Adiguru CENDANA: Mohd Radzi Othman

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Mohd Radzi Othman merupakan seorang tokoh seni daripada Kumpulan Seni Warisan Gambus Padang Changkat iaitu sebuah kumpulan budaya yang mempunyai akar umbi yang tertanam sejak zaman 1970-an dan berasal daripada negeri Perak. Kumpulan ini amat tersohor oleh kerana persembahan tarian gambus mereka yang telah mendapat pengiktirafan daripada dalam dan luar negara.

Ketua mereka yang telah mendapat anugerah Adiguru CENDANA Mohd Radzi Othman merupakan seorang seniman yang serba boleh. Beliau bukan sekadar mengetuai kumpulan ini sahaja tetapi merupakan seorang guru tari, pelatih, penari dan seorang pemain muzik. Dedikasi beliau yang tidak berbelah bahagi dan juga pengalamannya yang menjangkau lebih 25 tahun membuatkan dirinya menjadi seorang penghibur terkemuka dan seorang adiguru yang cukup dihormati di dalam bidang muzik dan tarian tradisional Malaysia. 

Katanya, pernah seketika dahulu sewaktu Radzi dan kawan-kawannya tamat persekolahan dan berhijrah untuk mencari sesuap nasi di luar kampung, kumpulan ini hampir berhenti tetapi terpaksa kembali mempertahankan warisan ini atas permintaan yang tinggi dari pelbagai pihak. “Pada tahun 2003, kami masing-masing kembali ke kampung dan hidupkan semula kumpulan ini sampailah ke hari ini.”

Tarian gambus ini cukup unik dan berbeza dengan persembahan tarian yang lain. Antara kelainan yang paling ketara adalah kemesraan dan keperluan di antara pemain muzik dan penari. “Selalunya setiap persembahan yang kami adakan, muzik itu akan dimainkan secara langsung. Kalau kami nak main secara muzik cd dan sebagainya, dia agak sukar kerana di penghujung tarian itu di mana pemuzik itu akan ikut jejak langkah penari itu sendiri untuk berhentikan menari itu,” kongsi Radzi.

Tradisi gambus adalah sebuah budaya yang dihargai oleh orang-orang Perak dan merupakan sebuah warisan yang disampaikan secara turun temurun sejak berkurun lamanya. Seni muzik dan tarian tradisional ini mempunyai susur galur kebudayaan Islam yang kuat di rantau ini dan menggambarkan nilai kerohanian serta estetik komuniti tempatan.

Asal usul tarian gambus ini sebenarnya mula diperkenalkan di rantau nusantara ini oleh pedagang-pedagang Arab pada zaman dahulu kala. Orang-orang Melayu pada zaman itu telah jatuh cinta dengan tarian yang cukup meriah dengan pelbagai warna-warni. Setelah diadaptasi ke dalam budaya kita, kini tarian gambus dipersembahkan pada upacara perkahwinan, perayaan keagamaan dan pelbagai acara perayaan yang lain.

Tradisi gambus di Perak telah berubah dari masa ke semasa untuk menyuntik cebisan budaya dan tradisi muzik yang berbeza-beza. Pada hari ini, tarian gambus merupakan sebuah bentuk seni yang cukup penuh bertenaga dan mampu menangkap minat penonton dari dalam dan juga dari luar negara.

Walaupun berdepan dengan cabaran pemodenan dan globalisasi, rakyat negeri Perak sentiasa komited untuk memelihara dan mempromosi khazanah warisan budaya mereka ini. Melalui pelbagai usaha yang dibuat oleh para karyawan, ilmiah dan penggiat seni, tradisi gambus di Perak ini akan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk meraikan keindahan dan kepelbagaian identiti budaya mereka ini.

“Saya ada bertanya dengan kawan-kawan saya dan saya diberitahu mereka tidak pernah tengok tarian sebegini. Mereka tak pernah tengok tarian gambus ini sebab nak kata zapin, dia bukan zapin. Tarian dia unik dan lagu-lagunya pun lain daripada yang lain.”

Namun begitu, Radzi berpendapat bahawa untuk mengekalkan tarian gambus ini memang perlu ada kerjasama di antara kumpulan tarian gambus dan juga jabatan-jabatan kesenian di pelbagai peringkat. “Sebenarnya daripada dulu lagi saya selalu meminta pertolongan, bantulah saya untuk kita luaskan lagi persembahan tarian gambus ini,” kongsi Adiguru Mohd Radzi Othman. 

Mohd Radzi Othman merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni Persembahan Tarian Gambus. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites