Adiguru CENDANA: Roslan Madun

Oleh DANIAL FUAD

Memang tidak disangkal lagi Alam Melayu mempunyai karya seni yang sangat luas seperti seni tampak, seni persembahan dan juga seni sastera. Seni sastera yang cukup luas penggunaannya merupakan puisi, “Terdapat dua jenis puisi iaitu moden yang dikenali sebagai sajak manakala di bawah cakupan puisi tradisional pula adalah seperti gurindam, seloka, nazam, teromba, bongat dan juga syair,” ujar Roslan Madun yang merupakan sorang penyair yang terpilih bagi program Adiguru CENDANA. Syair terdiri daripada empat baris serangkap dan berbeza dengan pantun, ia tidak mempunyai pembayang dan maksud. Kebiasaannya, syair menceritakan suatu kisah dan setiap perkataan dalam setiap baris adalah sama, iaitu empat perkataan dan lapan hingga 12 suku kata dalam satu baris.

Pada mulanya syair datang bersama Islam di mana Roslan telah menambah, “Seni sastera ini dibawa oleh ulama-ulama dari luar ke Tanah Melayu dan dalam gurindam mempunyai ilmu tauhid, nazam pula ada ilmu fiqah manakala syair pula ada ilmu tasawuf.” Namun begitu, Syed Muhammad Naguib al-Attas telah menyatakan bahawa Hamzah Fansuri adalah sang pemula syair bagi Alam Melayu di mana beliau telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan menyimpang daripada syair Arab.

“Saya sebenarnya dah mula bersyair dari umur 10 tahun lagi kerana ketika itu, saya sering mendengar rancangan di radio Singapura yang berjudul Drama Dalam Syair, tapi ketika itu suka-suka sahajalah,” ujar Roslan. Beliau hanya mula mengambil langkah yang lebih serius sejak dari tahun 2005, yang mana beliau telah menjadi penggubal modul untuk Program Penghayatan Sastera dan Budaya bagi pelatih di Kem Khidmat Negara anjuran Dewan Budaya dan Pustaka.

Dari situlah beliau memulakan penyelidikkan tentang irama-irama yang ada dalam puisi. “Kalau dulu orang kenal satu irama sahaja iaitu Selendang Delima tapi sekarang ini sudah ada banyak irama dengan berbagai nama diberi,” ujar Roslan yang juga dikenali sebagai pelopor dendangan syair berbagai irama. Beliau telah mengambil inisiatif untuk mengembara ke kepulauan Riau, Singapura dan Brunei untuk mengumpulkan irama syair.

Sepanjang pengembaraan beliau, terdapat lebih dari 40 buah irama syair yang telah beliau temui, “Irama yang terawal saya perolehi dalam penyelidikkan saya merupakan irama Batu Belah daripada Allahyarham Cikgu Md. Ali Bachik dari Melaka.” Dari situ, terdapat bermacam lagi irama yang telah ditemui Roslan seperti Malalak dan Perang di Pekanbaru Riau, Berunggai Lanjar dan Separa di Brunei antaranya.

Buku puisi dan CD yang dihasilkan oleh Roslan Madun dengan dana Program Adiguru CENDANA.

“Saya telah merakam sebuah album puisi tradisional yang mengandungi syair, gurindam dan seloka pada tahun 2007 dan ia telah menjadi bahan pengajaran untuk cikgu-cikgu di sekolah,” ujar Roslan lagi. Dalam perkongsian ini, penulis dapat rasakan beliau berkongsi rasa teruja apabila irama syair yang dirakam beliau telah digunakan untuk pertandingan-pertandingan syair di sekolah kerana beliau berpegang teguh dan percaya bahawa seni ini harus diteruskan oleh orang-orang muda.

Roslan juga merupakan pengasas bagi Akademi Syair yang telah beroperasi sejak tahun 2014. Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai Pensyarah Tamu di Universiti Sumatra Utara. “Saya anggap sebagai satu kewajiban buat orang seperti saya untuk mewarisi seni ini kepada generasi muda kerana ini adalah akar budaya kita dan tidak akan wujud puisi moden jika tiada puisi-puisi tradisional ini,” ujar Roslan.

Akademi Syair kelolaan beliau telah diadakan secara atas talian dan bermula di Danau Kota, “Kini saya berpusat di Eco Hill Semenyih tetapi pelajar-pelajar dan tenaga pengajar saya berada di luar Kawasan Kuala Lumpur. Jadi lebih efektif jika saya menggunakan teknologi yang ada untuk melakukan kelas secara atas talian bagi memudahkan semua pihak.”

“Untuk ketika ini, kita lebih fokus kepada dendangan sahaja dulu dan kemudian nanti kita akan mengajar mengarang pula,” ujar Roslan di mana antara silibus yang diajar di Akademi Syair adalah mengenal irama, vokal dan lenggok. Untuk lebih memberi tumpuan kepada pelajarnya, seorang mentor ditugaskan untuk mengajar hanya dua atau tiga orang sahaja dan kini beliau mempunyai lapan orang mentor dan juga seorang pengetua iaitu Dr. Shafa’atussara Silahudin.

Untuk melestarikan lagi seni sastera ini, Roslan juga merupakan pengasas bagi Pertandingan Dendangan Syair Antarabangsa yang telah diadakan buat kali kelima pada tahun 2022. “Pada tahun 2016, saya telah memulakan Festival Syair Antarabangsa yang mengandungi aktiviti seperti seminar, persembahan syair dan bermacam-macam lagi aktiviti berkaitan”.

“Pada tahun seterusnya saya mengadakan benda yang sama di Medan, Indonesia. Pada tahun 2019 ketika beliau mengadakan festival yang sama di Tanjungpinanglah lahir Pertandingan Dendangan Syair Antarabangsa,” ujar Roslan.

Antara pelajar bimbingan Roslan di malam penutupan Program Adiguru CENDANA.

Akibat daripada wabak COVID-19, Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa 2020 terhenti secara fizikal namun ia tetap berlangsung secara atas talian. Akan tetapi, akibat daripada kekurang pengalaman melakukan acara atas talian, ia mendapat sambutan yang sedikit dingin. “Pada 2021, setelah mengetahui selok-belok acara atas talian kami berjaya juga mengadakan pertandingan tersebut dan seiingat saya, jumlah perserta terlibat mencecah 50 orang dari Nusantara yang dilakukan secara hybrid. Untuk pusingan akhir peserta daripada Malaysia kita bawa ke pentas dengan SOP tertentu manakala peserta luar negara pula menyertai secara atas talian,” sambung Roslan.

Antara golongan muda yang menyertai kelas anjuran Roslan Madun.

Bercerita berkenaan masa depan seni syair ini Roslan telah menyatakan, “Saya percaya semua bidang dalam seni budaya akan terus hidup dalam masyarakatnya. Cuma adakah ia hidup secara agresif atau popular atau pun sebaliknya, jadi kalau bukan kita yang melestarikan seni budaya ini, dia mungkin akan berada dalam satu keadaan yang tidak dihormati atau digemari.” Segala inisiatif yang dilakukan oleh beliau mempunyai satu tujuan iaitu untuk mengangkat syair ini sebagai satu genre yang berada di arus perdana.

“Sebagai contoh, dulu lawak jenaka memang wujud dalam masyarakat kita tetapi tidak seakan sekarang di mana sebelum ini ia merupakan satu acara tambahan sahaja bagi melengkapkan persembahan pentas. Namun kini lawak jenaka sudah menjadi sebuah acara yang menguasai pentas dan pelawak-pelawak ini juga dijemput menjadi hos dalam rancangan yang berskala besar,” ujar Roslan. Adalah menjadi harapan beliau semua bidang seni budaya juga diangkat seperti lawak jenaka oleh stesen televisyen, media dan dihargai oleh masyarakat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun, Rosli Madun baru sahaja mengeluarkan buku terbaru beliau Kumpulan Syapen Syair Lirik Roslan Madun Adiguru CENDANA berserta CD syair dendangan 20 murid beliau pada pertengahan tahun 2022. Beliau juga merupakan penerima geran Adiguru fasa pertama dalam seni persembahan syair. Maklumat lanjut berkenaan beliau boleh didapati di Facebook dan Instagram atau untuk melihat video beliau boleh layari Lemak Manis Channel.

Roslan Madun merupakan penerima geran Adiguru fasa 1 dalam Saster Syair. Program Adiguru dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Anda juga boleh ikuti kisah-kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites