filem aksi komedi, saya mahu Bront dan Remy Ishak di dalamnya. Apatah lagi bila dia mengatakan bahawa dia mahukan watak lelaki biasa di dalam situasi yang luar biasa. Bagi saya yang mendengarnya, ia adalah resepi kepada genre komedi.

Namun, sebenarnya dia mempunyai rasa takut dipermainkan di luar skrin dan pentas seperti situasi masyarakat kita yang tidak mengerti memperlakukan para artis lawak ketika bertemu di luar. “Kebiasaan orang kita kalau bertemu dengan penyanyi di dalam lif, disuruh menyanyi atau pelawak disuruh melawak di luar waktu kerjanya. Tapi ada tak bila kita bertemu dengan Tok Siak atau penggali kubur atau doktor gigi, ada tak kita  cakap tolong check gigi saya? Tak ada. Saya sentiasa rasa kerja ini ada work hazard tertentu dan fikir bagaimana nak elak. Then kita sedar kita kena asingkan persona. Kita ada kehidupan peribadi sendiri cuma kita tak tunjukkan sisi itu untuk tontonan umum. Hidup saya bukan hiburan masyarakat tapi saya menghiburkan masyarakat melalui kerja”, jelasnya panjang. 

Lanjut mengenai konteks perbualan ini, saya terus memikirkan bagaimana dia mengawal semua ini dan tidak terlihat begitu eksklusif sehingga wataknya menjadi sterotype serta sudah tentu ia akan memberi impak kepada kerjayanya. Dia berkata, “Tak juga. Ada orang ingat watak yang ekstrem akan menjadi tarikan untuk kita bekerja di dalam sesebuah projek. Abang tak rasa nak mengejar untuk orang melihat Abang sebagai pelakon yang hebat. Mungkin sebab Abang datang daripada sekolah filem bukan sekolah lakonan. Jadi tidak ada rasa nak mengejar watak yang tertentu. Abang lebih tertarik dengan watak yang orang takut nak buat. Ada yang jadi, ada yang tak jadi. Tapi rasa takut dan risau itu diperlukan”. 

Saya berpendapat bahawa ada perbezaan antara pelakon yang akhirnya menjadi seniman sejati dan pelakon yang akhirnya bertukar menjadi selebriti yang kehausan dirai. Ada ruang senggang di antara watak demi watak yang dimainkan. Bagi pelakon yang lahir di tanggal 27 September ini , dia lebih gemar di rumah. “Saya jenis yang lebih suka duduk di rumah. Saya jarang keluar bersosial. Secara jujurnya saya orang yang membosankan. Baik dengan keluarga dan kawan-kawan, ya. Tapi bila kita jarang bertemu dengan kawan-kawan, ada satu perasaan menyenangkan bila kita bertemu. Saya dan isteri orang yang introvert dan menjadi rancak berbual jika ada sesuatu yang kita sama-sama minati”, cerita Bront. Ini barangkali secara tidak langsung disiplin seorang pelakon untuk ‘menyucikan’ diri keluar dari sesuatu watak apabila habis sesebuah projek seperti mana orang memproduksi keris. Keris yang dibuat khas berbanding dengan keris yang diproduksi secara banyak agak ketara bezanya. 

Bront adalah salah seorang pelakon yang telah melalui banyak gelombang dalam industri seni dan hiburan kita tetapi masih bertahan sehingga ke hari ini. Tentunya kita masih ingat apabila dia bermula dengan watak-watak yang kecil dalam filem seperti Man Laksa dan Senario : Lang Buana. Kemudian ada waktu dimana David Teo sebagai ‘tauke panggung’ menguasai produksi filem tempatan, Bront ada di dalam projek tersebut. Kini, dia adalah pelakon yang disegani sehingga boleh menembus pasaran negara-negara jiran. Tidak terlalu pelik kerana graduan Akademi Filem FINAS yang fasih berbahasa Siam ini mempunyai gaya lakonannya yang tersendiri. 

Tidak ramai yang tahu bahawa antara orang-orang yang terawal mencungkil bakatnya adalah Allahyarham Mamat Khalid dan Osman Ali. Katanya, “ ini semua takdir. Saya mendapat pengalaman melihat industri ini daripada kacamata media apabila menjadi hos untuk rancangan Beat TV. Media sangat berkuasa sehingga boleh menaikkan dan menjatuhkan kerjaya seseorang pelakon. Saya tidak mahu menjadi artis yang boleh dijadikan sasaran begitu. Satu-satu caranya adalah dengan menentukan sendiri bagaimana kerjaya ini akan berlangsung. Bagi saya pencapain terbaik adalah bukan dengan saya memenangi anugerah tetapi berjaya menempa nama dalam industri ini tanpa terpampang dalam majalah hiburan tertentu. Itu adalah sesuatu yang jarang didengari untuk generasi pelakon seperti saya. Saya tak mahu bermain permainan ini. Selagi saya bekerja di dalam projek yang bagus dan mempunyai etika kerja yang bagus akan membawa kepada permintaan”. 

Sudah tentu ramai orang mahu bekerja dengan Bront sebagai sebuah nama besar. Pelakon yang menembusi projek yang ada Bront di dalamnya, adil untuk saya katakan telah mencapai sesuatu aras di dalam kerjaya lakon. Kalau ditanya pelakon seperti apa yang membuatkannya senang bekerja bersama telah  dijawab dengan, “seorang pelakon yang membawa kita ke suatu tempat tidak terjangka. Saya bernasib baik kerana saya bekerja dengan kebanyakan daripada mereka. Saya mendambakan untuk bekerja dengan mereka. Ada projek yang tak berapa best tapi saya masuk kerana mereka. Saya boleh sebut beberapa nama. Nadiya Nissa, Shaheizy Sam, Remy Ishak. Remy sebagai contoh setiap 4,5 tahun kami akan ditemukan kembali dalam projek dan setiap kali terasa ada perubahan dalam kemahiran, kematangan, tenaga serta dinamik baru”. 

Wajib saya bertanya kepada pemenang Anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 mengenai hala tuju dan kesinambungan kerjayanya di dalam era di mana media sosial memainkan peranan besar di dalam kewujudan seorang pelakon. “Abang buat media sosial macam billboard. Iklan untuk projek-projek yang Abang terlibat. Masih tak kongsi hal-hal peribadi. Banyak juga yang tawarkan produk untuk iklan di media sosial, tapi Abang masih belum nak monetize platform macam ni. Hanya war-warkan projek”. Jika ditanya pula apakah ini pusingan akhir dalam kerjayanya lakonan apabila dia mula menerbitkan projek melalui syarikatnya, “Mungkin juga. Bila Abang dah berdamai dengan beberapa faktor dalam hidup. Bila budak-budak wardrobe dah mula panggil Abang sebagai ‘pak cik’. Dulu, cara menulis sebuah cerita sangat sempit dengan maksud jenis watak, premis dan variasi. Tapi sekarang kita dapat tengok hal tersebut makin terbuka terutama di platform strim. Watak utama ada yang 35-45 tahun.  Satu lagi batch Abang ada ramai hero. Jadi tak bosan sebab watak utama bertukar-tukar berbanding dengan hero-hero sebelum ini”.

Satu jam saya berbual dengan Bront Palarae. Ada perkara yang saya simpan untuk dijadikan bahan kalau saya bertemu dengannya lagi (kalau ada kesempatan). Pengalaman dan buah fikirannya tentang kerja lakon dan industri sangat berharga untuk saya sematkan dalam fikiran sebagai seorang penulis. Kalau menjawab persoalan erti jejaka sejati hasil pertemuan ini, definisinya adalah seorang lelaki yang tetap berpendirian, berani untuk menentukan hala hidupnya sendiri dan mungkin menyimpan sedikit kumis dan janggut (hehe). BASKL mengucapkan selamat maju jaya kepda Bront Palarae. Teruskan berkarya!

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL  

 Bintang BASKL: Bront Palarae

 Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri

 Teks Bahasa Malaysia: Azuwan Ahmad

 Penata Gaya & Pengarah Seni: Mursh Mat Som

 Dandanan & Solekan : Chandra Shegar

 Busana : Bleu Natar

Celana Hitam : Zaff Ben Jibby

Aksesori : Milik Penata Gaya

Sandal : Projet1826

 Jurugambar: Bustamam Mokhtar, White Studio

 Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

 Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim

Baca kisah Bintang BASKL yang lain di pautan di bawah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites